Monthly Archives: January 2011

Konflik dan Cabaran Dalam Rumah Tangga

Kebelakangan ini, masalah rumahtangga kian meruncing. Peningkatan kadar penceraian rumahtangga dilihat kian menjadi-jadi terutama dan membimbangkan semua manusia. Ini juga mengakibatkan ramai manusia menjadi resah dan tidak berupaya mengimbangi keperluan jiwa dan ketenangan hati. Apabila keadaan ini tidak dapat dibendung, maka penceraian tidak lagi dapat dielakkan.

Terlebih dahulu perlu diterangkan pengertian talaq menurut Islam. Dalam al-Qamus al-Fiqhi menyebut pengertian talaq:

  1. Meleraikan ikatan perkahwinan.
  2. Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan dengan niat.

Pensyariatan talaq seperti yang disebut dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”

Terdapat juga dalam hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang talaq. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.” (Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) dan beliau mensahihkannya)

Perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumahtangga pasangan suami isteri. Allah telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab perkahwinan untuk menjamin pengekalannya serta menyuburkan hubungan mereka. Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat suami isteri atau seorang daripada mereka tidak mematuhinya. Contohnya, suami tidak mementingkan pemilihan pasangan yang baik. Atau kedua-dua suami isteri, atau seorang daripadanya tidak mematuhi adab pergaulan yang digariskan oleh Islam. Ekoran daripada itu, berlakulah kebencian dan semakin bertambah buruk sehingga tiada lagi ruang untuk berbaik-baik dan tiada lagi cara untuk persefahaman dan hidup bersama.

Dalam keadaan ini, adalah perlu diadakan peraturan sebagai langkah berhati-hati yang boleh dirujuk dalam situasi tersebut. Hal ini adalah membolehkan ikatan perkahwinan itu diungkai tanpa mensia-siakan hak kedua-dua suami isteri tersebut apabila tiada sebab bagi mereka untuk hidup bersama.  Terdapat pelbagai faktor yang menjadi sebab berlakunya penceraian. Antaranya:

1. Penghayatan Agama Islam Tidak Sempurna.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan dalam langkah-langkah mencapai matlamat perkahwinan[1] melalui penghayatan agama yang betul. Suami Isteri yang akan dipilih hendaklah mempunyai penghayatan agama dan akhlak yang baik. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan berleluasanya kerosakan di muka bumi.” Hadis riwayat al-Tirmizi (1084)

Begitu juga hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka, pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya.” Hadis riwayat al-Bukhari (4802), Muslim (1466), Abu Daud (2047), al-Nasaie (6/68), Ibn Majah (1858) dan Ahmad (2/428)

Dari awal lagi, Islam mengajar umatnya untuk hidup dalam beragama. Ini ditunjuk bahawa Islam is The Way of Life (Islam Adalah Cara Hidup). Agama islam amat menitik beratkan isu rumah tangga. Dimulakan dengan pemilihan pasangan hidup. Ini kerana pemilihan seorang bakal suami yang baik kepada seorang wanita yang ingin dikahwininya akan membuahkan hasilan yang baik sejajar dengan apa yang digariskan Islam menerusi al-Quran dan al-Hadith. Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak. Ini kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan. Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan.

Orang yang engkar pada suruhan Allah SWT, biasanya juga akan membawa kepada engkar kepada suruhan, saranan dan pesanan pasangan mereka. Misalnya apabila suami menyuruh si isteri menutup aurat, si isteri enggan. Dia engkar arahan suami sekaligus engkar suruhan Allah SWT. Maka, perlu diingatkan bahawa rumahtangga yang bahagia dan harmoni akan terbentuk hanya apabila setiap pasangan saling mengingati dalam mentaati suruhan Allah SWT.

2. Faktor Pendidikan

Pendidikan adalah satu kewajipan dan amat penting dalam kehidupan tiap manusia. Sekiranya dianggap sebagai perkara yang remeh-temeh, nescaya pelbagai masalah besar akan timbul. Tugas menjalankan tarbiyah terletak pada semua manusia yang ditaklifkan Allah SWT. Namun jika berlaku syirik dan menyimpang dari ajaran-Nya sudah tentu kehidupan manusia hanya rugi semata-mata.

