Catatan Peristiwa Sejarah di Bulan Ramadhan (Poster)

Alhamdulillah sekali lagi diberi kesempatan untuk berkongsi sedikit catatan hasil pembacaan saya berkaitan dengan peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Di dalam poster ini saya muatkan beberapa peristiwa yang berlaku bermula dari zaman Nabi SAW sehingga kini. Apa yang dicatatkan ini bukan lah sempurna dan lengkap tetapi ini sahaja yang saya jumpa buat masa sekarang.

Saya amat mengalu-alukan teguran dan nasihat dari anda semua.

Pautan Muat Turun:

https://drive.google.com/file/d/1-k7sapRnAidkNMl7Vm1VYTpEEiNAERDM/view?usp=drivesdk

Perayaan Maulidur Rasul Bida’ah??

Muqadimah

Maulidur Rasul adalah satu sambutan yang di sambut oleh sebahagian masyarakat khusunya di bumi Malaysia dan seluruh dunia amnya. Maulidur Rasul diambil sempena tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW iaitu pada tarikh 12 Rabiulawal tahun gajah atau 20 april pada tahun yang sama sepertimana yang disepakati oleh sebahagian ulama’ .

Dari sudut agama sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu perkara baru yang dicipta yang tidak pernah wujud sebelum ini yang diraikan. Perkataan bida’ah seperti yang dimaksudkan oleh sebahagian ulama iaitu mengadakan sesuatu yang baru yang tidak ada dalil yang jelas sama ada di dalam al-Quran, al-Hadith dan lain-lainnya. Bida’ah terbahagi kepada dua bahagian iaitu bida’ah hasanah (sesuatu perkara yang baik) dan bida’ah dhalalah (sesuatu perkara yang buruk dan keji).

Dimanakah Bida’ahnya Perayaan Maulidur Rasul Ini?

Pada hakikatnya, amalan-amalan yang berunsur kebaikan tidak disebut sebagai bida’ah. Hal ini kerana bida’ah mengikut istilah syarak hanya dikhusukan kepada perkara yang terselit kejahatan di dalamnya. Apabila diteliti dan dikaji, banyak ayat-ayat di dalam al-Quran menyuruh ke arah melakukan kebaikan dan amalan soleh dan tidak ada satu pun ayat yang mengaitkan masa dan keadaan tertentu untuk melakukannya. Bertepatan dengan firman Allah SWT :

Maksudnya :  Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

 (Surah al-Zalzalah 99 : 7-8)

Perayaan Maulidur Rasul disambut untuk meraikan serta mewujudkan mahabbah rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam berhimpun beramai-ramai melaungkan selawat dan salam ke atas baginda, mengingati sejarah perjalanan hidupnya akan menimbulkan perasaan sebak dan hiba dan merasakan seolah-olah baginda berada di sisi. Adakah ini yang disebut sebagai perkara yang dikeji agama (bida’ah dhalalah)? Mungkin kita semua dapat memikirkannya dari sudut mana kita memandangnya.

Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmood, bekas Syeikh al-Azhar dalam fatwanya berkenaan sambutan Maulidur Rasul menurutnya : Sesungguhnya, perayaan sambutan Maulidur Rasul merupakan sunnah yang baik, termasuk dalam sunnah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya :

مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيَّئَةً فَعَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا

Maksudnya : “Sesiapa yang mengadakan suatu amalan baru yang baik, nescaya adalah pahala baginya dan pahala bagi orang yang mengamalkannya. Sesiapa yang mengadakan dalam agamanya suatu amalan baru yang dikeji, nescaya dosa atasnya kerana amalan tersebut dan dosa bagi yang melakukannya.”

(Hadith Riwayat Muslim dalam al-Sahih no. 1017)

Menurut Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam soalan yang pernah diajukan kepada beliau mengenai perayaan sambutan memperingati Maulidur Rasul SAW pada 27 Mac 2007 yang lalu mengatakan : “Ada dalam kalangan ulama Islam yang menghukumkan bahawa apa-apa jua bentuk sambutan atau sebarang bentuk keprihatinan atau perbincangan serta forum yang berkaitan dengan memperingati peritiwa-peristiwa penting dalam Islam sama ada Hijrah Rasulullah SAW, Isra’ Mikraj, kelahiran Rasulullah SAW, peperangan Badar al-Kubra, pembukaan Kota Makkah al-Mukarramah ataupun segala peristiwa yang berkaitan dengan sirah Rasulullah SAW, mahupun apa-apa jua komentar yang mempunyai persamaan dengan tajuk-tajuk di atas, adalah sebagai suatu bidaah yang dikeji dalam agama. (Kata mereka lagi): “Setiap amalan bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu akibatnya Neraka.”

