Fatwa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah Mengenai Solat Tarawih

Dalam al-Fatawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah telah berkata: “ Sesungguhnya qiyam Ramadhan tiada dihadkan oleh Nabi SAW bilangan rakaatnya. Bilangan rakaat yang Baginda SAW tiada melebihi 13 rakaat tetapi ia memanjangkan rakaat-rakaat tersebut. Saidina Umar pula telah mengumpul orang ramai berjamaah dengan Ubai bin Kaab dengan bersolat Tarawih 20 rakaat kemudian berwitir dengan 3 rakaat dengan meringankan (memendekkan bacaan) dengan kadar yang tiada melebihi beberapa rakaat yang panjang. Ini kerana untuk meringankan para makmum daripada memanjangkan satu-satu rakaat. Kemudian terdapat golongan salaf yang bersembahyang dengan 40 rakaat dan bersolat witir 3 rakaat. Begitu juga yang menunaikannya dengan 36 rakaat dan bersolat witir 3 rakaat. Kesemuanya adalah harus yang bertujuan untuk menghidupkan malam Ramadhan dengan amalan-amalan mereka maka ia adalah ahsan (amat baik).

Kemudiannya Ibnu Taimiyah berkata lagi: “Adalah menjadi kelainan bagi orang yang bersolat iaitu mengikut keadaan orang yang melakukan solat. Jika mereka bersanggupan berdiri lama dengan melakukan 10 rakaat dan 3 rakaat witir seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW maka ia adalah afdhal. Seandainya mereka tiada sanggup berdiri lama maka kerjakanlah dengan 20 rakaat sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin. Atau memilih yang pertengahan antara 20 rakaat dan 40 rakaat.  Diharuskan untuk melakukan Solat Tarawih 40 rakaat dan tiada makruh. Imam ahmad ibnu hanbal dan lain-lainnya berpandangan bahawa sesiapa yang menyangkal atau mendakwa bahawa qiyam Ramadhan mempunyai bilangan rakaat yang tertentu yang ditentukan oleh Rasulullah SAW maka sesungguhnya dia telah melakukan kesilapan.

Advertisements

Ikutan Kita Adalah al-Haramain al-Syarifain (Masjidil Haram & Masjid al-Nabawi)

Kedua-dua masjid ini iaitu al-Masjid al-Haram di Mekah yang dijadikan Allah kiblat bagi seluruh masjid di dunia ini dan al-Masjid al-Nabawi di Madinah yang diasaskan  di atas ketaqwaan adalah menjadi ikutan dan pedoman kita. Berapa rakaatkah tarawih dikerjakan kedua-dua masjid ini semenjak dari zaman sahabat sehingga sekarang? Bukankah bilanganya 20 rakaat. Adakah boleh diterima oleh akal bahawa kebanyakan orang islam bersepakat melakukan sesuatu yang munkar yang bidaah di dalam agama? Jawapan yang tuntas mengatakan bahawa tiada siapapun yang mengingkarinya bahkan di dalam kalangan mereka terdapat para ulama terdapat  para ulama, fuqaha dan ahli hadith. Sejak zaman berzaman dan dari generasi ke generasi tiada siapa pun yang mengingkarinya.  Jika solat tarawih 20 rakaat sesuatu yang bidaah dan munkar menurut seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak termasuk hanya menjadi amalan Salaf al-Soleh, kenapa Ulama Saudi dengan sokongan pandangan ulama-ulama terkemuka seluruh dunia hanya mendiamkan diri dan tidak menentang bidaah ini?

Di Mekah al-Mukarramah kita dapati kaum Muslimin semuanya mengerjakan tarawih di belakang imam 20 rakaat dan kemudiannya diikuti dengan witir 3 rakaat. Di kalangan ulama-ulama daripada Najd dan Hijaz bahkan Ulama-Ulama seluruh dunia Islam tiada siapa pun yang mengingkari dan menghalangnya maka tidakkah ini sebagai perakuan mereka terhadap bilangan 20 puluh rakaat ini? Sesungguh adalah menjadi keutamaan untuk mengikut Sunnah Saidina Umar bin al-Khatab R.anhu.

