Category Archives: Santapan Minda

Tajuk Yang Tidak Rasmi : Sedikit Cerita dan Nasihat Buat Lelaki dan Perempuan (Suami Isteri)

Selesai pembacaan sebuah buku kecil berbahasa Indonesia yang sarat dengan kisah seorang isteri, ibu dan menantu iaitu Latifah al-Suli atau nama sebenar Latifah binti Husin. Mungkin ada yang bertanya siapakah dia? Kenapakah saya memilih namanya untuk diberikan sedikit pujian? Beliau adalah isteri kepada Hasan al-Banna. Menantu kepada Abdul Rahman al-Banna dan Hajjah Ummu Saad.

Dalam masa satu jam Alhamdulillah dapat saya selesaikan pembacaan yang menghampiri seratus mukasurat dalam buku Persembahan Cinta Isteri Hasan al-Banna karangan penulis Muhammad Lili Nur Aulia. Pada mulanya saya terasa mengantuk untuk meneruskan pembacaan akan tetapi sehelai demi sehelai muka surat dibuka menambahkan rasa ingin meneruskan pembacaan sehingga selesai.

Dalam bahasa yang mungkin tidak tersusun saya ingin menulis sedikit ringkasan dan kesimpulan dari sebuah kisah yang mana inilah satu sejarah yang berlaku di mana menunjukkan seorang insan bernama wanita mampu menggegarkan dunia. Saya tidak mahu dikatakan tidak memuji Ummahat al-Mukminin isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Mereka adalah yang terbaik. Saya coretkan di sini agar dapat dicontohi buat tatapan para gadis, wanita yang mahukan satu perubahan yang baik dari seorang wanita yang lahir pada tahun yang berlalu tidak jauh dari kita.

Hebatnya seorang wanita adalah berasal dari didikan keluarganya. Lihatlah bagaimana Ibu Hasan al-Banna memilih seorang wanita yang ingin dijadikan isteri kepada anaknya, dipilih kerana bacaan al-Quran dan akhlaknya. Pakej yang ada pada diri Latifah al-Suli membuatkan dirinya layak bergelar isteri kepada Hasan al-Banna.  Inilah yang telah diaturkan Allah SWT dalam qada dan qadarnya. Di sini jugalah dilihat satu kehebatan yang tidak tertanding nilainya apabila cinta Latifah dan Hasan al-Banna bersatu tanpa cinta sebelum pernikahan. Maksiat dan dosa percuma dilakukan sebelum pernikahan berlaku. Bagaimanakah kita mengharapkan sesuatu yang hebat.. Anak-anak yang lahir akan menjadi hebat.. (mengalir air mata saya mengucapkannya kerana diri saya yang tidak seberapa dan mengenang dosa-dosa lalu)

Kembalilah kepada jalan Allah wahai orang muda seusia saya juga.. Anda belum terlambat lagi sedar dari buaian mimpi dunia.. Kamu mengharapkan akan berkahwin. Pilihlah apa yang disuruh Nabi Muhammad SAW. Semua tahu hadith itu. Kecantikan, kebangsawanan, keturunan dan Agama.. Agama yang menjadi titik mula pemilihan seorang isteri.. Wahai pemudi Islam.. Andai lelaki yang baik datang ingin menikahimu janganlah menolaknya.. Insyaallah ada kebaikan padanya. Bukan bermaksud tidak boleh memilih tetapi setelah dipersetujui keluargamu.. Maharmu yang rendah, maruahmu yang tinggi.. (Saya tidak mahu komen tentang mahar yang tinggi atau rendah.. Jangan membebankan.. sesungguhnya seorang lelaki lebih bersyukur apa yang didapatinya dalam keadaan rela hati dan terbuka)

Apabila sudah berkahwin nanti dasari rumah tangga dengan agama.. Kita sama-sama memperingatkan antara satu dengan lain. Kita sama-sama berusaha membaiki rumahtangga sedia ada. Yang belum berkahwin persiapkan diri dengan ilmu agama. Wang ringgit , persedian harta benda bukanlah utama andai tidak ada ilmu untuk menguruskannya.