Kenyataan yang bersifat sebegini adalah bersifat umum dan secara dasarnya tidak betul.  Sesungguhnya perkara yang kita tentang di sebalik semua ini adalah sambutan- sambutan yang bercampur aduk dengan perkara- perkara mungkar, amalan- amalan yang bercanggah dari segi syarak, dan sesuatu amalan yang tidak mempunyai dalil sebagaimana yang terjadi di sesetengah negara Islam dalam konteks sambutan Maulidur Rasul dan memperingati kelahiran para wali dan orang-orang soleh yang mereka anjurkan. Namun, jika kita mengambil kesempatan di sebalik sambutan ini untuk mengingatkan umat Islam menghayati perjalanan hidup Rasulullah SAW, keperibadian Nabi agung SAW dan risalah agungnya yang menyeluruh untuk semua manusia, yang berkekalan sampai ke hari Kiamat yang telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai rahmat untuk seluruh alam, maka di manakah bida’ah dan sesatnya amalan seperti ini?

Di sinilah menunjukkan kepada kita bahawa perbezaan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu dalam memberi sesuatu pengkhabaran dan hukum ke atas sesuatu. Moga dengan hukum yang dikeluarkan dari lidah orang berilmu akan membawa ke jalan yang benar.

 

Perbalahan Yang Tiada Penghujung

Kerana berbicara tentang bida’ah semua telah disesatkan oleh sebahagian manusia. Di manakah sudut yang boleh dipandang jika iainya membawa kebaikan? Adakah hanya bergaduh dan bertikam lidah yang tiada penghujung boleh menyatukan umat Islam? Wujudnya khilaf itu ada rahmat disebaliknya untuk membolehkan umat Islam berfikir sama ada suatu itu membawa kebaikan atau keburukan. Bukan menegakkan satu idea dan pandangan sahaja bagai menegakkan benang yang basah. Inilah luasnya Islam menjana pemikiran dan pandangan umat selepas berdalilkan al-Quran dan al-Sunnah. Kesatuan idea dan pemikiran dalam menterjemahkan hukum Islam adalah sesuatu yang diterapkan menerusi Ijma’ dan Qiyas apabila tiada di dalam sumber asalannya. Begitu juga dengan dalil-dalil yang lain yang disepekati dan tidak disepakati. Oleh itu tidak salah kepada kita bercanggah idea antara satu sama lain. Ulama di zaman silam dahulunya juga ada berkhilaf dalam beberapa perkara tetapi mereka tetap kembali kepada sumber teratas sekali iaitu al-Quran dan Al-Sunnah. Jangan menganggap diri sendiri sahaja yang benar dan orang lain dipersalahkan dalam mengenengahkan sesuatu pendapat.

Waalahu’alam…

Siri 2 : Safar ( Tiada Sial dan Malang Bagi Seseorang Manusia)

Pengertian

Bulan Safar adalah bulan yang kedua di dalam kalender Hijri. Menurut pengarang Lisanul Arab Safar bermaksud kosong (صِفْر). Sudah menjadi kebiasaan bagi orang Arab pada bulan ini, mereka akan meninggalkan serta mengosongkan kampung halaman mereka untuk keluar berperang, mengembara, berdagang dan lain-lain lagi. Kebanyakan masyarakat Arab menganggap bulan ini penuh dengan sial dan malang bagi mereka.

Berdasarkan penelitian kepada Takwim Waktu Ibadah bagi Negeri Kedah Darul Aman, istilah bulan Safar ditulis sebagai Safar al-Khair (Safar yang Baik) bermula sejak dahulu lagi sehingga 1963. Berkemungkinan kefahaman mengenai kepercayaan yang menganggap bulan safar sebagai bulan sial menyebabkan istilah Safar al-Khair digunakan. Bermula tahun 1964, perkataan nama bulan Safar telah digunakan kembali kepada perkataan asal sehingga kini.

Ternyata masih wujud pemikiran ini di kalangan masyarakat umat islam akibat lemah keimanan dan kejahilan di dalam ilmu agama. Segala musibah, bala bencana yang berlaku tidak hanya pada bulan Safar. Kepercayaan ini amat jelas dilarang keras oleh Allah SWT. Bertepatan dengan firman Allah SWT :

Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): “Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.