Kita lihat masjid di seluruh dunia Islam khususnya di dalam bulan Ramadhan penuh sesak dengan orang ramai yang kebanyakkanya mengerjakan solat tarawih dengan 20 rakaat. Adakah mereka itu jahil atau sesat?, Bagaimana mungkin umat Muhammad berijmak serta bersetuju dengan perkara munkar sedang Rasulullah SAW ada bersabda

لاَ تَجْتَمِعُ أُمَّتِىْ عَلَى ضَلاَلَةِ

Maksudnya : Umatku tiada akan bersepakat terhadap perkara yang sesat

 Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda :

مَا كَانَ اللهُ لِيَجْمَعَ أُمَّتِى عَلَى ضَلاَلَةِ

Maksudnya : Allah tiada sekali-kali menghimpunkan umatku di atas kesesatan.

Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lainya

Pandangan Kebanyakan Ulama Mengenai Solat Tarawih

Pertama : Berkata imam al-Tirmizi di dalam kitabnya “Sunan al-Tarmizi” yang bermaksud: “Kebanyakan orang yang berilmu mengikut apa yang diriwayat daripada Saidina Umar,  Saidina Ali dan sahabat-sahabat Nabi SAW yang lainnya iaitu bersolat tarawih dengan 20 rakaat. Begitu juga Sufian al-Thauri, Ibnu Mubarak dan Imam Shafie. Imam Shafie telah berkata: “aku mendapati di negeri kami iaitu Mekah juga bersolat Tarawih 20 puluh rakaat.

Kedua : Seterusnya Ibnu Rusyd di dalam Kitab Bidayatul Mujtahid berkata: “Imam Malik telah memilih pada salah satu qaul daripada dua pendapatnya serta Imam Abu Hanifah, Imam al-Shafie dan Imam Ahmad iaitu mengerjakan tarawih 20 rakaat dan selain adalah solat witir.

Ketiga : Demikian juga pendapat Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmuk menukilkan bahawa : “Pandangan Mazhab kami Solat tarawih adalah 20 rakaat dengan di dalamnya 10 salam, tidak termasuk solat witir. Kesemuanya lima tarawih, tiap-tiap tarawih 4 rakaat dengan 2 salam.

Keempat : Imam Ibnu Taimiyah di dalam fatawanya telah berkata : “Telah sabit bahawa Ubai bin Kaab telah bersolat tarawih dengan kebanyakan orang 20 rakaat di dalam bulan Ramadhan dan berwitir 3 rakaat. Kebanyakan ulama berpendapat bahawa bilangan 20 rakaat adalah menepati al-Sunnah kerana ia telah berlaku di kalangan muhajirin dan ansor dan tiada seorang pun yang mengingkarinya.

Kelima : Di dalam Kitab Majmuk al-Fatawa al-Najdiah telah disebut bahawa al-Syeikh Abdullah bin Mahmud bin Abdul Wahab ada menyebut di dalam jawapannya tentang bilangan rakaat tarawih bahawa Saidina Umar R.anhu tatkala menghimpun orang ramai bersolat Tarawih dengan berimamkan Ubai bin Kaab dan solat mereka adalah 20 rakaat.

Daripada pandangan yang dipetik daripada kesemua ulama terdahulu dan sekarang bahawa telah disebutkan itu tiada keraguan lagi padanya. Apatah lagi bahawa apa yang dilakukan oleh orang-orang Islam pada hari ini iaitu menunai tarawih dengan 20 rakaat adalah satu kebenaran yang tiada lari daripada keterangan amalan para sahabat. Begitu juga dengan apa yang diijmakkan olehimam-imam mujtahidin khususnya imam mazhab yang empat yang memperkatakan apa yang diperintahkan oleh saidina umar al-Farouk r.anhu adalah benar pada perkataan dan hatinya seperti kesahihan yang ada pada Hadith al-Syarif.

Dalil dan Hujah Para Imam Mujtahidin

Para imam mujtahidin yang sepakat di atas bilangan rakaat tarawih sebanyak 20 rakaat itu dengan berhujahkan kepada :

Pertama : Riwayat Imam al-Baihaqi menerusi Sunan al-Kubra dengan isnad yang sahih bahawa al-Saib bin Zaid R.Anhu berkata :

كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً.

Maksudnya : Orang ramai mendirikan solat tarawih pada zaman Umar bin al-Khattab pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.