Wahai wanita yang bakal bergelar isteri dan sudah bergelar isteri..jangan lupa menjaga maruahmu.. Jangan jadi tubuh badanmu tonton selain suamimu.. Jangan lupa sentiasa berhias pada suamimu.. Suamimu bukan inginkan kesempurnaan.. tetapi cukup apa cukup pada kebiasaan.. bekerjasama dalam rumah tangga.. Jangan sembunyikan perasaan dan buruk sangka pada suami atau isteri…Sikap percaya suamilah Isteri Hasan al-Banna dapat menjaga perasaan dan dirinya sekaligus menjadi penguat semangat kepada Hasan al-Banna.. Jangan cemburu buta.. Takkan ke mana.. Rosaknya rumahtangga andai tiada sikap saling percaya..

Cuba dan cuba sedaya upaya wahai isteri dan juga suami.. wujudkan suasana beragama di dalam rumah yang dibina.. Solatlah berjemaah walaupun sekurang sekali waktu sahaja dari lima.. Saya yakin dan percaya Allah akan memlihara keluarga itu.. Ajarkan isteri untuk bercukup apa yang ada.. Jangan lupa wahai suami hadiahkan isteri akan dengan kasih sayang kerana Allah.. Apa yang perlu anda lebih tahu bagaimana romantiknya…

Yang sudah berkahwin jangan lupa anda bukan berkahwin suami isteri… Ingatlah ia adalah perkahwinan yang menghubung dua keluarga.. Mentua dan besannya.. Berusahalah mengenal ahli keluarga sesame sendiri.. Suami perkenalkanlah ahli keluarga kaum kerabatmua kepada isteri dan isteri juga jangan hanya perkenal ahli keluarga terdekatmu sahaja.. Silaturrahim akan terbentuk dan keluarga menjadi aman bahagia.. (Perkara ini bukan perlu seminggu dua untuk kita kenal.. ambillah masa.. sekurangnya berjumpa di jalanan, bertempuh bahu kita kenal ini adalah keluarga.. ini rakan…)

Isteri… suami balik kerja kadang-kadang mungkin serabut.. jangan biar rumahnya juga begitu.. sekurangnya sedap mata memandang.. (Saya tujukan buat semua isteri-isteri di luar sana termasuk isteri saya di rumah.. Alhamdulillah isteri saya ni pembersih sikit kecuali jarang-jarang.. Jangan marah ya…)) Kadang-kadang anak-anak yang selerakkan barang permainan mereka..

Jangan marahkan anak-anak terutama mereka yang masih bayi.. cuba sedaya upaya jangan tinggikan nada suara.. berkata tidak baik kepada anak-anak.. Doakan mereka.. dodoikan dengan lagu selawat dan bacaan quran.. nasyid yang berfaedah.. Biarlah anak-anak kenal Allah, Nabi , Malaikat dan sesuatu yang baik.. Takkan anak-anak perlu dikenalkan kepada boboiboy, doremon, ultraman, superman dan sebagainya.. Alangkah rugi andai perkara pertama yang anak-anak kenal adalah perkara tidak berfaedah.. Cuba kita elakkan.. semangat dari suami sahaja untuk berubah tidak akan cukup andai isteri tidak bersama-sama menjadikan mereka sebagai tempat yang dikatakan sekolah yang pertama bagi anak-anak… Zikirkan sesuatu ditelinga anak bukan lagu tidak berfaedah…

Anak-anak yang akan lahir nanti.. yang sudah lahir niatkan untuk Islam.. Latih mereka mengenal agama.. Banyak buku rujukan, tanyalah yang pakar.. Ajarkan mereka dengan apa yang diajarkan Islam.. Bacalah buku karangan Abdullah Nasih Ulwan iaitu Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan ANak-Anak Di Dalam Islam) Cari di JAKIM yang terjemahan.. Dalam ini sarat pelbagai perkara..

Wahai Suami.. Saya pun sama.. Jadikan rumahtangga kenangan terindah bagi isteri.. Bukan mimpi ngeri..Jaga sebaik mungkin.. Berusaha menjadikan rumah tangga sebagai rumah tangga yang terbaik..

Saya bukan menulis semua di atas untuk mengatakan semuanya saya sempurna.. Ada juga masam manis, pahit, pedas.. Tetapi saya cuba, berdoa, bertawakal agar dapat mencontoh sedikit daripada keperibadian Nabi Muhammad SAW, Para Sahabat, Tabiin, Ulama, Tokoh Islam dan lain-lain lagi tokoh yang baik.. Bagi lelaki yang membaca jadilah suami yang terbaik… Bagi wanita yang membacanya jadi Isteri yang terbaik…

Advertisements

Kematian..Adakah Kita Bersedia??