(Surah at-Taubah 9 : 51)

Segala perkara yang berlaku adalah dengan ketentuan dan takdir Allah sepertimana di dalam ayat al-Quran bahawa Allah SWT berfirman :

Maksudnya : tidak ada kesusahan (atau bala bencana) Yang menimpa (seseorang) melainkan Dengan izin Allah; dan sesiapa Yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa Yang telah berlaku itu Dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Surah Al-Taghabun 64 : 11)

Tiada Kesialan Pada Bulan Safar

Sejarah menukilkan bahawa masyarakat jahiliyyah amat terkenal dalam melakukan amalan yang amat bercanggah dengan syarak. Perjalanan kehidupan seharian bermula dari bangun pagi sehingga malam terkandung pelbagai amalan syirik, tahyul dan khurafat. Sebagai contohnya jika mereka ingin memulakan perjalanan maka akan dilihat gerakan anak panah sama ada ke kiri atau ke kanan akan menentukannya. Selain itu, mereka percaya bahawa ada perkara baik atau buruk akan berlaku ketika di dalam perjalanan.

Tidak kurang pula kepercayaan masyarakat melayu dalam kepercayaan ini. Burung hantu, buruk dan biawak sering dikaitkan dengan ramalan sesuatu perkara malang akan berlaku. Perkara sebegini dikenali sebagai tathayyur atau meramal kejadian buruk disebabkan oleh sesuatu perkara.

Abu Hurairah meriwayatkan sebuah hadith berkenaan perbahasan mengenai hadith “Tiada jangkitan, tiada burung hantu dan tiada ulat di dalam perut” bahawa Nabi SAW bersabda:

 لَا عَدْوَى ولَا هَامَةَ وَلَا صَفَرَ . فَقَالَ أَعْرَابِّي: يَا رَسُولَ اللهِ فَمَا بَالُ الإِبِلِ تَكُونُ فِي الرَّمْلِ كَأَنَّهَا الظِّبَاءُ ، فَيُخَالِطُهَا البَعِيْرُ الأَجْرَبُ ، فَايُجْرِبُهَا؟ فَقَالَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم فَمَنْ أَعْدَى الأَوَّلَ؟

Maksudnya : tidak ada jangkitan, tidak ada burung hantu, dan tidak ada ulat dalam perut. Seorang Arab Badawi berkata : “Wahai Rasulullah, bagaimana dengan keadaan unta yang bertapak kaki keras berada di sebuah padang pasir, kemudian bercampur dengan unta yang berkudis, lalu ia menjangkitinya?” Rasulullah SAW bersabda, “maka, siapakah yang menyebabkan unta pertama sakit?

(Hadith Riwayat al-Bukhari)

Ibnu Rajab al-Hanbali menghuraikan bahawa yang menyebabkan unta pertama terkena penyakit adalah disebabkan qada’ dan qadar Allah, begitu juga dengan unta lain dan seterusnya.

 

Amalan yang disunatkan

Sebenarnya tiada suatu pun riwayat yang menunjukkan keutamaan ataupun celaan terhadap bulan Safar. Menurut Al-Allamah Siddiq Hassan Khan berkata : ‘Saya tidak mendapati adanya hadith tentang kemudian bulan safar atau celaan padanya.’

 

Jelaslah di sini bahawa tidak pernah dicatatkan di dalam Al-Quran mahupun hadith baginda Rasulullah SAW berkaitan amalan khusus yang perlu dilaksanakan di dalam bulan Safar. Justeru, umat Islam dianjurkan untuk melakukan amalan yang baik dari hari ke hari secara berterusan tanpa mengkhususkan amalan tertentu.

Ibnu Rajab al-Hambali memberikan contoh amalan kebaikan yang diperintahkan oleh Nabi SAW untuk melakukannya ketika berlaku gerhana bulan. Selain melakukan solat gerhana, diseru untuk berdoa, memperbanyakkan sedekah, membebaskan hamba serta amalan lain sehingga gerhana hilang dari pandangan manusia. Semua ini menunjukkan bahawa apabila sebab-sebab yang ditakuti berlaku, seseorang seharusnya menyibukkan diri dengan amalan yang diharapkan dapat menolak bala, seperti perbuatan taat, doa, tawakal dan keyakinan yang sebenar kepada Allah SWT. Justeru amalan kebaikan, ketakwaan, doa dan tawakal ini adalah sebesar-besar usaha yang dapat menolak bala.

