Catatan Peristiwa Sejarah di Bulan Ramadhan (Poster)

Alhamdulillah sekali lagi diberi kesempatan untuk berkongsi sedikit catatan hasil pembacaan saya berkaitan dengan peristiwa bersejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Di dalam poster ini saya muatkan beberapa peristiwa yang berlaku bermula dari zaman Nabi SAW sehingga kini. Apa yang dicatatkan ini bukan lah sempurna dan lengkap tetapi ini sahaja yang saya jumpa buat masa sekarang.

Saya amat mengalu-alukan teguran dan nasihat dari anda semua.

Pautan Muat Turun:

https://drive.google.com/file/d/1-k7sapRnAidkNMl7Vm1VYTpEEiNAERDM/view?usp=drivesdk

Perayaan Maulidur Rasul Bida’ah??

Muqadimah

Maulidur Rasul adalah satu sambutan yang di sambut oleh sebahagian masyarakat khusunya di bumi Malaysia dan seluruh dunia amnya. Maulidur Rasul diambil sempena tarikh kelahiran baginda Rasulullah SAW iaitu pada tarikh 12 Rabiulawal tahun gajah atau 20 april pada tahun yang sama sepertimana yang disepakati oleh sebahagian ulama’ .

Dari sudut agama sambutan Maulidur Rasul ini adalah satu perkara baru yang dicipta yang tidak pernah wujud sebelum ini yang diraikan. Perkataan bida’ah seperti yang dimaksudkan oleh sebahagian ulama iaitu mengadakan sesuatu yang baru yang tidak ada dalil yang jelas sama ada di dalam al-Quran, al-Hadith dan lain-lainnya. Bida’ah terbahagi kepada dua bahagian iaitu bida’ah hasanah (sesuatu perkara yang baik) dan bida’ah dhalalah (sesuatu perkara yang buruk dan keji).

Dimanakah Bida’ahnya Perayaan Maulidur Rasul Ini?

Pada hakikatnya, amalan-amalan yang berunsur kebaikan tidak disebut sebagai bida’ah. Hal ini kerana bida’ah mengikut istilah syarak hanya dikhusukan kepada perkara yang terselit kejahatan di dalamnya. Apabila diteliti dan dikaji, banyak ayat-ayat di dalam al-Quran menyuruh ke arah melakukan kebaikan dan amalan soleh dan tidak ada satu pun ayat yang mengaitkan masa dan keadaan tertentu untuk melakukannya. Bertepatan dengan firman Allah SWT :

Maksudnya :  Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

 (Surah al-Zalzalah 99 : 7-8)

Perayaan Maulidur Rasul disambut untuk meraikan serta mewujudkan mahabbah rasa cinta dan kasih kepada Nabi Muhammad SAW. Dalam berhimpun beramai-ramai melaungkan selawat dan salam ke atas baginda, mengingati sejarah perjalanan hidupnya akan menimbulkan perasaan sebak dan hiba dan merasakan seolah-olah baginda berada di sisi. Adakah ini yang disebut sebagai perkara yang dikeji agama (bida’ah dhalalah)? Mungkin kita semua dapat memikirkannya dari sudut mana kita memandangnya.

Syeikh Dr. Abdul Halim Mahmood, bekas Syeikh al-Azhar dalam fatwanya berkenaan sambutan Maulidur Rasul menurutnya : Sesungguhnya, perayaan sambutan Maulidur Rasul merupakan sunnah yang baik, termasuk dalam sunnah yang diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya :

مَنْ سَنَّ سُنَّةً حَسَنَةً فَلَهُ أَجْرُهَا وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا ، وَمَنْ سَنَّ سُنَّةً سَيَّئَةً فَعَلَيْهِ وِزْرُهَا وَوِزْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا

Maksudnya : “Sesiapa yang mengadakan suatu amalan baru yang baik, nescaya adalah pahala baginya dan pahala bagi orang yang mengamalkannya. Sesiapa yang mengadakan dalam agamanya suatu amalan baru yang dikeji, nescaya dosa atasnya kerana amalan tersebut dan dosa bagi yang melakukannya.”