Kedua : Berdasarkan riwayat Imam Malik bahawa Yazid bin Ruman berkata:

كَانُ الناس يَقُومُونَ في زَمَنٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رضي الله عنه ف بِثلاث عِشْرِينَ رَكْعَةً.

Maksudnya : Orang ramai mendirikan solat tarawih pada zaman Umar bin al-Khattab sebanyak 23 rakaat

Dibahagikan di sini dengan 20 rakaat bagi Solat Tarawih dan 3 rakaat bagi Solat Witir.

Ketiga : Menerusi riwayat daripada al-Hasan bahawa Saidina Umar R.Anhu iaitu beliau telah menghimpunkan orang ramai bersolat tarawih berimamkan Ubai bin Kaab dan tiada membaca qunut melainkan pada separuh malam yang kedua bulan Ramadhan. Apabila tiba sepuluh malam yang terakhir bulan Ramadhan Ubai bin Kaab telah menarik diri dan sembahyang bersendirian di rumahnya, orang ramai berkata : “Ubai telah melarikan diri”.

Keempat : Seterusnya dinukilkan pandangan Ibnu Qudamah di dalam kitabnya “ al-Mughni” bahawa rakaat Solat Tarawih adalah 20 rakaat.

وَقِيَامُ شَهْرِ رَمَضَانَ عِشْرُونَ رَكْعَةً – يَعْنِي صَلاَةَ التَّرَاوِيحِ – وَهِيَ سُنَّةٌ مُؤَكَّدَةٌ، وأَولُ مَنْ سَنَّهَا رُسولُ الله ونُسِبَتِ التَّرَاوِيحُ إِلَى عُمَر بن الخَطَّابِ – رضي الله عنه – لأَنَّهُ جَمَعَ النَّاسَ عَلَى أُبيِّ بن كعب فَكَانَ يُصليها بهم، فقد رُوِيَ أَنه خرَجَ ليلةً في رَمَضَان إِلَى المسجِد، فإِذا الناسُ يصلُّونَ فِي المَسْجِدِ أَوزَاعاً – أَي مُتَفَرِّقِينَ– فقال عمر:”لَو جَمَعْتُ هؤلاءِ عَلَى قَارِيءٍ وَاحدٍ، فَجَمَعَهُم عَلَى أُبيِّ بن كعب ثُمَّ خَرَجَ لَيْلَةً أُخْرَى وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ وَرَاءَ إِمَامِهِم، فقال: نِعْمتِ البدعةُ هذه

Maksudnya : Menghidupkan malam Ramadhan adalah 20 rakaat (Solat Tarawih)  dan hukumnya sunat muakad. Orang yang mula mengerjakannya ialah Rasulullah SAW kemudian dinisbahkan Solat Tarawih kepada Saidina Umar al-Khattab R.Anhu kerana ia telah menghimpunkan orang ramai supaya melakukan secara berjemaah dengan berimamkan Ubai bin kaab. Diriwayatkan pada satu malam di dalam bulan Ramadhan Saidina Umar keluar ke masjid dan melihat manusia sembahyang secara berkelompok lalu ia berkata : “Ada baiknya aku himpunkan mereka bersolat di belakang seorang imam lalu ia pun mengajak mereka berjemaah di belakang Ubai bin Kaab. Kemudian di suatu malam yang lain Saidina Umar melihat orang ramai menunai Solat Tarawih berjemaah di belakang Ubai bin Kaab dan seraya berkata : “Ini adalah sebaik-baik bidaah”.

Riwayat Bukhari

Maksud bid’ah adalah sesuatu perkara yang baru yang belum pernah terjadi seumpamanya pada masa-masa yang lalu. Ia adalah baik dan disyariatkan sekiranya menepati kehendak syara’ dan termasuk dalam perkara yang dianggap baik oleh syara’. Sebaliknya ia dicela dan ditolak apabila bertentangan dengan syara’ atau termasuk dalam perkara yang dianggap tidak elok oleh syara’. Namun jika ia tidak bertentangan dengan syara’ dan tidak pula termasuk dalam mana-mana asas pensyariatan hukumnya adalah harus.

Kelima : Abi Abdillah R.A telah memilih untuk berpandangan selari dengan Imam Ahmad bin Hanbal iaitu 20 rakaat. Begitu juga pendapat Imam al-Thauri, Imam Abu Hanifah, Imam al-Shafie dan Imam Malik.