 

Kepercayaan Karut Di Bulan Safar

  • Mandi Safar : Suatu ketika dahulu, sebahagian masyarakat mengamalkan mandi safar atau mandi beramai-ramai di tepi sungai ataupun pantai kerana menganggap ianya satu ritual untuk menolak bala serta menghapuskan dosa. Sebenarnya amalan mandi safar ini adalah menjadi kebudayaan masyarakat Hindu. Walaupun kini upacara ini semakin terhakis tetapi masih terdapat sesetengah pihak cuba melakukan pembaharuan di dalamnya. Caranya adalah dengan menulis ayat-ayat tertentu di atas kertas atau papan dan direndamnya di dalam kolah mandi atau tangki air yang digunakan untuk mandian kaum keluarga.
  • Korban Safar : Terdapat juga segelintir pihak beranggapan bahawa dianjurkan untuk membuat ibadat korban pada tarikh 27 Safar.
  • Rabu Terakhir Safar : Ibnu Rejab al-Hanbali menukilkan bahawa menganggap hari Rabu terakhir bulan tersebut adalah malang merupakan sebahagian tathayyur yang dicela syarak. Manakala Syeikh Muhammad Abdul Salam al-Syaqiry menyebut bahawa kebiasaan orang menulis ayat-ayat tertentu tentang keselamatan di atas kertas misalnya:

Maksudnya: “Salam sejahtera kepada Nabi Nuh Dalam kalangan penduduk seluruh alam!”

(Surah al-shaffat 37 : 79)

Ditulis pada hari Rabu terakhir Safar, kemudian diletakkan di dalam bekas untuk diminum air dan untuk mencari keberkatan kerana mereka berkeyakinan bahawa hal ini dapat menghilangkan nasib buruk. Ini adalah keyakinan yang sama sekali salah dan harus ditentang.

  • Menganggap Safar Bulan Sial : Masih terdapat segelintir orang tua yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian kerana dikhuatiri pengantin tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Ada yang beranggapan bahawa bayi yang lahir pada bulan Safar ini bernasib malang dan hendaklah dilakukan upacara khas untuk membuang nasib yang tidak baik itu. Kenyataan ini sungguh jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.

 

Kesimpulan

Islam menyelar kepercayaan terhadap sesuatu perkara tahyul dan khurafat. Setiap kejadian yang berlaku adalah bergantung kepada kehendak dan kekuasaan Allah semata-mata. Oleh itu sesiapa yang membuat sesuatu keputusan yang didasari kepercayaan kepada tathayyur, maka dia telah terjebak dalam lembah kesyirikan.

Penulis menukilkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar yang maksudnya : Barangsiapa yang menangguhkan hajatnya kerana al-Thayarah (ramalan buruk kerana sesuatu) maka dia telah syirik. Walaupun terdapat perkara yang sedikit sebanyak setiap manusia akan berhadapan dengan perasaan tathayyur ini tetapi jika kita bertawakal kepada Allah dalam segala perkara yang memberi manfaat dan menjauhi musibah, maka Allah jualah yang akan menghilangkan perasaan tersebut.

Rasulullah SAW mengajarkan kita doa boleh diamalkan menerusi riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya iaitu :

اللَّهُمَّ لا خَيْرَ إِلا خَيْرُكَ ، وَلا طَيْرَ إِلا طَيْرُكَ ، وَلا إِلَهَ غَيْرُكَ

Maksudnya : Ya Allah, tidak ada kebaikan kecuali kebaikan-Mu, dan tiada kesialan daripada-Mu dan tidak ada Tuhan selain-Mu.

 

Peristiwa Bersejarah Di Bulan Safar

  • Peristiwa pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah binti Khuwailid. Berlaku sebelum Baginda dilantik menjadi Rasul.
  • Peperangan pertama yang disertai Rasulullah SAW iaitu Perang Wudan dan Abwa’ bagi menentang kekufuran
  • Peperangan Bi’ru Maunah pada tahun 4 Hijrah. Tentera pimpinan Al-Munzir bin ‘Amr al-Sa’idi yang ditugaskan untuk menyampaikan dakwah dan agama serta mengajar al-Quran kepada Bani Amir. 40 Orang sahabat telah turut serta di dalam peperangan ini.
  • Tragedi Ar-Raji di daerah ‘Usfan (Kawasan di antara Mekah dan Madinah). Baginda Rasulullah SAW mengutuskan tujuh orang sahabat untuk mengajar Islam kepada kaum ‘Udal dan la-Qarah tetapi telah berlaku serang hendap yang telah menyebabkan sahabat Rasulullah SAW terbunuh kecuali Khubaib bin ‘Adi yang di bawa ke Mekah dan dibunuh di sana. Beliau adalah orang pertama yang menunaikan solat dua rakaat sebelum dibunuh.
  • Pembukaan Khaibar berlaku pada bulan Safar tahun ke-7 Hijrah. Peristiwa ini menyaksikan penyertaan 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah bin Abd Mutalib dan Ummu Aiman.