Takrif Kematian

Kematian adalah perkara yang ma’aruf dan sabitan kematian dengan keluarnya roh dari jasad atau tidak bernyawa.

Al-Jurjani dalam al-Ta’rifat hal 304 menyebut kematian adalah sifat wujudiah, diciptakan berlawanan dengan kehidupan. Mengikut istilah ahli haq, kematian ialah melawan hawa nafsu. Maka barangsiapa mematikan hawa nafsunya, nescaya beliau hidup dengan hidayatnya.

Hakikat Kematian

Kematian merupakan ciptaan Allah SWT. Inilah yang dinaskan dalam al-Quran. Firman Allah SWT (Surah al-Mulk: 2) yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.

Al-Maraghi berkata: Hanya Dia yang menentukan kematian dan kehidupan setiap individu. Kehidupan dan kematian itu mempunyai waktu tersendiri yang hanya diketahui oleh-Nya sahaja. Untuk menentukan setiap hukuman ke atas kamu, Dia akan melihat amalan yang ikhlas di antara kamu. Ini kerana Dia membalas setiap amalan kamu berdasarkan perbezaan martabat dan perbuatan kamu sama ada perbuatan hati atau anggota badan.

Ingatlah

Manusia pasti akan mati apabila sampai masanya. ingatlah kematian kerana kita tergolongan di kalangan orang yang bertakwa kepada Allah. Takutlah mati, kerana ia datang mengejut. Sana sini kedengaran berita kematian. Adakah kita sedar bahawa kita juga akan mati? Ataupun kita terlupa bahawa umur kita dah berada di penghujung?

Yang muda mati di jalanraya merempit, yang tua mati di katil rumah sakit. Yang muda mati di tayar lori, yang tua nazak menunggu hari.. Yang muda ingat lambat lagi nak mati, esok hari mati jatuh titi..Yang tua sakit bagai nak mati, tapi hidup nyawa tak henti.

Ya Allah Ya Tuhanku.. Matikan aku dalam husnul khatimah..Jauhkan matiku dari su’ul khatimah..

Tadabbur Al-Quran (Untuk Pelajar Sekolah Rendah)

25 Oktober lalu, saya diberi tanggungjawab mengendalikan satu program motivasi kepada pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Taman Seroja yang baru sahaja menamatkan Ujian Pernilaian SEkolah Rendah (UPSR). Program diadakan di Kem G-Jan Labu Negeri Sembilan.

Saya memikirkan apakah pengisian yang dirasakan sesuai dengan mereka. Terlalu banyak kalau hendak dibincangkan berkenaan Kitab Allah ini yang meluas ilmunya. Jadi saya memetik beberapa maklumat yang saya rasakan penting bagi mereka yang mudah-mudah dan ringkas untuk difahami brdasarkan tahap pencapaian akal mereka menerimanya. Mungkin satu slot sahaja tidak cukup untuk memberi kefahaman meluas, tetapi dengan apa yang dirasakan baik saya berusaha menyampaikan.

Saya sengaja ingin memasukkan slide yang saya sediakan agar dapat dikongsi untuk semua. Sebarang komen saya mengalu-alukan untuk penambahbaikan masa depan.

Saya sediakan link. Boleh Download dan manfaatkannya.. http://www.mediafire.com/file/65mgmw8lsz4uu3x/Mari%20Mentadabur%20Al-Quran.pdf

 

 

 

Merayakan Hari Raya AidilFitri Mengikut Sunnah

Petikan dari buku Ahkam wa Fatwa al-Siyam susunan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Moga sesiapa yang tidak dapat memiliki buku tersebut saya kongsikan apa yang terdapat di dalamnya. Insyaallah manfaat untuk semua dan diri ini..

Pengertian Hari Raya

Perkataan `Id (عيد) berasal daripada `aud (عَـودٌ) bererti ulangan. Ini kerana sama ada hari raya itu berulang pada setiap tahun, atau kegembiraannya berulang setiap kali menjelang hari raya atau banyak nikmat Allah SWT dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya pada hari raya tersebut.