Ramai di antara ibu bapa khususnya menitikberatkan pelajaran kurikulum seperti matematik, sains, sejarah dan sebagainya untuk dipelajari anak-anak mereka. Ramai yang terlupa bahawa pembelajaran agama yang lebih penting dilupakan begitu sahaja. Ada yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk memberikan pendidikan dunia untuk anak-anak mereka tetapi ramai yang tidak sanggup untuk menggunakannya bagi memberikan pendidikan agama. Ibu bapa lebih rasa kecewa apabila anak mereka tidak skor “A” dalam matematik, sains, fizik, kimia, biologi dan sebagainya tetapi apabila pembelajaran al-Quran, pendidikan Islam hanya dipandang remeh sahaja. Sekadar melihat mereka lulus sahaja pun tidak mengapa.

Sistem pendidikan juga memainkan peranan penting dalam menangani isu kekeluargaan. Ini kerana apabila berlaku ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan yang hanya berteraskan keduniaan semata-mata, maka agama akan ditinggalkan begitu sahaja. Pendidikan yang diseimbangkan antara duniawi dan ukhrawi akan membentuk individu dan masyarakat hidup dalam rahmat Allah SWT.

Memetik ucapan dari Perdana Menteri Malaysia ke-4 sewaktu merasmikan Program Rumahku Syurgaku bertarikh 1 Julai 1992 beliau berkata: “Faktor terpenting ke arah mewujudkan rumahtangga bahagia adalah faktor didikan dan asuhan. Bagi seseorang muslim, didikan Islamlah yang menjadi teras utamanya. Apabila setiap anggota dalam rumahtangga terutama anak-anak dan isteri diberi pemahaman yang secukupnya tentang peranan dan tanggungjawab mereka, Insya-Allah akan terbinalah sebuah rumah yang boleh diisytiharkan sebagai Rumahku Syurgaku. Faktor-faktor lain yang perlu dipupuk dalam menghayati keluarga bahagia ialah kejujuran, keikhlasan, tolong menolong dan bertolak ansur. Begitu juga mereka perlu ada sifat “bersyukur” dengan apa yang dikurniakan kepada mereka.Dengan sifat ini bukan sahaja hati manusia akan merasa tenang dan aman bahkan akan mendorong mereka bekerja bertungkus lumus memerah tenaga bagi mencapai kejayaan hidup yang lebih sejahtera dan cemerlang.”[2]

Tidak apa yang lebih penting daripada ilmu pengetahuan. Tuntutlah ilmu walau di mana berada. Jangan berputus asa dengan mempelajari ilmu. Ilmu juga menaik taraf tahap pendidikan seseorang. Oleh itu pendidikan kepada semua manusia wajib diterapkan. Peranan guru yang telah memainkan peranannya dalam mengajar murid-muridnya, juga ibu bapa harus mendidik anak mereka dengan ilmu pengetahuan yang seimbang antara ilmu dunia dan ilmu akhirat.

3. Kewangan dan Ekonomi[3]

Tidak dinafikan, kewangan sering menjadi punca utama konflik di dalam rumahtangga. Ada kajian menunjukkan apabila negara mengalami kegawatan ekonomi, masalah atau konflik di rumah meningkat pula sebanyak 70%.

Kehidupan semasa bujang amat berbeza sekali dengan kehidupan selepas berumahtangga. Misalnya, dari sudut kos kehidupan harian. Kalau semasa bujang, kita tidak menghadapi masalah berkenaan dengan makan minum kita sehari-harian dan apabila lapar, kita hanya pergi ke gerai-gerai atau mana-mana restoran untuk membeli makanan. Berbeza keadaannya selepas berumahtangga. Keluarga harus difikirkan kerana mereka adalah sebahagian dari tanggungan kita. Selain dari makan minum, kos-kos lain dalam kehidupan seharian, kita harus fikirkan, seperti bil-bil air, api, telefon, barang-barang dapur dan semua ini memerlukan kos atau sumber kewangan yang mencukupi.