 

Rujukan

  1. Al-Quran al-Karim
  2. Al-Imam Yusuf bin Hasan bin Abdul Hadi al-Maqdisi (2011) Ma’arif al-An’am Wa Fadlu al-Syuhur wa al-Ayyam. Darul Nawadir : Lubnan
  3. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (2016) Ensiklopedia Amalan setahun – لطائف المعارف فيما لمواسم العام من الوظائف. Telaga biru Sdn. Bhd : Kuala Lumpur.
  4. Ibnu Qayyim al-Jauziyah (1928) Zad al-Maad. Al-Matba’ah al-Misriyyah
  5. Ismail bin Umar bin Kathir (2004) Tafsir Ibnu Kathir (terjemahan) Dar al-Salam : Riyadh
  6. Abi Bakr Abdul Razak al-San’ani (1972) al-Musannaf. Al-Maktab al-Islami : Beirut Lubnan. (Edisi PDF)
  7. Muhammad Abdul Salam al-Syaqiry (2004) Al-Sunan Wa al-Mubtada’at al-Muta’aliqah bi Azkar wa al-Salawat (Bida’ah-Bida’ah Yang Di Anggap Sunnah) Qishi Press : Jakarta
  8. Ibnu Hajar al-Asqalani (tt) Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari. Darul Kutub al-Ilmiah : Beirut Lubnan.
  9. Dr Engku Ahmad Zaki (2010) Sirah Bulan-Bulan Islam. Mustread Sdn Bhd : Kuala Lumpur
  10. Mohd Yaakub Mohd Yunus (2010) Takwim Hijri : Hebatnya Bulan Islam. Karya Bestari Sdn. Bhd. Selangor

Siri 1 : Muharam (Kemuliaan Bulan Allah)

Pengertian

Muharam adalah bulan pertama dalam kalender Hijrah. Pengertian dari sudut bahasa membawa maksud ‘diharamkan’ atau ‘pantang’, iaitu Allah SWT melarang keras sebarang peperangan atau pertumpahan darah yang dilakukan dalam bulan tersebut.[1] Larangan peperangan ini berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku dalam masyarakat jahiliyah pada zaman Nabi Muhammad SAW yang menghentikan apa-apa peperangan apabila datangnya bulan tersebut.  Semasa pembukaan Kota Makkah larangan peperangan ini telah dimansuhkan dengan firman Allah SWT :

Maksudnya :  dan bunuhlah mereka (musuh Yang memerangi kamu) di mana sahaja kamu dapati mereka, dan usirlah mereka dari tempat Yang mereka telah mengusir kamu; dan (ingatlah Bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan dan janganlah kamu memerangi mereka di sekitar Masjid Al-Haraam sehingga mereka memerangi kamu di situ. oleh itu kalau mereka memerangi kamu (di situ), maka bunuhlah mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang Yang kafir.

(Surah al-Baqarah 2 : 191)

Bermula sejak dari itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat kepada larangan tersebut. Rasulullah SAW juga telah menamakan bulan Muharam sebagai bulan Allah (شهر الله).

Bulan Muharam ini juga telah disebutkan menerusi firman Allah SWT :

Maksudnya :  Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) Dalam Kitab Allah semasa ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan Yang dihormati. ketetapan Yang demikian itu ialah ugama Yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu Dalam bulan-bulan Yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah Sesungguhnya Allah beserta orang-orang Yang bertaqwa.

(Surah at-Taubah 9 : 36)

Begitu juga terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Abi Bukrah R.Anhu bahawa Nabi SAW telah menyampaikan khutbah haji sabdanya :

إِنَّ الزَّمَانَ قَدِ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّه السَّماواتِ والأَرْضَ: السَّنةُ اثْنَا عَشَر شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُم: ثَلاثٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو الْقعْدة، وَذو الْحجَّةِ، والْمُحرَّمُ، وَرجُب مُضَر الَّذِي بَيْنَ جُمادَى وَشَعْبَانَ،

Maksudnya : “Sesungguhnya zaman itu berputar sebagaimana bentuknya semula ketika Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu memempunyai dua belas bulan diantaranya terdapat empat bulan haram : 3 bulan yang berturutan; Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab Mudhar, berada diantara bulan Jamadil Akhir dan Syaaban.”

