Syafaat Anak-Anak Kepada Ibu Bapa Melalui Aqiqah

Muqadimah

Anak-anak adalah cahaya penyejuk mata, penenang sanubari bagi pasangan ibu bapa. Lahirnya mereka ke dunia ini sebagai pelengkap sesebuah keluarga. Ibu bapa pasti akan gembira menyambut kelahiran putera atau puteri yang mewarisi kecantikan dan kekacakan ibu bapa. Bagi melahirkan rasa syukur kepada Allah di atas kurnian itu, Islam menggalakkan aturcara menyambut kelahiran dengan diazankan di telinga kanan dan diiqamahkan di telinga kiri, memberi nama yang baik, aqiqah dan sebagainya. Permulaan yang baik inilah yang menjadi pendidikan pertama bagi anak-anak sebagai pembelajaran di peringkat bayi yang perlu dirangsang perkembangannya.

Lahirnya seorang bayi diiringi tangisan menjadi penawar kesakitan ibu yang mengandung sembilan bulan membawa perut ke sana-sini. Bapa yang menunggu kelahiran tidak sabar-sabar untuk mengalunkan azan dan iqamah bagi menzahirkan rasa syukur kepada Allah atas rezeki yang diberikan. Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam Tuhfah al-Maudud menyebut tentang rahsia azan dan iqamah : Biarlah perkataan pertama yang didengari manusia ialah panggilan Allah SWT yang mengandungi sifat ketinggian dan kebesaran. Syahadah juga merupakan tanda masuknya seorang anak ke dalam agama Islam.

Selain itu dilakukan tahnik (belah mulut) untuk memberi kekuatan kepada bayi bagi hisapan susu ibunya. Sunat dilakukan cukur kepala pada hari ketujuh bagi anak lelaki mahupun perempuan bagi membuka liang roma serta menguatkan pancaindera penglihatan, pendengaran dan penghiduan. Diberikan nama dan gelaran yang baik maksudnya dan bukan nama yang keji dan dibenci. Anak yang lahir seolah-olah masih diikat dan hanya akan ditebus apabila aqiqah dilakukan. Inilah yang diajarkan oleh agama Islam yang telah menyusun atur adab dalam kehidupan terutama dalam institusi kekeluargaan.

Definisi Aqiqah

Perkataan al-Aqiqah (العقيقة)berasal daripada perkataan al-‘Aqqu (العق). Dari istilah bahasa ia bererti memotong atau memutuskan. Aqiqah dari istilah syara’ ialah binatang yang disembelih bersempena rambut bayi yang dicukur. Sembelihan tersebut dinamakan `aqiqah kerana ia dipotong dan dilapah. Justeru perkataan aqiqah itu sunat disebut ibadah aqiqah atau sembelihan aqiqah. Pada asalnya aqiqah ialah nama bagi rambut bayi ketika dilahirkan. Rambut tersebut dinamakan sedemikian kerana ia dicukur atau dipotong. Hukum aqiqah adalah sunat muakkad. Ibu bapa atau waris bayi dituntut melakukannya berdasarkan sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat.

Aqiqah Menurut Syara’.

Setiap sesuatu yang terjadi pasti memerlukan bukti dan dalil-dalilnya. Dalm hukum Islam ia pasti bersandarkan al-Quran dan Hadith. Begitu juga dalam aqiqah terdapat banyak hadith yang menyebut tentang pensyariatan aqiqah. Daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda :

عَقَّ عَنْ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا

Maksudnya : “Disembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin, masing-masing seekor kambing.”

(Hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Jarud)

Hadith dia atas menunjukkan memadai aqiqah bagi kanak-kanak lelaki dengan seekor kambing. Ia menunjukkan aqiqah daripada sembelihan tersebut untuk mendekat diri kepada Allah dan beribadat kepada-Nya sebagai kesyukuran diatas nikmat kurniaan zuriat tidak kira sama ada lelaki atau perempuan . Imam Ahmad berkata aqiqah merupakan sunnah Rasulullah SAW sebagaimana baginda telah beraqiqah untuk cucunya Hasan dan Husin. Ia menjadi ikutan para sahabat dan tabi’ tabiin sehingga sekarang.