Apabila masalah kewangan berlaku di dalam sesebuah rumahtangga, konflik boleh tercetus hanya kerana masalah yang kecil. Oleh itu, berhati-hatilah. Terdapat beberapa cara dalam mengatasi masalah kewangan di dalam rumah tangga, antaranya:

I.        Mengawal perbelanjaan di dalam rumah tangga.

II.        Melakukan kerja-kerja sampingan sebagai sumber pendapatan tambahan untuk keluarga. Sebagai contoh, isteri suri rumah sepenuh masa boleh mencari peluang melalui rakan atau jiran tetangga membuat projek kecil-kecilan yang sesuai dengan kebolehannya. Si suami pula, hobi atau minatnya boleh diguna sebagai peluang menjana pendapatan tambahan.

4. Faktor Kesihatan

Islam memandang perkahwinan sebagai cara yang bermanfaat untuk menjaga kaum lelaki daripada keburukan dan bahaya yang dilakukan secara tersembunyi, penyelewengan dan segala yang dapat merosakkan kesihatan fizikal dan mental, jasmani dan rohani.

Rasulullah SAW memperingatkan orang yang ingin melakukan kejahatan dan perbuatan keji dengan sabdanya yang bermaksud: “Ada 7 golongan orang yang pada hari kiamat kelak Allah SWT tidak sudi untuk melihat mereka dan tidak akan membersihkan mereka daripada dosa, bahkan kepada mereka Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang lain yang dimasukkan ke dalamnya.” Tujuh golongan itu ialah:

1. Orang yang melakukan hubungan sejenis, (Homoseks)

2. Orang yang melakukan onani.

3. Orang yang memuaskan hawa nafsu dengan haiwan.

4. Mereka yang menyetubuhi Isteri melalui dubur.

5. Mereka yang mengahwini anak tirinya.

6. Mereka yang berzina dengan isteri jirannya.

7. Mereka yang menganggu jirannya sehingga dia dikutuk olehnya.

(Hadis riwayat Tabrani)

Permasalahan yang timbul dalam hadis ini adalah punca-punca yang mungkin berlaku dalam institusi kekeluargaan. Ia membawa kepada keruntuhan rumahtangga yang dibina runtuh begitu sahaja. Ini adalah penyakit yang melanda walaupun tidak nampak secara zahirnya. Hadis riwayat Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika umatku menghalalkan lima perkara ini, pasti ditimpa kehancuran: Bila mereka saling melaknat sesama sendiri, meminum arak, memakai sutera, menyimpan perempuan simpanan, dan memuaskan nafsu lelaki sesama lelaki (gay) dan perempuan sesama perempuan (lesbian). (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Penyakit-penyakit yang disebutkan dalam hadis di atas menjadi punca korban penyakit kelamin yang amat berbahaya iaitu merebaknya penyakit AIDS, HIV, dan sebagainya.  Sebagai mengambil 2 keterangan yang berbeza yang dinyatakan dalam hadis riwayat Tabrani: Mereka yang menyetubuhi Isteri melalui dubur dan Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi iaitu: menyimpan perempuan simpanan, adalah perkara yang boleh membawa kerosakan rumah tangga. Ini bersangkut paut dalam keluarga apabila agama diletak di bawah, kesihatan juga turut terabai. Ini akhirnya menimbulkan pelbagai masalah yang akan membawa kepada masalah yang lebih besar.

Sejak beberapa tahun lepas langkah kerajaan yang dilaksanakan di semua oleh Jabatan Agama Islam Negeri dengan mewajibkan ujian saringan HIV kepada bakal pengantin adalah langkah terbaik dalam menangani gejala tesebut menular di kalangan pasangan yang akan menjadi suami isteri. Ujian mestilah dilakukan di Hospital Kerajaan dan Klinik Kesihatan Kerajaan. Ini mewujudkan jalan terbaik dalam menyekat penyakit itu daripada menular dengan lebih teruk.

Ini menunjukkan Islam amat menitik beratkan soal kesihatan umatnya. Terdapat beberapa ujian lain yang dijalankan kepada pasangan yang akan berkahwin dengan ujian darah, pemeriksaan kesihatan yang lainnya bagi melangsungkan rumah tangga berjalan seperti yang diingini.


[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Dr. Ali al-Syarbaji. 2009. Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab al-Syafie (Terjemahan). Selangor: Darul Syakir. 3/46.