(Hadith Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kemuliaan Bulan Muharram

Para ulama’ telah berselisih pendapat dalam menentukan bulan haram yang paling mulia. Al-Hasan dan lainnya berkata : ‘Bulan haram yang afdhal adalah bulan Allah al-Muharam. Pendapat ini telah dinyatakan kuat oleh sebahagian ulama mutaakhirin. Wahab bin Jarir meriwayatkan daripada Qurrah bin Khalid, daripada al-Hasan berkata : ‘Sesungguhnya Allah memulakan tahun dengan bulan haram dan mengakhirinya dengan bulan haram. tiada bulan dalam setahun yang lebih mulia di sisi Allah SWT selepas bulan Ramadhan selain al-Muharam. Bulan itu dinamakan bulan Allah al-Asom (شَهْرٌ اللهِ الأَصَمّ) kerana pengharamannya sangat kuat.[2]

Hadith yang diriwayatkan daripada Abu Dzar bahawa beliau telah bertanya mengenai apakah malam dan bulan yang terbaik kepada Nabi SAW. Baginda menjawab dengan sabdanya :

خَيْرُ اللَّيْلِ جَوْفُهُ ، وَأَفْضَلُ الأَشْهُرِ شَهْرُ اللَّهِ الَّذِي تَدْعُونَهُ الْمُحَرَّمَ

Maksudnya : “Sebaik-baik waktu malam adalah pertengahannya, dan bulan yang paling utama ialah bulan Allah yang kamu namakannya al-Muharam”

(Hadith Riwayat Al-Nasaie di dalamnya kitabnya Sunan al-Kubra)

Fadhilat Berpuasa di Bulan Muharam

Terdapat hadith yang menunjukkan bahawa sebaik-baik bulan untuk berpuasa sunat selepas berlalunya bulan Ramadhan. Hadith diriwayat oleh Abu Hurairah R.Anhu bahawa Nabi SAW bersabda :

أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ شَهْرِ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ. وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya : “Sebaik-baik puasa setelah Ramadhan adalah bulan Allah al-Muharam dan sebaik-baik solat adalah solat malam (qiamullail)”

(Hadith Riwayat Muslim di dalam Kitab al-Siyam)

Al-Hafiz Ibnu Rajab berkata : Sesungguhnya Nabi SAW menamakan bulan al-Muharam sebagai bulan Allah. Penisbahannya kepada Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan tersebut kerana Allah SWT tidak menyandarkan sesuatu kepada-nya melainkan beberapa makhluk-Nya yang istimewa. Sebagai contohnya, Allah menyandarkan Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Yaakub dan yang lainnya kepada sifat ubudiyyah terhadap-Nya, dan turut menyandarkan rumah dan unta kepada-Nya.

Apabila bulan Muharam ini disandarkan kepada Allah SWT secara khusus, dan puasa juga merupakan antara amalan yang disandarkan kepada Allah SWT kerana puasa adalah bagi-Nya berbanding amalan lain. Maka layaklah bulan yang disandarkan kepada Allah SWT ini dikhususkan dengan amalan yang disandarkan kepada-Nya secara khusus juga, iaitu puasa.

Terdapat riwayat mengatakan bahawa ketika Nabi SAW ketika tiba di Madinah mendapati golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Baginda SAW bersabda :

 مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ؟ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ. أَنْجَىٰ اللهُ فِيهِ مُوسَىٰ وَقَوْمَهُ! وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ!.فَصَامَهُ مُوسَىٰ شُكْرًا؛ فَنَحْنُ نَصُومُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَٰى بِمُوسَى مِنْكُمْ! فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya : “Apakah hari yang kamu berpuasa ini? Mereka menjawab : ‘Hari ini ialah hari yang agung. Allah telah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya pada hari tersebut, serta menenggelamkan Firaun dan pengikutnya. Maka Nabi Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda syukur, lantas kami pun turut berpuasa. ‘Rasulullah SAW bersabda : ‘Sebenarnya kamilah yang berhak dan utama terhadap Nabi Musa daripada kamu’. Maka Baginda berpuasa dan menyuruh orang ramai berpuasa pada hari itu.” [3]

(Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 Empat Keadaan Nabi SAW berpuasa Asyura

  1. Baginda berpuasa Asyura di Makkah namun tidak memerintahkan umatnya untuk melaksanakan puasa. Dalam hal ini telah disebutkan oleh Aisyah R. Anha beliau berkata:

كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ يَوْمًا تَصُومُهُ قُرَيْشٌ فِي الْجَاهِلِيَّةِ، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ ، فَلَمَّا قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ الْمَدِينَةَ صَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ،، فَلَمَّا نزلت فُرِيضَةٌ شَهْرِ رَمَضَانَ ، كَانَ رَمَضَانُ هُوَ الَّذِي يَصُومُهُ، فَتَرَكَ يوم عَاشُورَاءُ، فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ أَفْطَرَهُ

Maksudnya : “Masyarakat Quraisy pada zaman jahiliyah berpuasa pada hari Asyura, dan Nabi SAW turut berpuasa pada hari itu. Apabila baginda datang ke Madinah, baginda masih berpuasa Asyura dan menyuruh orang ramai ikut berpuasa. ketika turunnya kefardhuan untuk puasa bulan Ramadhan, maka Baginda hanya berpuasa pada bulan Ramadhan dan meninggalkan puasa hari Asyura. Sesiapa yang mahu dia boleh mengerjakannya. Sesiapa yang mahu juga, dia boleh meninggalkannya.”