(Hadith Riwayat Muslim dalam al-Sahih no. 1017)

Menurut Prof. Dr. Syeikh Yusuf al-Qaradhawi dalam soalan yang pernah diajukan kepada beliau mengenai perayaan sambutan memperingati Maulidur Rasul SAW pada 27 Mac 2007 yang lalu mengatakan : “Ada dalam kalangan ulama Islam yang menghukumkan bahawa apa-apa jua bentuk sambutan atau sebarang bentuk keprihatinan atau perbincangan serta forum yang berkaitan dengan memperingati peritiwa-peristiwa penting dalam Islam sama ada Hijrah Rasulullah SAW, Isra’ Mikraj, kelahiran Rasulullah SAW, peperangan Badar al-Kubra, pembukaan Kota Makkah al-Mukarramah ataupun segala peristiwa yang berkaitan dengan sirah Rasulullah SAW, mahupun apa-apa jua komentar yang mempunyai persamaan dengan tajuk-tajuk di atas, adalah sebagai suatu bidaah yang dikeji dalam agama. (Kata mereka lagi): “Setiap amalan bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu akibatnya Neraka.”

Kenyataan yang bersifat sebegini adalah bersifat umum dan secara dasarnya tidak betul.  Sesungguhnya perkara yang kita tentang di sebalik semua ini adalah sambutan- sambutan yang bercampur aduk dengan perkara- perkara mungkar, amalan- amalan yang bercanggah dari segi syarak, dan sesuatu amalan yang tidak mempunyai dalil sebagaimana yang terjadi di sesetengah negara Islam dalam konteks sambutan Maulidur Rasul dan memperingati kelahiran para wali dan orang-orang soleh yang mereka anjurkan. Namun, jika kita mengambil kesempatan di sebalik sambutan ini untuk mengingatkan umat Islam menghayati perjalanan hidup Rasulullah SAW, keperibadian Nabi agung SAW dan risalah agungnya yang menyeluruh untuk semua manusia, yang berkekalan sampai ke hari Kiamat yang telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai rahmat untuk seluruh alam, maka di manakah bida’ah dan sesatnya amalan seperti ini?

Di sinilah menunjukkan kepada kita bahawa perbezaan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak berilmu dalam memberi sesuatu pengkhabaran dan hukum ke atas sesuatu. Moga dengan hukum yang dikeluarkan dari lidah orang berilmu akan membawa ke jalan yang benar.

 

Perbalahan Yang Tiada Penghujung

Kerana berbicara tentang bida’ah semua telah disesatkan oleh sebahagian manusia. Di manakah sudut yang boleh dipandang jika iainya membawa kebaikan? Adakah hanya bergaduh dan bertikam lidah yang tiada penghujung boleh menyatukan umat Islam? Wujudnya khilaf itu ada rahmat disebaliknya untuk membolehkan umat Islam berfikir sama ada suatu itu membawa kebaikan atau keburukan. Bukan menegakkan satu idea dan pandangan sahaja bagai menegakkan benang yang basah. Inilah luasnya Islam menjana pemikiran dan pandangan umat selepas berdalilkan al-Quran dan al-Sunnah. Kesatuan idea dan pemikiran dalam menterjemahkan hukum Islam adalah sesuatu yang diterapkan menerusi Ijma’ dan Qiyas apabila tiada di dalam sumber asalannya. Begitu juga dengan dalil-dalil yang lain yang disepekati dan tidak disepakati. Oleh itu tidak salah kepada kita bercanggah idea antara satu sama lain. Ulama di zaman silam dahulunya juga ada berkhilaf dalam beberapa perkara tetapi mereka tetap kembali kepada sumber teratas sekali iaitu al-Quran dan Al-Sunnah. Jangan menganggap diri sendiri sahaja yang benar dan orang lain dipersalahkan dalam mengenengahkan sesuatu pendapat.

Waalahu’alam…