Pensyariatan Solat Hari Raya dan Dalilnya

Solat Aidil Fitri dan Aidil Adha telah disyariatkan pada tahun Hijrah yang kedua. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidil Fitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut.

Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Ulama’ tafsir menyatakan maksud sembahyang dalam ayat tersebut ialah solat Aidil Adha. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: Rasulullah SAW pergi ke musolla pada hari Aidil Fitri dan Aidil Adha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu Baginda pun bersurai.” Riwayat al-Bukhari (913) dan Muslim (889)

Hukum Solat Hari Raya

Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. Berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah namun sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba kecuali perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadith: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardhukan:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ.فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ

Maksudnya: Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: Adakah wajib atasku selain daripada itu? Baginda menjawab: Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.” Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)

Begitu juga hadith:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Allah SWT mewajibkan lima solat atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah SWT menjanjikannya masuk syurga, manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Allah akan mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga menurut kehendak-Nya.” Riwayat Abu Daud (1420)

Hadith seterusnya, daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah R.Anha:

كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِحْدَانَا لَمْ يَكُنْ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Maksudnya: Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama yang haidh, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut.

Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab). Baginda menjawab: Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.” Riwayat al-Bukhari (928) dan Muslim (890)

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA:

أَنَّهُ أَرْسَلَ إِلَى ابْنِ الزُّبَيْرِ فِى أَوَّلِ مَا بُويِعَ لَهُ إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ بِالصَّلاَةِ يَوْمَ الْفِطْرِ، إِنَّمَا الْخُطْبَةُ بَعْدَ الصَّلاَةِ

Maksudnya: Dia diutus kepada Ibn Zubair pada awal pelantikannya untuk memberitahu bahawa tidak ada azan ketika solat Aidil Fitri, yang ada cuma khutbah selepas solat tersebut.” Riwayat al-Bukhari (916) dan Muslim (886)

Seterusnya hadith, daripada Ibn Abbas RA dan Jabir bin Abdullah RA, mereka berkata:

لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَلاَ يَوْمَ الأَضْحَى

Maksudnya: Tidak ada azan ketika Aidil Fitri dan Aidil Adha.” Riwayat al-Bukhari (917) dan Muslim (886)

Waktu Solat Hari Raya

Waktu solat hari raya bermula dari matahari terbit hingga gelincir. Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِى يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّىَ

Maksudnya: Perkara yang pertama kita mulakan hari ini ialah bersolat.” Riwayat al-Bukhari (908)

Bermulanya hari adalah apabila fajar terbit. Pada waktu itu dilakukan solat Subuh sebelum matahari terbit, dan solat Zuhur selepas matahari gelincir. Namun waktu solat hari raya yang afdhal adalah ketika matahari naik tinggi segalah. Ini kerana Nabi SAW sentiasa melakukannya pada waktu tersebut.

Cara Solat Hari Raya

Solat hari raya dua rakaat dimulai dengan takbiratu al-Ihram diikuti dengan doa Iftitah. Kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali sambil mengangkat tangan selari dengan bahu sebagaimana takbiratu al-Ihram. Hendaklah diselangi di antara dua takbir sekadar masa satu ayat sederhana dan sunat membaca tasbih.

Seterusnya membaca (أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَيْطَانِ الرَّجِيْمِ), Fatihah dan satu surah atau beberapa ayat daripada al-Quran. Selepas takbir ketika bangun pada rakaat yang kedua, hendaklah bertakbir sebanyak lima kali sebelum memulakan bacaan, dan setiap takbir diselangi dengan bacaan tasbih sebagiamana yang disebutkan tadi.

Semua takbir tambahan ini sunat sahaja. Jika terlupa melakukannya dan telah memulai bacaan fatihah, sunatnya terluput namun solatnya tetap sah.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Umar RA berkata:

صَلاَةُ الْفِطْرِ رَكْعَتَانِ وَصَلاَةُ الأَضْحَى رَكْعَتَانِ ثُمَّ قَالَ: عَلَى لِسَانِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat Aidil Fitri dua rakaat dan solat Aidil Adha dua rakaat. Seterusnya dia berkata: Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW.” Riwayat al-Nasaie (3/111) dan yang lainnya

Para ulama’ juga telah berijma’ tentang cara-cara solat hari raya berdasarkan hadith tersebut. Hadith seterusnya, Amru bin `Auf al-Muzani RA meriwayatkan:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِى الْعِيدَيْنِ فِى الأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِى الآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: Nabi SAW bertakbir ketika solat dua hari raya, pada rakaat yang pertama sebanyak 7 kali sebelum membaca fatihah dan pada rakaat yang akhir sebanyak 5 kali sebelum membaca fatihah.” Riwayat al-Tirmizi (536)

Seterusnya al-Tirmizi mengatakan bahawa inilah keterangan-keterangan yang terbaik daripada Nabi SAW tentang solat hari raya.