(Hadith Riwayat Bukhari)

Imam Al-Qurthubi berkata: “Mungkin orang-orang jahiliyah melakukan puasa sepertimana yang disyariatkan kepada umat terdahulu seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail.”

  1. Ketika Nabi SAW tiba di Madinah dan melihat golongan ahli kitab berpuasa pada hari Asyura serta mengagungkannya, sedangkan baginda juga menyepakati mereka dalam perkara yang tidak diperintahkan atasnya, maka baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang lain juga supaya berpuasa. Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa :

قَدِمَ الْمَدِينَةِ فَوَجَدَ الْيَهُودَ صِيَامًا يَوْمَ عَاشُورَاءَ؛ فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا هَذَا الْيَوْمُ الَّذِي تَصُومُونَهُ؟ فَقَالُوا: هَذَا يَوْمٌ عَظِيمٌ! أَنْجَىٰ اللهُ فِيهِ مُوسَىٰ وَقَوْمَهُ. وَغَرَّقَ فِرْعَوْنَ وَقَوْمَهُ. فَصَامَهُ مُوسَىٰ شُكْرًا؛ فَنَحْنُ نَصُومُهُ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَنَحْنُ أَحَقُّ وَأَوْلَٰى بِمُوسَى مِنْكُمْ. فَصَامَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ

Maksudnya : “Rasulullah SAW dating ke Madinah, dan mendapati golongan yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu Baginda bertanya kepada mereka : Apakah hari yang kamu puasa ini? Mereka menjawab : Hari ini adalah hari yang agung. Allah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya pada hari tersebut, serta menenggelamkan Firaun dan pengikutnya. Maka, Nabi Musa berpuasa pada hari ini sebagai tanda syukur, lantas kami pun turut berpuasa. Rasulullah SAW bersabda: Sebenarnya kamilah yang lebih berhak dan utama terhadap Nabi Musa daripada kamu. Maka baginda berpuasa pada hari itu.”

  1. Apabila kewajipan berpuasa Ramadhan difardhukan Nabi SAW tidak lagi memerintahkan para sahabat supaya berpuasa pada hari Asyura. Muawiyah R.Anhu berkata bahawa beliau telah mendengar Nabi SAW bersabda:

هَذَا يَوْمُ عَاشُورَاءَ ، وَلَمْ يَكْتُبِ اللَّهُ عَلَيْكُمْ صِيَامَهُ ، وَأَنَا صَائِمٌ ، فَمَنْ أَحَبَّ مِنْكُمْ أَنْ يَصُومَ فَلْيَصُمْ ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يُفْطِرَ فَلْيُفْطِرْ

Maksudnya : “Hari ini adalah Hari Asyura dan Allah tidak mewajibkan puasanya ke atas kamu, sedangkan aku berpuasa. Maka sesiapa yang menyukainya, berpuasalah. Sesiapa yang menyukai untuk tidak berpuasa, makanlah.”

  1. Nabi SAW diakhir hayat usianya telah menyebutkan bahawa tidak berpuasa Asyura secara tunggal bahkan menggabungkan hari lain yang membezakan puasa Asyura dengan puasa yang dilakukan ahli kitab[4]. Baginda bersabda di dalam satu hadith yang diriwayatkan Ibnu Abbas R.Anhu berkata :

حِينَ صَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، وَأَمَرَ بِصِيَامِه،ِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ: إِنَّهُ يَوْمٌ تُعَظِّمُهُ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَىٰ. فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: فَإِذَا كَانَ الْعَامُ الْمُقْبِلُ إِنْ شَاءَ اللهُ؛ صُمْنَا الْيَوْمَ التَّاسِعَ.قَالَ: فَلَمْ يَأْتِ الْعَامُ الْمُقْبِلُ؛ حَتَّى تُوُفِّيَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ”

Maksudnya : “Ketika Rasulullah SAW berpuasa Asyura dan mengarahkan orang ramai berpuasa, maka sahabat berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu merupakan hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani. Lalu baginda bersabda : Apabila tiba tahun hadapan, kita akan berpuasa pada hari ke-9[5] insya Allah. Beliau (Ibnu Abbas) berkata : Tahun hadapan tidak sempat tiba, namun Rasulullah SAW telah pun wafat.”

