Category Archives: Sosial Kemasyarakatan

Tajuk Yang Tidak Rasmi : Sedikit Cerita dan Nasihat Buat Lelaki dan Perempuan (Suami Isteri)

Selesai pembacaan sebuah buku kecil berbahasa Indonesia yang sarat dengan kisah seorang isteri, ibu dan menantu iaitu Latifah al-Suli atau nama sebenar Latifah binti Husin. Mungkin ada yang bertanya siapakah dia? Kenapakah saya memilih namanya untuk diberikan sedikit pujian? Beliau adalah isteri kepada Hasan al-Banna. Menantu kepada Abdul Rahman al-Banna dan Hajjah Ummu Saad.

Dalam masa satu jam Alhamdulillah dapat saya selesaikan pembacaan yang menghampiri seratus mukasurat dalam buku Persembahan Cinta Isteri Hasan al-Banna karangan penulis Muhammad Lili Nur Aulia. Pada mulanya saya terasa mengantuk untuk meneruskan pembacaan akan tetapi sehelai demi sehelai muka surat dibuka menambahkan rasa ingin meneruskan pembacaan sehingga selesai.

Dalam bahasa yang mungkin tidak tersusun saya ingin menulis sedikit ringkasan dan kesimpulan dari sebuah kisah yang mana inilah satu sejarah yang berlaku di mana menunjukkan seorang insan bernama wanita mampu menggegarkan dunia. Saya tidak mahu dikatakan tidak memuji Ummahat al-Mukminin isteri-isteri Nabi Muhammad SAW. Mereka adalah yang terbaik. Saya coretkan di sini agar dapat dicontohi buat tatapan para gadis, wanita yang mahukan satu perubahan yang baik dari seorang wanita yang lahir pada tahun yang berlalu tidak jauh dari kita.

Hebatnya seorang wanita adalah berasal dari didikan keluarganya. Lihatlah bagaimana Ibu Hasan al-Banna memilih seorang wanita yang ingin dijadikan isteri kepada anaknya, dipilih kerana bacaan al-Quran dan akhlaknya. Pakej yang ada pada diri Latifah al-Suli membuatkan dirinya layak bergelar isteri kepada Hasan al-Banna.  Inilah yang telah diaturkan Allah SWT dalam qada dan qadarnya. Di sini jugalah dilihat satu kehebatan yang tidak tertanding nilainya apabila cinta Latifah dan Hasan al-Banna bersatu tanpa cinta sebelum pernikahan. Maksiat dan dosa percuma dilakukan sebelum pernikahan berlaku. Bagaimanakah kita mengharapkan sesuatu yang hebat.. Anak-anak yang lahir akan menjadi hebat.. (mengalir air mata saya mengucapkannya kerana diri saya yang tidak seberapa dan mengenang dosa-dosa lalu)

Kembalilah kepada jalan Allah wahai orang muda seusia saya juga.. Anda belum terlambat lagi sedar dari buaian mimpi dunia.. Kamu mengharapkan akan berkahwin. Pilihlah apa yang disuruh Nabi Muhammad SAW. Semua tahu hadith itu. Kecantikan, kebangsawanan, keturunan dan Agama.. Agama yang menjadi titik mula pemilihan seorang isteri.. Wahai pemudi Islam.. Andai lelaki yang baik datang ingin menikahimu janganlah menolaknya.. Insyaallah ada kebaikan padanya. Bukan bermaksud tidak boleh memilih tetapi setelah dipersetujui keluargamu.. Maharmu yang rendah, maruahmu yang tinggi.. (Saya tidak mahu komen tentang mahar yang tinggi atau rendah.. Jangan membebankan.. sesungguhnya seorang lelaki lebih bersyukur apa yang didapatinya dalam keadaan rela hati dan terbuka)

Apabila sudah berkahwin nanti dasari rumah tangga dengan agama.. Kita sama-sama memperingatkan antara satu dengan lain. Kita sama-sama berusaha membaiki rumahtangga sedia ada. Yang belum berkahwin persiapkan diri dengan ilmu agama. Wang ringgit , persedian harta benda bukanlah utama andai tidak ada ilmu untuk menguruskannya.