[3] Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Haji Muhammad Zakaria, Zarina Sarudin. 2005. Menempuh Gerbang Perkahwinan. Selangor. Telaga Biru. 86.

 

Advertisements

Pembinaan Sebuah Keluarga Bahagia

Persediaan memasuki gerbang perkahwinan, pasangan lelaki dan wanita yang akan berkahwin haruslah memastikan mereka telah bersedia dari sudut zahir dan batin, fizikal dan mental. Di sudut zahirnya, biasanya semua orang sudah maklum iaitu bersedia dari sudut kewangan, kesihatan tubuh badan dan lain-lain keperluan. Selain itu, adalah penting bakal pasangan bersedia di sudut minda atau pemikiran, Ini sedikit sebanyak sudah ada dalam fikiran segala maklumat dari segenap sudut tentang alam rumahtangga. Persediaan juga perlu dari sudut ilmu iaitu persedian ilmu agama dan juga ilmu alam rumahtangga. Lebih-lebih lagi bagi lelaki, yang bakal memikul tanggungjawab yang besar apabila menjadi suami, berbanding isteri.

Memetik ucapan Dr. Muhamad Sya’lan, Dekan Fakulti Psikologi Universiti Al-Azhar mengatakan sebagai berikut: “Dewasa ini, kita hidup di dalam masa peralihan sejarah kehidupan masyarakat, di mana isteri tidak lagi dipandang sebagai pelanggan dan peranannya di dalam keluarga tidak hanya untuk melahirkan anak dan memelihara anak, juga tidak semata-mata untuk melayani kepentingan suami sebagai sumber kebendaan semata-mata bagi kehidupan keluarga. Keadaan masyarakat sekarang ini yang memberi kesempatan kepada seorang isteri untuk menyerahkan asuhan dan pendidikan anak-anak kepada penjagaan di luar rumah, seperti di taman asuhan kanak-kanak misalnya, membolehkan dirinya mendapat kebebasan untuk bekerja. Itu merupakan kenyataan baru.

Kenyataan yang baru itu mengakibatkan terjadinya pertelingkahan dalam kehidupan rumahtangga, khususnya apabila isteri memperoleh pendapatan yang lebih besar daripada pendapatan suaminya. Dalam keadaan seperti itu, kedua-dua suami isteri harus dapat memahami kenyataan baru yang mereka hadapi. Kedua-duanya wajib menyedari bahawa nilai-nilai kemanusiaan tidak terletak pada kemampuan kewangan atau ekonominya.

Dalam masa yang amat panjang, pada umumnya, wanita mempunyai pendapatan lebih rendah daripada pendapatan yang didapati kaum lelaki kerana dalam masa yang panjang itu, wanita mempunyai keyakinan yang mendalam bahawa perbezaan hasil pendapatan dengan perbezaan nilai dirinya yang dirasa lebih rendah jika dibanding dengan nilai suaminya. Oleh sebab itu, wajarlah jika berlaku reaksi pada saat terjadi perubahan kenyataan dan perubahan peranan, di mana seorang isteri memperoleh pendapatan lebih besar sehingga ia merasa sebagai pihak yang lebih kuat. Bertepatan pula kalau dalam keadaan seperti itu, keadaan rumahtangga berjalan di sekitar suatu lingkaran yang mengandungi pihak yang berkuasa dan pihak yang dikuasai.”

Kesan negatif yang timbul dari kenyataan tersebut dapat diatasi dengan jalan:

  • Kedua-dua suami isteri harus menyedari dan saling menghormati nilai dan harga dirinya masing-masing, sekalipun di antara kedua-duanya itu terdapat perbezaan, baik dalam hal penghasilan, kecerdasan, mahupun kekuatan jasmani.
  • Hubungan suami isteri harus ditegakkan atas dasar nilai-nilai kemanusiaan, yang ringkasnya sebagai berikut: “Saya adalah manusia yang bernilai, secara kebetulan, pendapatan saya kecil. Akan tetapi, hakikatnya saya adalah manusia dan engkau pun manusia.”

Pertelingkahan ataupun konflik antara suami isteri adalah sesuatu yang terjadi sebagaimana pepatah ada menyebut: ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri’. Maka apabila berlaku pengeseran janganlah diperbesar-besarkan.