Berbeza hadith daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أَنْ يُعَقَّ عَنْ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ ، وَعَنْ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya : Aqiqahkan anak lelaki dua ekor kambing yang sama umurnya dan untuk anak perempuan seekor kambing.”

(Hadith Riwayat Tirmizi)

Hadith di atas menunjukkan bahawa disyariatkan aqiqah dan ia menjadi hujah kepada mereka yang mewajibkan, kerana perintah menunjukkan wajib sedangkan jumhur ulama iaitu imam yang empat Abu Hanifah, Malik, Syafi’ie, dan Hambali berpendapat bahawa hukumnya sunat muakkad bukan wajib. Dapat dilihat hadith ini secara terang menunjukkan bahawa bagi kanak-kanak lelaki dua ekor dan anak perempuan seekor. Hikmah membezakan anak lelaki dan perempuan kerana aqiqah adalah ibadat syukur kepada Allah diatas nikmat zuriat keturunan. Anak lelaki lebih besar nikmat kurniaan daripada berbanding anak perempuan maka ia adalah satu tanda syukur di atas kurniaan.

Pertembungan dua hadith yang disebutkan sama ada diaqiqahkan seekor atau dua ekor kambing tidak menunjukkan pertentangan besar yang berlaku. Ia mengikut kemampuan ibu bapa atau waris kepada bayi melaksanakannya. Afdal (lebih baik) diaqiqahkan dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor kambing bagi anak perempuan.

Masa Sesuai Melakukan Aqiqah

Masa yang paling afdal dilakukan aqiqah adalah pada hari ketujuh berdasarkan hadith Samurah bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ ، يُذْبَحُ عَنْهُ يَومُ السَّابِع

Maksudnya : ”Bayi itu tergadai dengan aqiqah, disembelih aqiqah untuk pada hari ketujuh..”

(Hadith Riwayat Tirmizi)

Menurut Syeikh Muhammad Arsyad Abdullah al-Banjari dalam bukunya Sabil al-Muhtadin menyatakan waktu aqiqah apabila keluar tubuh kanak-kanak dan berlanjutan sehingga balighnya.Apabila kanak-kanak itu baligh maka gugurlah tuntutan dari bapanya. Jika berlaku sehingga umur baligh belum dilakukan aqiqah sunat bagi anak itu melakukan aqiqah untuk dirinya. Dalil daripada Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Tabrani menyatakan bahawa Rasulullah SAW melakukan aqiqah untuk dirinya selepas diutuskan menjadi rasul.

Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat : “Penyembelihan aqiqah dilakukan pada hari ke tujuh, jika tidak dapat maka pada hari yang keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari ke dua puluh satu”. Ada beberapa ulama berpendapat bahawa jika pada hari-hari tersebut belum juga dapat dilakukan penyembelihan aqiqah, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain yang mungkin untuk melakukannya.

Syarat Haiwan Yang Dipilih Untuk Aqiqah

Menurut ijmak para ulama mengatakan, bahawa syarat umur haiwan yang dipilih untuk melakukan aqiqah sesuai dengan haiwan yang dipilih.

a) Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.

b) Lembu atau kerbau, berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.

c) Kambing atau biri-biri, berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.

d) Kibash, berumur 1 tahun atau bersalin gigi.

Haiwan yang dipilih juga disyariatkan tidak ada sebarang kecacatan. Daging sembelihan aqiqah disunatkan disedekahkan setelah dimasak, dengan masakan yang sedikit manis dan tidak pedas. Ini berlainan dengan daging korban yang sunat disedekahkan ketika masih mentah. Suatu perkara yang perlu diperhatikan dalam mengurus daging aqiqah ini, hendaklah kita tidak memecahkan tulang-tulangnya. Tetapi potonglah dengan mengikut sendi-sendinya sahaja. Sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad mengadakan aqiqah anaknya Hasan dan Husin, maka Rasulullah SAW bersabda: “Makan dan jamulah seleramu, tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya.”

Leave a comment