Wahai wanita yang bakal bergelar isteri dan sudah bergelar isteri..jangan lupa menjaga maruahmu.. Jangan jadi tubuh badanmu tonton selain suamimu.. Jangan lupa sentiasa berhias pada suamimu.. Suamimu bukan inginkan kesempurnaan.. tetapi cukup apa cukup pada kebiasaan.. bekerjasama dalam rumah tangga.. Jangan sembunyikan perasaan dan buruk sangka pada suami atau isteri…Sikap percaya suamilah Isteri Hasan al-Banna dapat menjaga perasaan dan dirinya sekaligus menjadi penguat semangat kepada Hasan al-Banna.. Jangan cemburu buta.. Takkan ke mana.. Rosaknya rumahtangga andai tiada sikap saling percaya..

Cuba dan cuba sedaya upaya wahai isteri dan juga suami.. wujudkan suasana beragama di dalam rumah yang dibina.. Solatlah berjemaah walaupun sekurang sekali waktu sahaja dari lima.. Saya yakin dan percaya Allah akan memlihara keluarga itu.. Ajarkan isteri untuk bercukup apa yang ada.. Jangan lupa wahai suami hadiahkan isteri akan dengan kasih sayang kerana Allah.. Apa yang perlu anda lebih tahu bagaimana romantiknya…

Yang sudah berkahwin jangan lupa anda bukan berkahwin suami isteri… Ingatlah ia adalah perkahwinan yang menghubung dua keluarga.. Mentua dan besannya.. Berusahalah mengenal ahli keluarga sesame sendiri.. Suami perkenalkanlah ahli keluarga kaum kerabatmua kepada isteri dan isteri juga jangan hanya perkenal ahli keluarga terdekatmu sahaja.. Silaturrahim akan terbentuk dan keluarga menjadi aman bahagia.. (Perkara ini bukan perlu seminggu dua untuk kita kenal.. ambillah masa.. sekurangnya berjumpa di jalanan, bertempuh bahu kita kenal ini adalah keluarga.. ini rakan…)

Isteri… suami balik kerja kadang-kadang mungkin serabut.. jangan biar rumahnya juga begitu.. sekurangnya sedap mata memandang.. (Saya tujukan buat semua isteri-isteri di luar sana termasuk isteri saya di rumah.. Alhamdulillah isteri saya ni pembersih sikit kecuali jarang-jarang.. Jangan marah ya…)) Kadang-kadang anak-anak yang selerakkan barang permainan mereka..

Jangan marahkan anak-anak terutama mereka yang masih bayi.. cuba sedaya upaya jangan tinggikan nada suara.. berkata tidak baik kepada anak-anak.. Doakan mereka.. dodoikan dengan lagu selawat dan bacaan quran.. nasyid yang berfaedah.. Biarlah anak-anak kenal Allah, Nabi , Malaikat dan sesuatu yang baik.. Takkan anak-anak perlu dikenalkan kepada boboiboy, doremon, ultraman, superman dan sebagainya.. Alangkah rugi andai perkara pertama yang anak-anak kenal adalah perkara tidak berfaedah.. Cuba kita elakkan.. semangat dari suami sahaja untuk berubah tidak akan cukup andai isteri tidak bersama-sama menjadikan mereka sebagai tempat yang dikatakan sekolah yang pertama bagi anak-anak… Zikirkan sesuatu ditelinga anak bukan lagu tidak berfaedah…

Anak-anak yang akan lahir nanti.. yang sudah lahir niatkan untuk Islam.. Latih mereka mengenal agama.. Banyak buku rujukan, tanyalah yang pakar.. Ajarkan mereka dengan apa yang diajarkan Islam.. Bacalah buku karangan Abdullah Nasih Ulwan iaitu Tarbiyatul Aulad Fil Islam (Pendidikan ANak-Anak Di Dalam Islam) Cari di JAKIM yang terjemahan.. Dalam ini sarat pelbagai perkara..

Wahai Suami.. Saya pun sama.. Jadikan rumahtangga kenangan terindah bagi isteri.. Bukan mimpi ngeri..Jaga sebaik mungkin.. Berusaha menjadikan rumah tangga sebagai rumah tangga yang terbaik..