Diriwayatkan juga daripada Saidina Ali r.Anhu bahawa ia memerintah seseorang untuk menjadi imam dan bersolat bersama orang ramai di bulan Ramadhan 20 rakaat. Demikianlah perkara ini sudah menjadi sebagai ijmak. Kemudian beliau telah berkata lagi: “Kalaulah disabitkan perbuatan ahli madinah seluruhnya melakukan 36 rakaat berbanding apa yang dilakukan oleh Saidina Umar dan disetujui oleh para sahabat di zamannya maka adalah lebih utama untuk diikuti.

Keenam : Telah disebutkan di dalam kitab “Aqrabul Masalik a’la Mazhab Imam Malik“ karangan Syeikh al-Dardir menukilkan bahawa : “Solat Tarawih di bulan Ramadhan adalah 20 rakaat selepas Solat Isya’ dan diberi salam pada tiap-tiap 2 rakaat solat dan disunatkan membaca satu juzuk daripada al-Quran pada setiap malam diagihkan kepada 20 rakaat”.

Ketujuh : Demikianlah menurut Imam al-Shafie dan Imam Abu Hanifah sembahyang tarawih itu 20 rakaat. Kerana telah diijmak oleh para Sahabat R.Anhum di zaman Saidina Umar bin al-Khattab R.Anhu. Imam Ibnu Abdul Bar telah berkata : “ Yang lebih sahih adalah daripada Ubai bin Kaab R.anhu bahawa ia menunai solat tarawih dengan orang ramai 20 rakaat dengan tiada pertikaian diantara para sahabat”.

Kelapan : Imam al-Shafie menyebut sepertimana yang dinukilkan dalam kitab “Mukhtasor Al-Muzani” beliau berkata : “Aku melihat orang-orang Madinah menunai Solat tarawih 39 rakaat. Lebih menjadi kesukaan aku adalah 20 rakaat kerana ia diriwayatkan daripada Saidina Umar di mekah dan mereka menunai solat tarawikh 20 rakaat dan Solat Witir 3 rakaat.

Bilangan Solat Tarawih

Menerusi penerangan oleh hadith-hadith yang telah disebutkan bahawa Solat Tarawih adalah sebahagian daripada ibadah yang ditentukan dan hukumnya sunat muakkad. Bilangan rakaatnya adalah 20 rakaat tanpa ditambah bilangan 3 rakaat bagi Solat Witir.  Bilangan keseluruhan bagi kedua-dua solat tersebut adalah 23 rakaat sepertinya yang disepakati ulama salaf dan khalaf.

Semenjak zaman pemerintahan Khalifah Umar Bin Al-Khattab R.Anhu hinggalah ke zaman ini kesemua imam-imam mujtahidin yang empat kecuali pandangan yang diriwayatkan dari Malik bin Anas R.Anhu iaitu pendapat yang mengatakan bilangan rakaat 36 rakaat dengan bersandarkan kepada amalan penduduk al-Madinah al-Munawwarah.

Diriwayatkan daripada imam Nafi’ menerusi petikan kitab Syarah al-Muhazzab bahawa berkata ia:

أَدْرَكْتُ النَّاسَ يَقُومُونَ رَمَضَانَ بِتِسْعٍ وَثَلاَثِينَ رَكْعَةً يُوتِرُونَ مِنْهَا بِثَلاَثٍ

Maksudnya: Aku mendapati bahawa orang menghidupkan malam Ramadhan dengan 39 rakaat termasuk dengan bersolat witir 3 rakaat darinya.

Periwayatan yang masyhur di sisi imam Malik iaitu yang telah dipersetujui oleh jumhur ulama al-Shafiiyyah, Hanabilah dan Hanafiyyah iaitu dua puluh rakaat. Demikian juga yang disepakati dan ijma’ keempat-empat mazhab dengan bilangan solat tarawih 20 rakaat

Kenapakah Dinamakan Solat Tarawih??

Dinamakan juga Solat Tarawih ini dengan “Qiyam Ramadhan”. Bagi menghidupkan malam bulan Ramadhan Solat Tarawih ialah solat yang panjang dan banyak rakaatnya. Bagi yang Solat Tarawih berehatlah selepas menunaikan solat pada setiap 4 rakaat kemudian di sambung semula sehingga sempurna. Kerehatan di sini adalah bermaksud menghilangkan dari kepenatan bersolat dalam jangka masa yang agak panjang.