Khutbah Hari Raya

Selepas selesai solat hari raya, sunat melakukan dua khutbah. Khutbah tersebut  secara ringkas adalah seperti berikut:

Khutbah hendaklah dibacakan selepas solat hari raya. Ia berlainan daripada khutbah Jumaat. Cara ini adalah mengikut perbuatan Nabi SAW. Hal ini berdasarkan hadith, Ibn Umar RA berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ كَانُوا يُصَلُّونَ الْعِيدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ

Maksudnya: Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar melakukan solat hari raya sebelum berkhutbah.” Riwayat al-Bukhari (920) dan Muslim (888)

Hadith seterusnya, Ibn Abbas RA berkata:

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ فِطْرٍ َوأَضْحَى، فَصَلَّى ثُمَّ خَطَبَ

Maksudnya: Aku keluar bersama-sama Nabi SAW pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha lalu Baginda bersolat, kemudian Baginda berkhutbah.” Riwayat al-Bukhari (932)

Semua rukun dan sunat khutbah Jumaat yang disebutkan dahulu adalah sama digunakan pada khutbah hari raya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ubaidillah bin Abdullah bin `Utbah bin Mas’ud RA berkata:

السُّنَةَ أَنْ يَخْطُبَ الإِمَامُ، فِي العَيْدَيْنِ خُطْبَتَيْنِ يُفْصِلُ بَيْنَهُمَا بِجُلُوْسٍ

Maksudnya:Menurut sunnah, imam berkhutbah pada kedua-dua hari raya tersebut sebanyak dua kali diselangi dengan duduk”. Riwayat Imam al-Syafie Rahimahullah

Khutbah yang pertama sunat dimulakan dengan takbir sebanyak sembilan kali dan khutbah yang kedua dengan takbir sebanyak tujuh kali. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ubaidillah bin Abdullah bin `Utbah bin Mas’ud RA berkata:

السُّنَّةُ أَنْ تُفْتَتَحَ الْخُطْبَةُ بِتِسْعِ تَكْبِيرَاتٍ تَتْرَى، وَالثَّانِيَةِ بِسَبْعِ تَكْبِيرَاتٍ تَتْرَى

Maksudnya: Menurut sunnah, khutbah dimulakan dengan takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut dan khutbah yang kedua dimulakan dengan takbir sebanyak tujuh kali berturut-turut.” Riwayat al-Baihaqi

Tempat Solat Hari Raya

Solat hari raya boleh didirikan sama ada di masjid atau di kawasan lapang. Walau bagaimanapun, yang afdhal antara kedua-duanya ialah tempat yang dapat menampung lebih ramai jemaah. Jika kedua-dua tempat tersebut sama luasnya, maka bersolat di masjid afdhal daripada bersolat di kawasan lapang. Ini kerana masjid lebih mulia daripada tempat yang lain dan para jemaah yang bersolat di masjid akan mendapat pahala beribadat di samping pahala berada di dalamnya.

Namun peristiwa Nabi SAW telah bersolat hari raya di kawasan lapang semata-mata disebabkan keadaan masjidnya ketika itu sempit dan tidak dapat menampung para jemaah, sedangkan sebagaimana yang diketahui solat hari raya disyariatkan kepada semua mukallaf lelaki dan perempuan melakukannya secara berjemaah.

Justeru, apabila ada masjid yang besar dan dapat menampung semua jemaah dengan selesa dan tenang, maka kelebihan bersolat di kawasan lapang tidak bererti lagi.