Saya bukan menulis semua di atas untuk mengatakan semuanya saya sempurna.. Ada juga masam manis, pahit, pedas.. Tetapi saya cuba, berdoa, bertawakal agar dapat mencontoh sedikit daripada keperibadian Nabi Muhammad SAW, Para Sahabat, Tabiin, Ulama, Tokoh Islam dan lain-lain lagi tokoh yang baik.. Bagi lelaki yang membaca jadilah suami yang terbaik… Bagi wanita yang membacanya jadi Isteri yang terbaik…

Advertisements

(1 Hari 1 Nasihat)Sifarkan Dengki-Mendengki

Dengki-mendengki sememangnya dikenali sebagai sifat mazmumah yang wajib dijauhi. Ada juga dikalangan kita menggelarnya sudah mendapat PHD (Perasaan Hasad Dengki). Sifat begini amat disukai oleh syaitan laknatullah alaihim.

Kenapa wujudnya sifat dengki-mendengaki sesama manusia? Dengan bahasa yang lebih mudah kadang-kadang kita berasa hasad dengki dengan seseorang. Apa yang pengdengki itu dapat dari orang yang didengkinya? Sebenarnya pengamatan saya ianya adalah perasaan yang tidak ingin melihat orang lain lebih dari dari diri pendengki.

Contoh yang mudah untuk dikongsi bersama ialah apabila seseorang itu kaya, sifat dengki yang wujud kepada orang kaya tersebut adalah merosakkan kepercayaan si kaya bahawa kayanya adalah dengan perkara tidak halal. Sifat dengki ini akan mengakibatkan timbul perkara buruk lain seperti fitnah, buruk sangka, dan sebagainya.

Jauhkanlah sifat tersebut, moga ianya bukan menjadi sifat yang sering dikaitkan dengan diri kita. Tiada apa pun faedah yang boleh didapatu darinya. Amal makruf nahi munkar….

KERUNTUHAN MORAL DAN GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA DAN CARA MENGATASINYA.

Kertas Kerja ini disediakan oleh Mohd Firdaus Bin Mohd Khalil. Seandainya ingin menggunakan artikel ini sebagai panduan mohon diletakkan sumber ambilannya (blog firdauskhalil.wordpress.com)

Soalan : Golongan belia merupakan pewaris dan bakal menerajui kepimpinan dan pentadbiran Negara pada masa depan. Sedangkan dalam masa yang sama golongan remaja di Malaysia di anggap sebagai pelapis menghadapai masalah keruntuhan moral dan terlibat dengan gejala sosial yang semakin hari serius. Apakah punca masalah tersebut dan beri panduan dan formula yang telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah tersebut.

TAJUK : KERUNTUHAN MORAL DAN GEJALA SOSIAL DI KALANGAN REMAJA DAN CARA MENGATASINYA.

 

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan secara kajian perpustakaan serta kajian lapangan dengan melibatkan beberapa isu serta permasalahan yang berkaitan dengan gejala keruntuhan moral yang melibatkan remaja atau belia. Selain itu ia melibatkan kumpulan-kumpulan remaja yang terdiri daripada golongan pengkid, remaja kaki lepak, remaja perempuan mengandung di rumah-rumah kebajikan dan melibatkan kumpulan kanak-kanak jalanan. Melihat isu-isu keruntuhan akhlak dan gejala sosial yang terdiri daripada pengaruh budaya barat iaitu budaya skinhead, budaya punk dan budaya black metal; isu kemaksiatan, penagihan dadah, pembuangan bayi, mat rempit serta vandalisme yang berlaku dalam keluarga di Malaysia. Bagi mengatasi masalah ini beberapa tindakan turut dibincangkan bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan gejala sosial ini yang boleh merosakkan masa depan negara. Selain itu juga peranan kerajaan yang telah mengendalikan beberapa program yang dijadikan formula untuk mengatasi permasalahan ini.

PENDAHULUAN

Gejala sosial merupakan masalah yang sering dibicarakan dalam komuniti hari ini. Ia tidak lagi melanda masyarakat membangun tetapi telah turut melanda masyarakat sedang membangun seperti Malaysia. Kini, masalah ini tanpa mengenal simpati telah melanda kawasan bandar, demikian juga kawasan setinggan.

