SELAMAT HARI GURU… “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”

Tanggal 16 Mei akan diumumkan tarikh ini bagi meraikan sambutan buat semua guru. Marilah sama-sama kita mengingatkan kembali, untuk sentiasa menghargai jasa-jasa seorang guru.

Tentu sekali agak sukar bagi seorang guru untuk mengingati murid-muridnya yang begitu ramai, tetapi adalah tidak patut bagi seseorang murid itu tidak mengenali dan mengingati guru yang pernah mengajarnya. Adapun guru itu masih hidup atau sudah kembali ke rahmatullah, doakanlah kesejahteraan mereka, sama ada di dunia mahupun di akhirat kelak. Sekali dia menjadi guru kita, selama-lamanya dia tetap guru kita.

Seorang penyair mesir Ahmad Shauqi pernah berkata :

قُمْ لِلْمُعَلِّمِ وَفِّهِ التَبْجِيلاً # كَادَ الْمُعَلِّمُ أنْ يَكُوْنَ رَسُوْلاً
Maksudnya : Bangunlah menghormati guru dan berilah penghormatan kepadanya # Hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang rasul

Apapun panggilan kita kepada guru sama ada panggilan Tuan Guru, Ustaz, Ustazah, Cikgu, Sir, Teacher atau apapun panggilan seumpamanya mereka adalah insan yang sama. Mereka layak digelar ulama terhadap bidang masing-masing dalam menyampaikan pengajaran ilmu kepada anak muridnya.

Apakah yang kita dapat kita sumbangkan kembali kepada guru-guru kita?

Amatlah wajar untuk menzahirkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada insan yang sangat berjasa ini atas sumbangan yang tidak terhingga ini. Mungkin kita tidak sedar, pada hari ini, kejayaan yang kita kecapi ini adalah bermula dari segala usaha dan pengorbanan para guru kita. Mungkin juga oleh doa tulus ikhlas yang tidak pernah putus diucapkan oleh bekas guru-guru kita selepas kali selepas solat mereka. Itulah salah satu punca berkatnya kehidupan kita pada hari ini.

Tema Sambutan Hari Guru 2020 kali ini menyentuh peranan guru dalam memperkasa keilmuan dan profesionalisme bagi membina generasi baharu negara yang dapat memenuhi matlamat falsafah pendidikan kebangsaan iaitu “Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”

Tidak dapat dinafikan bahawa tanggungjawab dan peranan guru dalam mendepani norma baharu ini menuntut para guru untuk lebih berusaha gigih dalam menghasilkan anak murid yang berilmu, berakhlak mulia,serta mempunyai jati diri yang kuat dalam mendepani kehidupan seharian yang semakin mencabar. Guru juga bertindak seperti ibu bapa dalam mendidik serta mengajar anak-anak murid mereka ketika di sekolah. Betapa pentingnya di sini bagi seorang guru untuk mempersediakan persediaan fizikal dan mental diri yang kuat bagi mendepani ragam dan karenah murid yang terdedah dengan pelbagai anasir luar bersifat negatif yang perlu dibentes kuat oleh mereka dalam membina genarasi baharu yang akan mewarisi dari apa yang ditinggalkan sekarang.

Dalam situasi ini juga peranan ibu bapa dan masyarakat amatlah penting dalam membantu serta menyokong usaha guru-guru dalam membantu mendidik anak mereka. Kerjasama antara guru dan ibu bapa amat penting ke arah melahirkan generasi berjaya. Ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan urusan mendidik anak-anak mereka semata-mata kepada guru sahaja. Marilah kita melakukan muafakat antara masyarakat dan para guru, berkongsi keberkatan dan kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

اَلعَالِمُ وَالمُتَعَلِّمُ شَرِيكَانِ فِى الخيَرِ وَلاَ خَيرَ فِى سَائِر النَّاسِ. (رواه ابن ماجه)

Maksudnya : Guru dan murid kedua-duanya berkongsi kebaikan, dan tidak ada lagi kebaikan pada sekalian manusia selain mereka.
(Riwayat Ibnu Majah)

Dalam suasana hari ini, kaedah pengajaran dan pembelajaran agak sedikit berbeza dalam situasi kita berhadapan Pandemik Covid-19 ini. Difahamkan bahawa ada dikalangan guru menggunakan kaedah online sebagai alternatif bagi mengisi kekosongan waktu cuti dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Selain itu terdapat juga guru yang mencari jalan berkomunikasi menggunakan aplikasi media sosial seperti whatapps, facebook dan sebagainya untuk menyampaikan ilmu dan pembelajaran. Di sinilah betapa pentingnya kecaknaan ibu bapa dengan menghubungi guru-guru supaya tidak membiarkan anak-anak mereka dalam masa cuti yang tidak terisi dengan apa-apa dengan mengikuti kaedah baharu yang digunakan ini. Maka di sini akan wujudlah komunikasi dua hala antara ibu bapa dan guru yang akan mengeratkankan lagi hubungan antara mereka.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mendoakan agar Allah SWT mempermudahkan setiap urusan kita termasuklah urusan para guru-guru kita agar mereka akan terus menabur bakti dengan ikhlas dalam mengajar serta mendidik anak-anak murid untuk kejayaan di dunia mahupun akhirat.

Salam Ikhlas Daripada :
Syeikh Mohd Firdaus Bin Mohd Khalil
Ketua Penolong Mufti (Rujukan Fatwa)
Jabatan Mufti Negeri Kedah
Ahad | 17 Mei 2020 | 2.30 Pagi

*** Diolah kembali dari penulisan khutbah jumaat yang saya tulis sempena Hari Guru.

Leave a comment