Monthly Archives: August 2012

Penggunaan Emulsifier Yang Mempunyai Unsur Khinzir

Soalan: Benarkah penggunaan emulsifier dalam kebanyakan ubat dan bahan makanan mengandungi bahan daripada khinzir? Bagaimana untuk mengesannya?

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Emulsifier berasal dari suku kata emulsi. Dalam Kamus Dewan emulsi bererti campuran dua atau lebih cecair yang tidak larut. Emulsifier atau sulfaktan adalah bahan pelarut (al-Tahlib).

Kehalalan dan pengharaman pengemulsi tertakluk kepada bahannya. Jika daripada bahan tanam-tanaman pada umumnya halal, tetapi jika daripada binatang seperti lemak atau tulang binatang daripada bangkai adalah haram.

Advertisements

Penggunaan Kapsul Ubat

Soalan: Sejauh manakah bahan-bahan yang terkandung didalam kapsul ubatan terutamanya yang dibekalkan di pusat perubatan/ hospital kerajaan dijamin halal?

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Secara umumnya, pemilihan criteria untuk pengambilan ubat, kapsul dan sirap mestilah menurut urutan berikut:

  1. Hendaklah ubat tersebut dengan bahan yang suci semata-mata (bukan daripada najis dan benda-benda haram.
  2. Jika ubat yang suci dan diharuskan syara’ tidak didapati, maka diharuskan mengambil ubat yang bercampur najis, sama ada najis semata-mata (tidak bercampur bahan lain) atau ubat yang bercampur najis atau arak yang bercampur dengan bahan lain dengan syarat:
  •  Tidak terdapat ubat yang suci yang boleh menggantikan ubat yang najis itu.
  • Orang yang berubat (arif dalam bidang perubatan) mengetahui penggunaaanya dan tidak fasiq untuk mengesahkan manfaat daripada penggunaan ubat tersebut. Umpamanya ubat yang najis itu akan menyembuhkan penyakit lebih cepat berbanding ubat yang suci.
  1. Jika terdapat pilihan di antara ubat yang najis kerana bercampur dengan arak dengan ubat yang najis bukan kerana bercampur dengan arak seperti ubat daripada lemak binatang yang tidak disembelih dan seumpamanya, maka dalam hal ini wajib didahulukan ubat ubat yang najis bukan bercampur dengan arak.

Penulis berpendapat ubat-ubatan yang dibekalkan kepada hospital atau klinik telah diperiksa isi kandungannya dan dikaji secara saintifik oleh para doktor. Ini memperlihatkan bahawa tiap ubat yang dihasilkan akan memberikan kesan dalam kesihatan pesakit.

Penggunaan Ubat-Ubatan Yang Mengandungi Galetin tidak Halal

Soalan: Bolehkah meggunakan ubat-ubatan yang mengandungi gelatin tidak halal sekiranya tiada pilihan lain?

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Galetin merupakan satu jenis bahan yang diperolehi (dengan mendidih dalam air) dari hidrolisis separa kelogen terbit daripada kondrum, tulang, tendon dan kulit binatang. Walaupun gelatin satu proses yang berasal daripada binatang, namun bahan ini mempunyai nilai biologi yang rendah. Gelatin digunakan secara meluas dalam industri makan, perubatan dan lain-lain yang merupakan salah satu bahan asasnya.  Di antara makanan yang dibuat adalah jeli, agar-agar dan ais krim.

Persoalan asasnya di sini apabila gelatin yang digunakan yang berasal daripada binatang, maka hukumnya berdasarkan kedudukan binatang itu. Apabila digunakan binatang tidak halal seperti babi dan anjing ataupun binatang yang tidak disembelih mengikut syara’ maka gelatin itu adalah haram dan najis.

Hukum gelatin mengikut kepada sumber atau punca ianya timbul. Di dalam kaedah usul fiqh disebutkan:

التَّابِعُ تَابِعٌ

Maksudnya: Pengikut itu hukumnya sebagai yang pengikut yang mengikut.

Dengan itu, gelatin yang digunakan dalam ubat-ubatan yang berdasarkan daripada binatang yang haram, ataupun binatang yang halal tetapi tidak disembelih dengan mengikut hukum syara’ maka ianya adalah najis dan haram. Campuran antaranya turut menjadikan ubat itu najis.

 

 

Penggunaan Alkohol Dalam Perubatan

Soalan: Penggunaan alkohol dalam perubatan.

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Jawapan: Menurut Mantan Mufti Brunei Dr. Haji Ismail Bin Umar Abdul Aziz berkata: “Adapun berubat dengan ‘ain benda-benda najis adalah harus, sama ada ‘ain benda-benda najis itu telah dibancuh dengan lain-lain benda, atas ‘ain najis itu semata-mata dan dijadikannya ubat melainkan arak, maka tidak harus berubat dengan arak semata-mata. Diharuskan berubat dengan arak yang bercampur dan dibancuh dengan benda-benda lain.