Sekalipun pada setiap masa para pemimpin negara mendakwa masalah sosial berada pada tahap yang terkawal, tetapi untuk melalui masa depan yang masih panjang sudah tentu merupakan suatu perkara yang membimbangkan. Ia menjadi suatu tragedi yang menakutkan apabila para belia telah mula terperangkap dengan gejala ini. Masalah ini timbul boleh jadi berpunca dari sikap golongan dewasa yang membina institusi keluarga atas nilai yang rapuh, kemudian melahirkan anak-anak dalam bahang kepanasan dalaman dan luaran rumahtangga.

Kertas ini cuba mengupas permasalahan ini dengan lebih jelas dan melihat bagaimana pandangan Islam terhadap gejala sosial yang semakin membimbangkan.

 

BENTUK- BENTUK GEJALA SOSIAL DALAM KOMUNITI

 

Terdapat pelbagai bentuk gejala sosial yang berlaku di dalam Malaysia, tidak kira berlaku di kawasan luar bandar ataupun di kawasan bandar. Gejala ini merebak dan menyerang tiap pelusuk tempat tanpa mengira umur, bangsa dan agama.

  1. Penyalahgunaan Dadah
  2. Gangster
  3. Melepak
  4. Khalwat
  5. Minum Arak
  6. Lari Dari Rumah
  7. Gejala Bohsia
  8. Pelacuran
  9. Pengkid

 

Penyalahgunaan Dadah[1]

Penyalahgunaan dadah bermaksud penggunaan dadah dengan tujuan yang salah terutama jika penggunaannya menjejaskan sistem urat saraf.3 Penyalahgunaan dadah merupakan masalah utama Negara. Kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan yang besar bagi mengatasi masalah ini yang begitu ketara melanda masyarakat Melayu Islam. Menurut Agensi Dadah Kebangsaan, dalam tempoh 1996-1997 penagih baru yang dikesan adalah dari kalangan mereka yang berkelulusan PMR dan SPM.[2]

Antara Januari hingga Jun 1997 menunjukkan peratus mereka yang mula menagih dadah sebanyak 4% bagi mereka yang tidak bersekolah, 23.9% mereka yang bersekolah rendah, 48.6% dari mereka yang berkelulusan SRP/LCE/PMR, 22% yang berkelulusan SPM/MCE/SPVM, 0.7% yang berkelulusan STP/HSC/STPM, 0.7% yang mempunyai diploma/ijazah dan 0.1% yang lain-lain. Mereka yang berkelulusan SRP/LCE/PMR merupakan golongan yang terbesar sekali menagih dadah.[3]

Statistik Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) menunjukkan sebanyak 4813 penagih baru dan 5778 kes berulang dicatatkan di seluruh Negara bagi tempoh Januari hingga Mei tahun 2001. Kemudiannya seramai 60 penagih baru dikesan setiap hari turut menggambarkan betapa kritikalnya gejala penagihan dadah.[4]

 

Gangster

Kebanyakan kes gangsterisme melibatkan kecederaan yang serius dan boleh mengakibatkan kematian, kerosakan harta benda awam dan sebagainya. Kes-kes mengenai gangsterisme ini peratus tertingginya adalah melibatkan golongan remaja. Di Kuala Lumpur sekumpulan remaja berusia 16-17 tahun yang tercicir daripada persekolahan telah menubuhkan kumpulan samun. Kumpulan tersebut bergerak selepas jam 12 malam hingga awal pagi dengan menggunakan motosikal dan membuat tinjauan di sesuatu kawasan perumahan dan tempat awam sebelum meragut mangsa terutama mereka yang berjalan bersendirian di tempat sunyi.