Orang Pertama Yang Mengerjakan Solat Tarawih

Ibnu Qudamah di dalam kitabnya “al-Mughni” telah menyebut tentang Solat Tarawih yang bermaksud :  Solat Tarawih hukumnya sunat muakad dan orang pertama yang mengerjakannya ialah Rasulullah SAW.  Terdapat beberapa keterangan menerusi dalil-lail berkaitan dengan solat tarawih iaitu :

Pertama : Hadith daripada Abu Hurairah R.Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda  :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يُرغب في قيام رمضان ، من غير أن يأمرهم بعزيمة ، ثم يقول : ” مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَاناً وَاحْتِسَاباً غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Rasulullah SAW selalu memberi galakan kepada para Muslimin untuk bangun beribadah pada malam di bulan Ramadhan dan diperintahkannya dengan bersungguh-sungguh. Kemudian Baginda telah bersabda: “Sesiapa yang bangun beribadat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu”

Riwayat Muslim

Kedua : Dalam riwayat yang lain Aisyah R.Anha telah berkata :

صَلَّى النُّبِي فِي المَسْجِدِ ذَاتَ لَيْلَةٍ ، فَصَلَّى بِصَلاَتِهِ نَاسٌ ، ثُمَّ صَلَّى مِنَ القَابِلَةِ  فَكَثُرَ النَّاسُ ، ثُمَّ اجْتَمَعُوا مِنَ اللَّيْلَةِ الثَّالِثَةِ أَوِ الرَّابِعَةِ ، فَلَمْ يَخْرُجْ إِلَيْهِمْ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَلَمَّا أَصْبَحَ قَالَ : قَدْ رَأَيْتُ الَّذِي صَنَعْتُمْ وَلَمْ يَمْنَعْنِي مِنَ الخُرُوجِ إِلَيْكُمْ إِلَّا أَنِّي خَشِيتُ أَنْ تُفْرَضَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: Pada suatu malam, Nabi SAW bersolat di masjid lalu diikuti oleh orang ramai. Pada malam yang berikutnya Baginda bersolat lagi dan jemaah semakin ramai. Pada malam yang ketiga atau keempat orang ramai telah berkumpul namun Baginda tidak kunjung tiba. Menjelang pagi Baginda bersabda: Aku tahu apa yang kamu telah lakukan. Aku tidak datang semata-mata kerana bimbang solat tersebut difardhukan atas kamu.

Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ketiga : Seterusnya hadith, daripada Abdul Rahman bin Abdul al-Qari, katanya:

خَرَجْتُ مَعَ عُمَرَ بْنِ الخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، لَيْلَةً فِي رَمَضَانَ إِلَى المَسْجِدِ، فَإِذَا النَّاسُ أَوْزَاعٌ مُتَفَرِّقُونَ، يُصَلِّي الرَّجُلُ لِنَفْسِهِ، وَيُصَلِّي الرَّجُلُ فَيُصَلِّي بِصَلاَتِهِ الرَّهْطُ ، فَقَالَ عُمَرُ: “إِنِّي أَرَى لَوْ جَمَعْتُ هَؤُلاَءِ عَلَى قَارِئٍ وَاحِدٍ ، لَكَانَ أَمْثَلَ ثُمَّ عَزَمَ ، فَجَمَعَهُمْ عَلَى أُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ، ثُمَّ خَرَجْتُ مَعَهُ لَيْلَةً أُخْرَى ، وَالنَّاسُ يُصَلُّونَ بِصَلاَةِ قَارِئِهِمْ ، قَالَ عُمَرُ: “نِعْمَ البِدْعَةُ هَذِهِ، وَالَّتِي يَنَامُونَ عَنْهَا أَفْضَلُ مِنَ الَّتِي يَقُومُونَ يُرِيدُ آخِرَ اللَّيْلِ وَكَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ أَوَّلَهُ

 Maksudnya: Pada malam bulan Ramadhan aku pergi ke masjid bersama-sama Umar bin al-Khattab. Terdapat orang ramai berkelompok-kelompok. Ada yang bersolat sendirian dan ada pula yang bersolat berjemaah dengan kumpulan-kumpulan yang kecil. Umar berkata: Aku fikir alangkah baik kalau aku kumpulkan mereka mengikut seorang qari sahaja sebagai imam. Lalu Umar pun berusaha mengumpulkan mereka supaya berimamkan Ubay bin Ka’ab. Pada satu malam yang lain, aku keluar lagi bersama-samanya sedangkan kesemua orang ramai mengerjakan solat berjemaah dengan dengan seorang imam sahaja. Umar berkata: Alangkah baiknya perbuatan bid’ah ini, namun orang yang tidur untuk bangun bersolat pada akhir malam lebih baik daripada mereka yang mengerjakannya sekarang. Orang ramai ketika itu memang mengerjakan solat tersebut pada awal malam.