Takbir Pada Hari Raya

Sunat bertakbir bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji apabila matahari terbenam pada malam Aidil Fitri dan Aidil Adha hinggalah imam mula bersolat hari raya. Ia dilafazkan dengan suara yang nyaring sama ada di rumah, di jalan, di masjid dan di tempat-tempat awam.Hal ini berdasarkan firman Alllah SWT:

Maksudnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185)

Ulama’ tafsir mengatakan bahawa ayat ini adalah berkenaan dengan takbir Aidil Fitri, dan takbir Aidil Adha diqiaskan kepada takbir Aidil Fitri tersebut.

Semasa Aidil Adha, semua orang Islam sama ada yang mengerjakan haji ataupun tidak, sunat bertakbir selepas setiap solat fardhu atau solat sunat, bermula dari solat Subuh hari Arafah hinggalah selepas Asar hari Tasyriq yang akhir. Hari Tasyriq ialah tiga hari yang berikut selepas hari Aidil Adha. Adapun semasa hari raya Aidil Fitri tidak sunat bertakbir selepas bersolat, malah sunatnya terputus apabila imam memulakan solat sunat hari raya sebagaimana yang telah disebutkan.

Semua hal yang tersebut berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW dan amalan yang diteruskan oleh para sahabatnya sebagaimana hadith-hadith yang berikut:

Daripada Ali dan Ammar RA:

أَنَّ النَّبَيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ يَوْمَ عَرَفَةَ صَلاَةَ الغَدَاةِ، وَيَقْطَعُهَا صَلاَةَ العَصْرِ آخِرَ أَيَّاِم التَّشْرِيْقِ

Maksudnya: Nabi SAW bertakbir pada hari Arafah selepas solat Subuh dan memberhentikannya selepas solat Asar hari Tasyriq yang akhir.” Riwayat al-Hakim (1/299)

Al-Hakim mengatakan bahawa sanad hadith ini sahih dan dia tidak mendapati sebarang cacat cela yang dikaitkan dengan semua periwayatnya.

Hadith seterusnya:

كَانَ عُمَرُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكَبِّرُ فِى قُبَّتِهِ بِمِنًى فَيَسْمَعُهُ أَهْلُ الْمَسْجِدِ، فَيُكَبِّرُونَ وَيُكَبِّرُ أَهْلُ الأَسْوَاقِ، حَتَّى تَرْتَجَّ مِنًى تَكْبِيرًا. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُكَبِّرُ بِمِنًى تِلْكَ الأَيَّامَ وَخَلْفَ الصَّلَوَاتِ، وَعَلَى فِرَاشِهِ وَفِى فُسْطَاطِهِ، وَمَجْلِسِهِ وَمَمْشَاهُ تِلْكَ الأَيَّامَ جَمِيعًا

Maksudnya: Ibn Umar RA bertakbir di rumahnya di Mina lalu terdengar oleh jemaah di masjid. Mereka pun turut bertakbir dan diikuti pula oleh orang ramai yang berada di tempat awam hingga Mina gegak gempita dengan suara takbir. Ibn Umar telah bertakbir sepanjang masa dia berada di Mina, selepas solat, ketika berehat dirumahnya, ketika duduk dan ketika berjalan pada hari-hari tersebut.” Riwayat al-Bukhari (12)

Lafaz Takbir yang Afdhal

Lafaz takbir yang afdhal ialah:

اللهُ أَكبَر اللهُ أَكبَر اللهُ أَكبَر، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، اللهُ أكبَر، اللهُ أكبَر وَلِلَّهِ الْحَمدُ

Adab-adab Berhari Raya

Antara adab hari raya ialah:

  1. Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru.
  2. Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya.
  3. Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidil Fitri manakala Aidil Adha pula tidak sunat makan dan minum sehingga selesai bersolat.
  4. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain

Saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN  kepada seluruh muslilim dan muslimat di Malaysia dan seluruh dunia…

Untuk isteri tercinta…

Mungkin ini warkah pertama buat isteriku dan juga untuk wanita-wanita yang bergelar isteri. Mari bersama hayati satu kisah yang amat memberi kesan kepadaku sendiri.

Kisah Umar Abdul Aziz, khalifah islam, Imam mujtahid, zuhud, kuat beribadat, seorang mujadidi kurun pertama setelah kewafatan baginda Rasulullah SAW.