Ibn Hajar berkata: Harus berubat dengan kuku bangkai, tulang-tulang dan segala jenis najis- sama ada zat atas campurannya. Melainkan arak, maka tidak harus berubat dengan ‘ain arak tersebut, tetapi harus jika dengan campuran (bancuhan).

Ulama’ dalam mazhab al-Shafie berpendapat bahawa haram hukumnya berubat dengan ‘ain arak atau alkohol semata-mata. Pengharaman ini berlaku selama mana ia tidak bercampur dengan bahan lain. Di samping itu, tidak ada ubat selain yang  bercampu alkohol itu.

Penggunaan alkohol hendaklah dilakukan ahli perubatan yang dipercayai dan terhad kepada keperluan sahaja, bukan secara berlebihan. Oleh itu penggunaan alkohol dalam perubatan sama kedudukan dengan berubat dengan najis.

Penggunaan Alkohol Menurut Pandangan Islam

Soalan: Alkohol terdiri daripada pelbagai jenis dan peratusan. Alkohol dalam kategori manakah dan dalam peratusan berapakah yang boleh dikategorikan sebagai arak yang diharamkan di dalam Islam? Ini kerana tidak semua alkohol adalah arak?

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Firman Allah SWT:

Maksudnya:  Wahai orang-orang Yang beriman! Bahawa Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib Dengan batang-batang anak panah, adalah (Semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (Surah al-Maidah: 90)

 

Jumhur ulama’ menyatakan arak hukumnya najis. Maka alkohol yang yang terdapat dalam arak turut najis. Alkohol yang dihasilkan daripada arak atau minuman yang sifatnya memabukkan adalah najis hukumnya. Kenajisan alkohol adalah berdasarkan kenajisan arak yang sifatnya memabukkan. Alkohol tidak bersifat najis apabila bukan diambil daripada arak atau minuman memabukkan. Sebagai contohnya pembuatan tapai yang dimakan menurut pakar ia mengandungi alkohol, namun tidak diharamkan, kerana ia tidak memabukkan. Tetapi jika tapai itu boleh memabukkan, maka memakannya adalah haram.

Hukum Menggunakan Listerine

Soalan: Apakah hukum Penggunaan Listerine yang mempunyai kandungan alcohol tinggi?

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Harus dan boleh mencuci mulut dan gigi dengan Listerine yang bercampur dengan alkohol.  Selepas itu hendaklah dicuci mulut. Menurut pendapat Ibn Hajar tidak harus berubat dengan arak semata-mata arak dan boleh berubat dengan arak apabila bercampur dengan lainnya. Apabila dibasuh maka hilanglah najis itu.

Hukum Menggunakan Khidmat Bomoh Menurut Islam

Soalan: Apakah hukum menggunakan perkhidmatan bomoh untuk berubat?

Jawapan:

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan seluruh keluarga baginda serta para sahabat.

Perbuatan syirik adalah dosa yang besar di sisi Allah. Tindakan mempercayai bomoh[1], pawang[2], atau tok sami yang boleh menyembuhkan penyakit adalah bertentangan dengan ajaran Islam. Tidak wajar berjumpa dan berubat dengan mereka kerana mereka tiada kuasa menyembuhkan penyakit. Mereka bersahabat dengan jin kafir dan syaitan.

Terdapat 2 jenis bomoh yang boleh diklasifikasikan iaitu bomoh yang benar dan bomoh yang sesat. Bomoh yang benar menggunakan al-Quran dan al-Hadis sebagai jalan pengubatan. Ini diriwayatkan dalam firman Allah SWT:

 [3]

Maksudnya: “Dan kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Surah al-Isra 17:82)

Dalam agama Islam menggunakan khidmat bomoh yang menggunakan ayat al-Quran dan al-Hadis secara benar diharuskan. Malah telah ternyata kebolehannya dalam ayat di atas.

Bomoh yang sesat menggunakan  pelbagai cara yang amat bertentangan dengan ajaran islam. Mereka menggunakan sihir sebagai jalan pengubatan. Dalam Islam sihir adalah satu perkara yang menyesatkan. Sihir yang diperolehi dari jalan bersahabat dengan jin kafir dan syaitan. Ini adalah perbuatan syirik dan dilarang keras oleh Allah. Kadang- kadang ada juga bomoh yang menggunakan ayat al-Quran dan al-Hadis tetapi menyongsangkan ayat- ayatnya, menggunakan di tempat kotor seperti tandas dan sebagainya. Ini adalah sesat dan haram menggunakan khidmat mereka.

 

 

 

 


[1] Di dalam Kamus Dewan perkataan tabib membawa maksud orang yang mengubati orang sakit dengan menggunakan ubatan traditional atau cara kampong dan jampi- jampi.

[2] Orang yang mempunyai kebolehan melakukan sesuatu (biasanya menggunakan kuasa ghaib atau orang yang pandai mengubati orang sakit dengan menggunakan mantera.

[3] Surah al-Isra 17:32