Riwayat al-Bukhari

Keempat : Dalam satu riwayat menyatakan:

كَانُوا يَقُومُونَ عَلَى عَهْدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ فِى شَهْرِ رَمَضَانَ بِعِشْرِينَ رَكْعَةً

Maksudnya: Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab RA orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat.

Riwayat al-Baihaqi dan yang lainnya dengan sanad yang sahih

Inilah pendapat Abu Hanifah, al-Syafie, Ahmad, al-Thauri dan jumhur. Ibn Abd al-Bar berkata: Pendapat jumhur ini adalah yang terpilih dari kami dan seolah-olah ia adalah ijma’.

Kelima : Riwayat yang lain pula menyatakan:

كَانَ النَّاسُ يَقُومُونَ فِى زَمَانِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ فِى رَمَضَانَ بِثَلاَثٍ وَعِشْرِينَ رَكْعَةً

Maksudnya: Pada zaman pemerintahan Umar orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 23 rakaat.

Riwayat Malik dalam al-Muwatta

Al-Baihaqi menyelaraskan riwayat tersebut bahawa yang bermaksud tiga rakaat lagi dalam riwayat yang kedua ialah solat Witir.

Daripada hadith-hadith yang telah dinyatakan ini bahawa orang pertama yang mengerjakan Solat Tarawih di malam bulan Ramadhan ialah Rasulullah SAW. Baginda telah menunaikan sembahyang ini bersama-sama para sahabat kaum muslimin tiga atau empat malam kemudian Baginda tidak lagi turun bersolat bersama mereka kerana kasihankan mereka. Kejadian ini membuktikan bahawa Rasulullah SAW bimbang dan takut bahawa ibadah yang difardhukan ini akan memberatkan umat islam pada ketika itu dan sampai kepada kita sekarang.

 

Hukum Solat Tarawih dan Kelebihannya

Solat Tarawih dilakukan pada waktu malam di bulan Ramadhan selepas menunaikan solat fardhu Isya’ dan sebelum menunai Solat Witir.

Hukumnya sunat pada lelaki dan perempuan. Rasulullah SAW seringkali mengerjakan Solat Tarawih dan baginda mengajak kaum muslimin mengerjakannya. Amalan ini turut dilakukan oleh para Sahabat dan para Tabi’in. Ia merupakan syiar di bulan Ramadhan yang sangat dihargai oleh kaum muslimin dan mempunyai kebesaran serta kelebihan tersendiri di sisi Allah SWT.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang bangun beribadat pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, diampunkan dosanya yang telah lalu.

Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

Bangun malam di sini membawa maksud iaitu dengan menghidupkan malam Ramadhan dengan bersembahyang sunat, berzikir dan bertilawah al-Quran. Beribadat dengan pengharapan untuk mendapat balasan pahala-Nya nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya yang lalu iaitu dosa-dosa kecil. Walaubagaimanapun dosa-dosa besar akan terampun bertaubat nasuha sepertimana yang ditegaskan oleh kebanyakan para fuqaha’.

Ibn Abd al-Bar berkata: Ini menunjukkan bahawa melakukan qiyam Ramadhan pada malam hari adalah harus yang disandarkan kepada Nabi kerana galakannya dan perbuatannya. Dan Umar pula menghidupkan sunnah Nabi tersebut.

Al-Iraqi berkata mereka berdalilkan dengan hadith Aisyah R.Anha bahawa yang melakukan qiyam Ramadhan di masjid secara berjemaah kerana ini perbuatan yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW. Inilah mazhab jumhur ulama’ antaranya Abu Hanifah, al-Syafie dan Imam Ahmad.