“4 cabaran utama dalam pengukuhan institusi kekeluargaan berdasarkan prinsip yang digariskan oleh Islam” (Muqaddimah)

Keluarga bahagia akan melahirkan masyarakat yang bahagia. Demikian pula sebaliknya. Antara persoalan yang menjadi permasalahan besar kepada kehidupan umat manusia ialah untuk membentuk keluarga dan masyarakat yang aman bahagia, mesra dan berkasih sayang.

Al-Ahwal al-Syakhsiyyah menjelaskan hubungan seseorang dengan keluarganya, perkara yang berkaitan dengan hak dan tanggungjawab, material serta akhlak.  Penggunaan istilah al-Ahwal al-Syakhsiyyah dengan maksud yang tersebut merupakan istilah moden berbanding istilah al-Ahwal al-Madaniyyah, yang mengatur hubungan manusia dengan anggota masyarakat di luar sempadan kekeluargaan. Sementara fuqaha’ terdahulu tidak menggunakan istilah tersebut dalam prinsip-prinsip dan hukum kekeluargaan serta perkara yang berkaitan dengannya. Mereka menyebut setiap bab dengan nama yang tertentu, seperti Kitab Nikah, Kitab Sadaq, Kitab Nafaqah, Kitab Talaq, Kitab Faraidh dan seumpamanya.

Semua orang menyedari bahawa kebahagiaan, kemesraan dan kasih sayang itu bukan suatu perkara yang mudah diperolehi dengan harta benda. Ini kerana ia berkaitan dengan jiwa dan roh manusia itu sendiri.  Oleh itu, jiwa dan roh yang baik boleh dibentuk dengan pendidikan yang sihat. Demikian pula, jiwa dan roh sebuah masyarakat itu hanya boleh dibentuk melalui pendidikan keluarga yang sihat. Menjadi fitrah bahawa manusia ini dijadikan Allah SWT berpasangan. Dengan itu, manusia mungkin tampaknya berlumba-lumba mencari pasangan sendiri. Namun, akhir-akhir ini, hubungan perkahwinan bukan terbina dengan majlis akad nikah sahaja, bahkan bagi kebanyakan pasangan muda, hubungan mereka mungkin bermula sejak zaman persekolahan lagi.

Di samping itu, tanpa memahami hukum-hakam agama, banyak juga yang sebenarnya jauh menyimpang daripada norma keagamaan. Berdua-duaan, bersentuh kulit, bercinta monyet, berdating, bergaul bebas dan segala macam budaya baru yang tidak Islamik, diterima masuk dalam masyarakat kita. Ini menimbulkan penyakit-penyakit yang amat bahaya pada diri manusia. Dalam al-Quran terang diterangkan keperihatinan Islam terhadap keluarga bagi memelihara mereka daripada kejahatan iaitu firman Allah SWT dalam surah al-Isra ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina adalah satu perbuatan keji dan satu jalan yang buruk.”

Memetik kata-kata Imam al-Maraghi dalam tafsirnya menyatakan: “Penzinaan sebenarnya membuka  pintu huru-hara dan kegoncangan di kalangan sesama manusia kerana manusia tetap mempertahankan kehormatan. Berapa banyak peristiwa pembunuhan yang timbul kerana keinginan berzina, sehingga sewaktu kita dengar sesuatu peristiwa pembunuhan, maka orang akan terus mengatakan: “Periksalah dulu latarbelakang perempuan yang terlibat.[1].

Al-Syahid Syed Qutub dalam tafsirnya menyatakan: “ Dari sudut yang lain zina merupakan pembunuhan kepada masyarakat kerana kemudahan memuskan nafsu syahwat melalui zina menjadikan kehidupan secara suami isteri merupakan perkara sekunder  bukannya satu keperluan, dan mejadikan keluarga suatu tanggungjawab tidak mustahak. Sedangkan keluarga merupakan tapak semaian yang baik bagi anak-anak kecil, di mana fitrah dan didikan mereka tidak akan sihat dan betul melainkan apabila mereka dipelihara.”[2]

Penulisan ini dikemukakan bertujuan untuk menghuraikan berkenaan cabaran utama dalam pengukuhan institusi kekeluargaan berdasarkan prinsip yang digariskan Islam bermula daripada peringkat sebuah keluarga kecil dan seterusnya menjangkaui masyarakat berbilang bangsa dan kaum. Selain itu, penghuraian cabaran dan mencari solusi bagi setiap isu-isu tersebut. Seterusnya, ia diakhiri dengan kesimpulan dalam membentuk keluarga bahagia dan bagaimana melayari bahtera rumah tangga untuk mengecapi kebahagian dalam sebuah kehidupan.