Kisah untuk tatapan isteri, wanita yang bergelar isteri atau bakal bergelar isteri moga menjadi contoh buat kalian untuk menjadi wanita solehah yang menjadi penyejuk mata dan penawar hati bagi suami. Sebelum Umar Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah lagi beliau telah mengarahkan isterinya Fatimah untuk memulangkan sgala barang perhiasannya kepada Baitulmal. Ini dibuktikan apabila Umar Abdul Aziz berkata kepada isterinya, “Jikalau engkau mendengar nasihatku pulangkan segala permata, perhiasan, emas yang engkau miliki ke Baitulmal. Sesunggunya ia merupakan hak mereka”.

Fatimah sebagai seorang isteri yang taat menyerahkan harta perhiasannya semua ke Baitulmal sehingga tidak ada satu pun yang tinggal dan dia meneruskan kehidupan bersama Umar dalam keadaan serba kekurangan dan kepayahanwalaupun suaminya seorang khalifah yang menguasai seluruh kekayaan dunia Islam.

Apabila Umar Abdul Aziz wafat ketika berusia lebih kurang 39 tahun atau dekat umurnya 40 tahun pemerintahan berubah kepada saudaranya Yazid bin Abdul Malik, beliau berkata kepada Fatimah, “Jikalau engkau mahu, aku akan kembalikan segala harta perhiasan yang pernah engkau serahkan kepada baitulmal dahulu, sesungguhnya Umar telah menzalimi kamu”.

Fatimah menjawab dengan nada tegas,“Demi Allah, tidak!! Aku tidak akan mengambil semual. Tidak mungkin aku mentaatinya ketika  dia hidup dan aku mengkhianatinya setelah kematiannya.

Mungkin sedikit coretan kisah Umar Abdul Aziz dan isterinya Fatimah menjadi pengajaran yang baik kepada kita. sesungguhnya kisah ini menjadi contoh teladan terbaik kepada kita. Walaupun kita tidak dapat meniru sepenuhnya tokoh-tokoh islam yang besar namanya tetapi tak salah mengambil kebaikan yang mereka lakukan…

Salam Maal Hijrah 1431/2009

Terasa sudah lama saya tidak menulis isi blog saya. Malam ni saya terasa ingin berkongsi sedikit apa yang ada dalam fikiran untuk tatapan semua.  Alhamdulillah kita sudah memasuki ke tahun baru hijrah pada 17 Disember 2009. Sememangnya bermula waktu hijrah apabila tenggelam matahari di ufuk barat. Ia menjadi tanda bermula hari baru. Bagi kebiasaan manusia tahun atau hari baru apabila tepat jam 12.00 malam. Itulah perbezaan antara bulan hijrah dan masihi.

Sememangnya hadir hari baru, minggu baru, bulan baru, dan tahun baru akan ada sahaja azam untuk melakukan yang terbaik pada kehidupan mendatang. Tapi setiapnya tidak akan terjadi kalau tidak istiqamah dalam melakukan sesuatu. Kadang-kadang azam hari ini boleh berubah sekejap sahaja. Maklumlah ada sifat hangat-hangat tahi ayam. Tahun ini saya berasa bangga apabila jatuh 1 muharam 1431 pada tarikh lahir saya.

Sepanjang tahun 2009 dari bulan Januari sampai disember banyak pengalaman pahit manis, suka duka, sedih dan gembira ditempuhi. Banyak aktiviti yang saya sertai. Banyak pengalaman yang dikutip. Peristiwa saya kemalangan di hari kematian datuk saya masih segar diingatan. Mungkin juga sesuatu yang tak dapat saya lupakan.

Saya akan berusaha untuk menyebarkan ilmu yang ada untuk dikongsi bersama. Di samping itu saya memohon keampunan dan kemaafan atas apa yang saya lakukan kepada sesiapa sahaja. Ada hutang boleh tuntut, ada salah silap harap dimaafkan.. Bermula tahun dengan sesuatu yang baru, biar hari ke hari lebih baik.

Qurban..

Qurban ialah ibadat. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain.

Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya tentang qurban adalah untuk menghayati samangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, iaitu ketika Allah SWT menguji Baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah SWT menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Ibrahim AS dan anaknya berusaha bersama-sama melaksanakan perintah Allah SWT.

Di samping hikmah tersebut, ibadat qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Petikan dari kitab fiqh al-Manhaji terjemahan…