Peristiwa Bersejarah Di Bulan Muharram

  • Permulaan Takwim Hijri.
  • Hari Nabi Adam diturunkan ke bumi adalah pada hari Asyura. Diriwayatkan oleh Abdul Wahhab bin Khaffaf.
  • Taubat Nabi Adam diterima. Kenyataan ini merujuk hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ishaq, Ibnu Abbas dan Abdul Razak al-San’ani.
  • Bahtera Nabi Nuh tersadai selepas mengharungi banjir di Bukit Judi pada hari Asyura menurut Abdul Razak al-San’ani.
  • Hari Asyura ialah hari taubat kaum Nabi Yunus diterima. Diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madini.
  • Kisah pembunuhan cucu Rasulullah SAW iaitu Saidina Husin di Karbala.
  • Allah menyelamatkan Nabi Musa dan kaumnya dari Firaun yang ditenggelamkan ke laut Merah. Diambil menerusi hadith riwayat Ibnu Abbas.
  • Peristiwa Hijrah Nabi SAW. Menurut Dr. Munir Ghadban dalam kitabnya Fiqh al-Sirah al-Nabawiyyah : Saidina Umar dan para penasihatnya telah bersepakat menjadikan peristiwa hijrah sebagai tahun pertama Islam kerana kemuliannya. Rasulullah SAW berkuasa memerintah, membina masjid serta dapat menyembah Allah dengan tenang tanpa sebarang gangguan.

 

Rujukan

  1. Al-Quran al-Karim
  2. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (2016) Ensiklopedia Amalan setahun – لطائف المعارف فيما لمواسم العام من الوظائف. Telaga biru Sdn. Bhd : Kuala Lumpur.
  3. Ibnu Qayyim al-Jauziyah (1928) Zad al-Maad. Al-Matba’ah al-Misriyyah
  4. Ismail bin Umar bin Kathir (2004) Tafsir Ibnu Kathir (terjemahan) Dar al-Salam : Riyadh
  5. Abi Bakr Abdul Razak al-San’ani (1972) al-Musannaf. Al-Maktab al-Islami : Beirut Lubnan. (Edisi PDF)
  6. Zulkifli Mohamad al-Bakri (2010) Hijratul Rasul. Darul Syakir: Selangor.
  7. Ibnu Hajar al-Asqalani (tt) Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari. Darul Kutub al-Ilmiah : Beirut Lubnan.

[1] Dalam tafsiran lainnya sebahagian ulama menyebut sebagai larangan untuk berbuat maksiat dan dosa. Namun bukan bermaksud boleh melakukan maksiat dan dosa pada bulan-bulan yang lain. Sebagaimana ayat Al Qur’an yang memerintahkan kita menjaga Solat Wustha. Kebanyakan ahli Tafsir berpandangan bahawa Solat  Wustha adalah solat Asar. Dalam hal ini, solat Asar lebih-lebih lagi mendapat perhatian khusus untuk kita menjaga waktunya.

[2] Imam Ibnu Rajab al-Hanbali (2016) Ensiklopedia Amalan setahun – لطائف المعارف فيما لمواسم العام من الوظائف. Telaga biru Sdn. Bhd : Kuala Lumpur.  hal.38.

[3] Ibnu Abbas berkata : “Aku tidak pernah melihat Rasulullah SAW berpuasa pada suatu hari sambil bersungguh-sungguh untuk mendapat kelebihannya berbanding hari-hari lain melainkan hari ini (hari Asyura) dan bulan ini (bulan Ramadhan)

[4] Imam ibnu Qayyim al-Jauziyah menyebutkan di dalam kitabnya Zad al-Maad bahawa afdhal untuk menggabungkan 3 hari berpuasa iaitu pada hari kesembilan (Hari Tasu’a), hari kesepuluh (Hari Asyura) dan hari kesebelas. Disamping itu, ianya adalah untuk menguatkan lagi ikhtilaf yang mungkin berlaku pada kemunculan hilal atau tidak pada awal bulan Muharam bagi penentuan bilangan hari yang sempurna.

[5] Imam Nawawi menyebutkan sebahagian ulama menyatakan keharuasan untuk berpuasa hari Tasu’a (hari kesembilan) kerana tidak menyamai puasa yahudi yang berpuasa hanya pada hari Asyura. Selain itu juga disebutkan bahawa larangan berpuasa itu sepertimana berpuasa hari jumaat tanpa dituruti hari sebelumnya khamis. Ibnu Taimiyah juga berpendapat demikian dalam hal ini.