[1] Syeikh Ahmad Mustafa al-Maraghi. 2001. Tafsir al-Maraghi (Terjemahan). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka. 8/3941

[2] Al-Syahid Syed Qutub. 2000. Tafsir fi Zilal al-Quran (Terjemahan). Kelantan: Pustaka  Aman Press. 10/189.

 

Perkahwinan Gadis Kecil (Tambahan)

Ada sahabat bertanyakan mengenai hukum perkahwinan gadis kecil atau kanak-kanak dalam Islam. Jadi saya akan menambah beberapa pendapat hasil pengamatan dan pembacaan saya tentang ini.

Hukum perkahwinan dengan kanak-kanak dibolehkan dengan persetujuan dari empunya diri dan redha ibu bapa kanak-kanak itu. Tapi terjadi masalah di sini dalam beberapa isu. Sebagai contohnya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Kanak-kanak yang masih tidak mengerti semua itu akan rasa terseksa dan susah. Mungkin bagi suami tidak merasakannya.

Pengamatan dalam konteks rakyat malaysia, kanak-kanak yang berumur 1-12 tahun di  Malaysia belum cukup matang (mungkin boleh dikatakan 99%) dan tidak menunjukkan ciri-ciri yang membolehkan kanak-kanak tesebut dinikahkan seawal umurnya. Mungkin berlainan dengan kanak-kanak bangsa lain seperti arab dan inggeris yang menunjukkan kematangan dalam usia yang terlalu muda.

Pendapat saya, ibu bapa yang ingin menikahkan anak di seawal usia kanak-kanak hendaklah memikirkan maslahah yang akan berlaku pada anak tersebut. Mungkin boleh menunggu sehingga umur belasan tahun atau sikap anak tersebut berubah menjadi dewasa dan bertanggungjawab.

****Boleh memberikan pendapat lagi sebab saya tidak jumpa beberapa dalil penguatnya, InsyaAllah akan ditambah dari masa ke masa***

Tok Guru+Ustaz+Ustazah+Sir+Teacher+Cikgu= GURU (Aku Seorang Guru)

Sejarah di Malaysia yang kita tahu sebelum kedatangan penjajah British berpandukan pengajian pondok atau dipanggil ‘menadah kitab’ semata-mata. Kedatangan British yang punya agenda baik dan buruknya telah memasukkan pelajaran akademik untuk dipelajari. Ianya tidak salah dari satu sudut yang dapat memberikan ilmu kepada manusia.

Apa yang diajar sekarang walaupun matapelajaran yang berlainan tetapi semuanya adalah ilmu yang perlu dipelajari oleh pelajar bermula dari darjah 1 sehingga tingkatan 6. Tidak semestinya terhad kepada ilmu akhirat atau pengajian Islam semata-mata tetapi tidak kurang pentingnya subjek atau matapelajaran akademik. Ini dapat menjadikan kehidupan seseorang pelajar ber’pakej’ yang ada dunia dan akhirat.

Subjek yang diajar kebiasaan bagi:

  1. Ustaz/Ustazah: Fiqh, Hadith, Insya’ Mutalaah, Pendidikan Islam, Sirah, Nahu Sorf, Tauhid, Tafsir, Hafazan Al-Quran, Imlak, Khat, Jawi, Bahasa Arab Dll.
  2. Sir/Teacher: Bahasa Inggeris. (Mungkin juga tambahan pelajaran yang diajar dalam BI iaitu Matematik, Sains, EST Dll)
  3. Cikgu: Sains, Bahasa Melayu, Matematik, Geografi, Perdagangan, Ekonomi, Kemahiran Hidup Dll.