Pada 6 Ogos 2004 Utusan Malaysia melaporkan seorang kerani wanita mati dilanggar selepas bertengkar dalam nahas kecil. Dia mati dilanggar ole sebuah kereta Proton Waja yang menggunakan nombor pendaftaran motorsikal Modenas selepas dikatakan bertengkar dengan pemandu kereta terbabit iaitu seorang lelaki berusia dalam 20-an ekoran kemalangan kecil tersebut. Kejadian ini merupakan satu contoh mudah bagaimana budaya samseng berleluasa masa kini. [5]

 

 

Melepak

Lepak merupakan satu aktiviti membuang masa secara mundar-mandir dan bersiar-siar tanpa sebarang arah tuju. Pada kebiasaannya ia berlaku dalam kelompok sekurang-kurangnya dua orang. Waktu lepak tidak terikat dengan waktu, baik siang atau malam. Kelompoknya juga terbuka kepada golongan remaja di kaki lima atau golongan tua di kedai-kedai kopi.  Besar kemungkinan mereka memilih melepak sebagai satu cara untuk lari daripada tekanan hidup. Ada juga yang melepak untuk sekadar bersenang-senang dengan kawan. Bagi golongan tua, besar kemungkinan untuk melepaskan penat badan dan melapangkan fikiran setelah penat bekerja.

Budaya ini adalah suatu perbuatan yang negatif dan tidak produktif. Sekalipun ia bukan merupakan kes jenayah pada masa kini, tetapi tidak mustahil akan merupakan salah satu punca berlaku masalah sosial di masa akan datang. Kehidupan remaja yang inginkan keseronokan dengan melepak di pusat membeli belah dan pusat hiburan tidak mustahil akan menjerumuskan mereka ke kancah masalah sosial yang lebih besar seperti dadah, khalwat, perlumbaan haram dan sebagainya.

 

Khalwat

Khalwat dalam bahasa Arab bermaksud perihal perbuatan mengasingkan atau memencilkan diri (menenangkan fikiran dengan bertafakur dan lain-lain). Makna kedua pula ialah berdua-duaan di tempat terpencil atau tersembunyi antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram dan bukan pula suami isteri yang boleh dianggap sebagai satu perbuatan yang sumbang. [6]

Khalwat yang dimaksudkan sebagai masalah sosial di sini ialah khalwat dengan mengasingkan diri di tempat yang sunyi antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim dan boleh menimbulkan fitnah. Ia merupakan satu perbuatan yang dilarang dalam Islam. Ini kerana ia merupakan permulaan kepada penzinaan. Pengharaman zina bukan setakat perbuatan itu, tetapi perilaku yang berupa mukaddimah kepadanya juga. Kegiatan khalwat merupakan lanjutan daripada pergaulan bebas dan percampuran lelaki dan perempuan tanpa tujuan yang baik. Biasanya perbuatan ini tidak berakhir begitu sahaja bahkan akan mendorong kepada perkara buruk yang lain seperti seks bebas dan bersekedudukan tanpa sah Apabila ini berlaku, kejadian seperti pembuangan bayi kerana kelahiran yang tidak dirancang akan terjadi.

 

Minum Arak

Minum arak, samada sedikit atau banyak, mabuk atau tidak adalah diharamkan oleh Islam. Namun perbuatan ini dilihat sebagai suatu yang remeh oleh masyarakat hari ini. Kegiatan ini bukan sahaja mendatangkan mudarat kepada peminumnya tetapi juga kepada keluarga dan orang lain. Seseorang kaki minum akan melupakan tanggungjawab terhadap keluarga malah tercebak kepada masalah keganasan rumahtangga dan penganiayaan terhadap anak-anak.

 

Lari Dari Rumah

Masalah anak-anak lari dari rumah adalah berkaitan rapat dengan kepincangan dalam mengendalikan rumahtangga. Remaja mudah terpengaruh dengan rakan-rakan di luar untuk mencari keseronokan kerana apabila berada di rumah mereka sering terkongkong akibat persekitaran rumah yang sempit, adik beradik yang ramai atau dimarahi ibu bapa. Tidak kurang juga sebab mereka lari adalah kerana kemiskinan keluarga, pergaduhan ibu bapa, pengaruh filem dan lain-lain.[7]

Menurut Berita Harian, kes lari dari rumah telah menjadi semakin serius apabila 26,092 orang telah dilaporkan hilang dalam tempoh 1990-1996 dan kebanyaknnya adalah remaja. Satu petunjuk yang mengejutkan telah menunjukkan bahawa bilangan remaja Melayu lari dari rumah adalah lebih tinggi jika dibandingkan daripada kaum-kaum yang lain.