Perbahasan Ringkas Mengenai Solat Tarawih (Muqaddimah)

Muqaddimah

الحمد لله الذى زين في قلوبنا الإيمان وحبب الينا عبادته وطاعة رسوله الأمين ، والصلاة والسلام على افضل الخلق اجمعين سيدنا محمد وعلى اله وصحبه الأكرمين. وبعد

Telah muncul pelbagai pendapat di kalangan muslimin pada masa kini yang menyatakan bahawa Rasululllah SAW bersolat Tarawih dengan 8 rakaat dan bukannya 20 rakaat sepertimana biasa yang telah diamalkan sejak zaman berzaman. Pandangan yang sentiasa diperkatakan bahawa Solat Tarawih adalah tidak mengikut Sunnah baginda dan amalan yang bida’ah.
Keadaan ini menimbulkan keraguan kepada golongan masyarakat islam dan boleh menyebabkan pertelingkahan di antara dua pihak yang berbeza pendapat.  Mereka amat ta’asub dengan pandangan yang akhirnya meretakkan hubungan ukhwah Islamiyah dan perpaduan ummah.
Pada ketika ini, umat islam perlu untuk bersatu pada dan bukannya bertegang leher terhadap perkara furu’ pada perkara juz’iyyat tetapi hendaklah kita menggembeling tenaga menghadapi cabaran yang sedang hebat melanda umat Islam. Di samping itu mencari jalan untuk mengatasi masalah keruntuhan moral dan akhlak dikalangan pemuda pemudi Islam dan menggariskan kaedah untuk mengekalkan Islam sebagai agama yang dipandang mulia serta dihormati.
Risalah kecil ini yang diberi nama Perbahasan Ringkas Mengenai Solat Tarawih akan cuba untuk memetik amalan yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah SAW dan para Sahabat khususnya mengenai Qiyamullail (al-Tarawih) dan memetik pandangan- pandangan para ulama mujtahidin seterusnya membuat kesimpulan berdasarkan pandangan tersebut untuk mengelakkan keraguan mengenai Solat Tarawih dan perkara yang berkait khusus dengannya.
Amat malang sekali bagi kita jika dalam sudut perkara ibadat pun kita bertelingkah apatah lagi dalam perkara menyatupadukan ummah, sudah pasti sukar bagi kita untuk menghadapinya. Moga kita tidak tergolong dikalangan yang menyalah tafsir pandangan dan bertegas dengan pendapatnya sendiri sehingga hilangnya pembudayaan ilmu dan akhlak di kalangan masyarakat.
Mudah-mudahan Allah SWT memberi petunjuk dan memelihara kita dari menuruti hawa nafsu dan menjauhkan kita dari segala fitnah.
Amin Ya Rabbal Alamin

Himpunan 11 Soal Jawab Popular di Bulan Ramadhan

Salam Ramadhan buat semua. Sekian lama agaknya saya menyepikan diri dari berblog dan pada kali ini saya terpanggil untuk kongsikan sesuatu dan moga bermanfaat untuk semua. Satu e-book atau risalah kecil berkenaan soal dan jawapan berkisar dengan bulan Ramadhan.

Dalam risalah kecil ini saya telah menyusun 11 soalan dan jawapan yang ringkas untuk tatapan para pembaca. Semoga ianya menjadi panduan buat semua dalam menjawab permasalahan yang sering berkisar apabila datangnya Ramadhan.

Untuk makluman semua, jawapan yang dipetik adalah berdasarkan pandangan dan pendapat para ulama’ muktabar dan tidak membahaskan perbandingan pendapat antara mazhab di dalamnya. Metodologi penyusunan adalah untuk memudahkan para pembaca sekalian untuk menjawab serta menyelesaikan masalah jika ianya timbul.

Saya juga bukanlah berfatwa dalam hal ini,tetapi atas dasar ingin menyampaikan ilmu yang terlalu sedikit maka saya memilih untuk menyebarkannya dengan cara penulisan risalah kecil.

Moga bermanfaat buat semua pembaca.

Saya sertakan link untuk download berkenaan Himpunan 11 Soal Jawab Popular di Bulan Ramadhan.

https://drive.google.com/open?id=1RWGpdqSJ1UCJM0UP70UGIvGIV5skvm9J

*** saya juga mengalu-alukan pandangan serta komentar dari para pembaca semua.

Sekian….