Walaupun gelaran yang berbeza, hormatilah kesemuanya yang dipanggil Tok Guru+Ustaz+Ustazah+Sir+Teacher+Cikgu= GURU kerana apabila guru redha ilmu yang diberikan kepada anak-anak murid, maka kehidupan seorang pelajar akan lebih teratur, diredhai Allah, disukai semua orang dan disinari cahaya keberkatan.

Marahku pada anak-anak murid…(Aku Seorang Guru)

Hari ini terjadi satu peristiwa yang amatku sesali. Aku memarahi anak-anak muridku yang nakal-nakal di dalam kelas. Apabila berfikir semula adakah marahku patut ditujukan ataupun tidak. Sememangnya aku tidak menggunakan rotan, kayu pembaris, paip getah dan sebagainya untuk melampiaskan nafsu ammarahku pada mereka.

Kesalahan murid sememangnya patut ditegur dengan berhikmah sekali. Marahku hanya meninggikan suara menyuruh mereka diam sahaja. Alangkah mereka seperti ketakutan kepadaku dan pengajaran untuk hari ini seolah-olah terbantut seketika. Alhamdulillah ‘mood’ ku tidak hilang begitu sahaja.

Sebagai guru anak-anak murid adalah tanggungjawab kita. Ibu bapa mereka menghantar mereka untuk kita didik sebaiknya. Bukan untuk dimarahi dan ditengking ikut suka. Sayang seorang guru pada anak murid ternyata seperti anak-anak sendiri.

Biarpun marah seorang guru bukan bererti guru membenci dan tidak sayangkan anak muridnya. Amanah yang diberi akanku jaga sebaiknya. aku akan memberi mereka ilmu sekadar kemampuan yang ada insyaallah…

nantikan coretan akan datang,……

Sampaikanlah Walaupun Satu Ayat… (Aku Seorang Guru)

Nabi SAW bersabda:

(بلغ عني ولو أية.. .. (إلى أخر حديث

Maksudnya: Sampaikan daripadaku (Nabi Muhamad) walaupun satu ayat…(Sehingga habis habis)

Dari maksus ayat inilah ternyata bagi kita untuk menyampaikan apa yang dipelajari kepada orang lain. Tugas menyampaikan ilmu tidak hanya kepada guru, ustaz, cikgu di sekolah rendah mahupun menengah atau di peringkat universiti yang dipanggil pensyarah tetapi terletak juga atas bahu seorang Muslim. Menyampaikan ilmu penting untuk mengeluarkan manusia dari kepompong kejahilan kepada cahaya kebenaran. Ini akan meletakkan seseorang yang berilmu ditempat yang tinggi.

Tanggal 1 Januari 2011, tercatat sejarah pertamaku bergelar seorang guru di salah sebuah sekolah agama di Kedah. Alhamdulillah walaupun pelajarku yang pertama hanya 15 orang tetapi semangat untuk menyebarkan ilmu untuk anak didikku berkobar-kobar. Ditugaskan mengajar subjek akademik seperti Sains, Geografi, Bahasa Melayu dan juga subjek agama iaitu Insya dan Mutalaah. Harapanku untuk menyebarkan ilmu pengetahuan kepada anak didikku bermula. Aku ingin mengeluarkan mereka dari tidak tahu kepada tahu.

Sampai hari ini sudah masuk 2 minggu aku bergelar guru yang anak didikku memanggilku (Ustaz, Cikgu dan Sir). Semua itu gelaran yang pernah aku sahutkan kepada guru-guruku. Apabila tiba hari ini panggilan itu telah ditujukan kepadaku.

Tugasku menyampaikan ilmu walaupun ilmu yang ada tidak seberapa tetapi usahaku menimba ilmu tetap ada. Ilmu yang diperolehi akanku tabur dan luahkan kepada anak-anak didikku yang dahagakan ilmu.Sampai bila pun akan aku pikul tugas ini untuk mendidik umat Islam ini.

Aku mulakan dengan mengajar anak-anak didikku dalam lingkungan umur baru meninggkat remaja sebagai permulaanku sebelum aku menjangkau kepada lapisan umur yang berusia daripadaku.. Ini juga satu permulaan sebagai seorang pendidik..

Benarlah apa yang aku pegang selama ini sebagai moto “Sampaikan Walau Satu Ayat”..

Bersambung…..