Zakat Menjana Perpaduan Ekonomi Ummah

Dalam dunia yang serba moden dan canggih ini ada dikalangan manusia hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kefakiran. Sumber ekonomi yang lebih berasaskan sistem kapitalis menjadikan manusia kaya akan lebih kaya, yang fakir miskin akan lebih melarat papa kedana. Si kaya berlumba-lumba membolot harta kekayaan tanpa menghirau rakan, sahabat handai mahupun keluarga sendiri. Si papa kedana yang hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang hanya menunggu rezeki andai bergolek datang walaupun usaha keras mencarinya. Dalam Islam sendiri telah menunjukkan bahawa ada satu perkara yang boleh membawa kepada keuntungan bersama iaitu zakat.  Zakat dilihat mampu mengikis rasa sombong golongan yang kaya dan mengelak golongan fakir miskin dari sifat meminta-minta. Harta yang diperoleh golongan kaya sebenarnya terdapat sebahagian hak golongan fakir dan menjadi kewajipan golongan kaya menunaikan hak tersebut.

Apakah Maksud Zakat ?

Pengertian zakat pada istilah syara’ ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Istilah moden memberikan definisi zakat iaitu satu instrumen ekonomi yang berfungsi sebagai mekanisme agihan kekayaan dalam Islam. Agihan yang dimaksudkan ialah apabila zakat dikeluarkan kepada yang berhak menerimanya akan menjadikan perkongsian susah dan senang antara pemberi dan penerima zakat. Sifat saling bantu membantu inilah menjadikan masyarakat dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni dan saling menyayangi antara satu dengan lain. Dalam maksud lain ia juga dikenali sebagai sedekah dan infaq. Jurang antara golongan kaya dan golongan miskin sentiasa dikecilkan jika zakat dan sedekah ini diamalkan.

 

Suburnya Harta Dengan Zakat

 

Zakat sendiri telah memberi maksud bersih, suci,  subur dan bertambah. Tidak ada manusia yang mengeluarkan zakat akan papa kedana. Dalam surah al-Syams ayat 9 menyatakan orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada akhlak yang buruk. Harta yang dikeluarkan zakat iaitu apabila cukup kiraannya (haul) apabila tempohnya satu tahun mengikut jumlah yang ditetapkan. Ramai yang berfikiran bahawa zakat dan sedekah memusnahkan ekonomi serta mengurangkan bilangan harta yang dikumpul. Sebagai contohnya , harta zakat dan sedekah diberikan kepada golongan yang selayaknya (8 Asnaf yang terlibat), kemudian mereka yang sebelum ini tidak mampu berbelanja untuk keperluan hidup kini sudah mampu berbelanja sendiri. Dalam teori ekonomi semakin ramai orang berbelanja, semakin banyak permintaan barangan di pasaran. Maka semakin meningkat taraf ekonomi dan bertambah keuntungan para peniaga.  Melihat disini bahawa peniaga akhirnya terpaksa mengeluarkan lebih banyak barangan disebabkan permintaan yang semakin meningkat dan secara tidak langsung akan membuka ruang-ruang pekerjaan untuk golongan yang pada asalnya hanya menerima sedekah atau zakat semata-mata.

 

Rahsia Zakat

Menunaikan zakat adalah salah satu rukun daripada rukun Islam yang lima selepas kewajipan tertinggi iaitu solat. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam potongan ayat dari surah al-Baqarah ayat 110 yang menyuruh hambanya mendirikan solat dan menunaikan zakat. Kewajipan inilah menunjukkan betapa Islam menitikberatkan pentingnya zakat itu ditunaikan kepada yang berhak menerimanya. Inilah yang menunjukkan perbezaan ketara agama Islam berbanding agama-agama lain dari sudut mementingkan kewujudan masyarakat yang adil, bersatu-padu, tolong-menolong, bantu-membantu dalam mengharmonikan kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara. Negara yang aman, tenteram dan masyarakatnya hidup bersatu-padu akan mewujudkan suasana ekonomi yang stabil dan seimbang pastinya, seiring dengan peningkatan produktiviti masyarakat Islam keseluruhannya dengan agihan kekayaan dalam masyarakat. Menegah daripada keluar menunaikan zakat boleh diperangi dengan ittifaq para sahabat sehingga mereka menunaikan hak Allah kepadanya. Zakat hendaklah dengan niat secara ittifaq kecuali Imam atau pemerintah yang mengambil atau merampasnya daripada mukallaf secara paksa.

Hikmah Dikeluarkan Zakat.

Zakat mempunyai hikmah dan faedah yang banyak. Ia adalah untuk kebaikan pengeluar zakat dan  juga penerimanya. Faedah zakat juga dapat dinikmati oleh individu dan masyarakat. Antara hikmah dan faedah tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Amalan berzakat boleh membiasakan diri pengeluarnya bersifat pemurah dan suka berkorban. Amalan itu juga boleh mencabut akar umbi sifat kedekut dan unsur-unsur bakhil. Hakikat ini akan dirasai sendiri oleh pengeluar zakat tersebut dan dia juga menyedari bahawa zakat itu lebih ketara menambah harta daripada menguranginya. Benarlah sepertimana yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW yang bersabda, maksudnya: Zakat itu tidak mengurangi harta. Sehingga kata-kata Sayyid Sabiq: Allah menjadikan pengeluaran zakat sebagai satu matlamat yang membawa kedudukan yang baik di bumi.

Kedua: Zakat boleh menguatkan hubungan persaudaraan dan kasih sayang antara pengeluar zakat dengan orang lain. Apabila kesedaran tentang rukun Islam ini tersebar dalam masyarakat dan setiap orang Islam yang mampu menunaikan kewajipannya memberikan zakat kepada orang yang berhak menerimanya, maka dapat dilihat betapa kuatnya jalinan kasih sayang sesama individu muslim, kumpulan-kumpulan mereka dan antara masyarakat keseluruhannya. Tanpa kasih sayang tidak akan sempurna hubungan antara anggota masyarakat yang sepatutnya kuat bagaikan sebuah bangunan.

Ketiga: Zakat berperanan memastikan keperluan anggota sesebuah masyarakat  menjadi sempurna, meskipun terdapat keadaan dan unsur-unsur yang meluaskan jurang perbezaan taraf sosial atau bertambahnya golongan yang memerlukan bantuan dan golongan fakir.

Keempat: Zakat adalah satu-satunya cara yang dapat membersihkan hati daripada sifat-sifat keji yang berbahaya kepada masyarakat iaitu sifat berdendam, iri hati, dan dengki. Bagaimanapun sifat tersebut akan menular dalam masyarakat jika mereka tidak lagi mempunyai sifat berkasih sayang, tolong menolong dan saling bersimpati. Fenomena ini bukan sekadar slogan yang dilaung-laungkan sahaja malah ia adalah satu realiti yang mesti dirasai oleh perasaan dan hasilnya lahir dalam masyarakat. Apabila zakat dilaksanakan seperti yang sepatutnya, hasilnya akan kelihatan jelas dan terang. Kesannya pula menakjubkan, iaitu dapat membersihkan jiwa daripada sifat dengki dan iri hati.

Apabila zakat dilaksanakan, hasilnya akan jelas kelihatan dan kesannya yang menakjubkan. Oleh itu, ia dapat membersihkan jiwa daripada sifat hasad dengki dan iri hati serta mengeratkan hubungan persaudaraan, sekalipun mereka berbeza dari segi kemewahan dan kekayaan