 

Gejala Bohsia

Perkataan bohsia berasal dari perkataan Hokkien yang bererti tanpa bunyi. Oleh kerana aktiviti maksiat itu berlaku dalam gelap dan sunyi maka ia disebut awek bohsia. Mereka ini terdiri daripada gadis-gadis belasan tahun yang berumur dalam lingkungan 13-17 tahun. Asalnya aktiviti mereka ialah menggoda remaja mat-mat motor untuk berseronok-seronok. Mereka bergaul bebas sesama mereka untuk bersuka-suka dan melakukan hubungan seks atau minum arak. Ada antara mereka yang berkongsi lebih dari seorang lelaki bagi memenuhi kepuasan yang diingini. Hasil kajian yang dilakukan pada tahun 1994-1995, mendapati 24% remaja berusia 13 tahun hingga 19 tahun pernah melakukan hubungan seks. 18% pernah melakukan hubungan seks pada peringkat umur 15 hingga 18 tahun.[8]

 

Pelacuran

Pelacuran merupakan penyakit sosial yang tertua dalam sejarah peradaban manusia. Masyarakat moden pada hari ini seolah-olah boleh menerima hakikat bahawa terlalu mustahil gejala ini dihapuskan. Ini kerana permintaan yang tinggi terhadap pelacur telah menjadi pemangkin kepada merebaknya gejala ini secara sukarela mahupun paksaan.

Menurut perangkaan Jabatan Kebajikan Masyarakat sepanjang tempoh 1993-1996, terdapat sejumlah remaja mengandung luar nikah di 10 buah institusi dimana kira-kira 456 anak luar nikah telah dilahirkan.[9]

 

Pengkid

Budaya pengkid di mana wanita suka berpakaian dan berpewatakan seperti lelaki telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 23 Oktober lalu. Antara ciri-ciri mereka ialah :

–          Tubuh badan dan rambut mereka sama seperti lelaki.

–          Menjalin hubungan dengan wanita sehingga ada di antara mereka yang bercinta dan melakukan seks.

–          Membengkung payudara.

–          Suka wanita cantik.

–          Menganggap diri seperti lelaki yang boleh menjaga pasangan terutama apabila diganggu.

Ini adalah ciri-ciri pengkid yang sedikit ada kene mengena dengan tomboy. Tetapi tomboy ada perasaan terhadap lelaki dan minat terhadap aktiviti lasak dan mencabar. Di samping ada unsur kasar dan ganas.

 

FAKTOR PEMBENTUKAN GEJALA SOSIAL

Sikap ibubapa : Sesetengah ibubapa tidak begitu mengambil berat pertumbuhan anak-anak. Malah ada yang menswastakan tanggungjawab pendidikan anak-anak kepada pihak ketiga seperti orang gaji, nursery, jiran tetangga, kawan-kawan dan sebagainya.

 

Pendidikan agama yang cetek : Faham keagamaan yang cetek turut membantu pertumbuhan gejala sosial. Malang bagi umat Islam jika hanya tahu tentang agamanya secara serpihan sahaja. Terdapat mereka yang faham agama itu dalam hal-hal yang berkaitan dengan ibadah sembahyang, puasa, tahlil, aqiqah dan beberapa juzuk kecil yang lain sahaja. Mereka tidak mendalami agama mereka sebagai sesuatu yang bertitik tolak dari akidah dan segala penyimpangan dari aspek hidup beragama bernoktahkan dosa dan pahala. Mereka tidak fahami hukum-hukum agama yang akan mempengaruhi sikap mereka dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan.

Peranan rakan sebaya  : Elemen ini selalunya berkaitan rapat dengan gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja. Biasanya mereka yang tidak mendapat perhatian dari rumah akan mencari rakan sebaya yang boleh memenuhi ego dan keperluan tersebut. Bagi remaja yang mencari kebahagiaan di luar rumah pada peringkat permulaan mereka sama-sama menghadiri „walkstock‟ kononnya mencari ketenangan dengan iringan muzik. Selepas itu mereka mencuba dadah bagi mengekalkan ketenangan itu. Apabila sudah menjadi semakin gian, mereka tidak lagi dapat mengenal antara baik dan buruk. Apa yang penting pada masa itu ialah bagaimana nafsu mereka perlu dipenuhi.[10]

Pengaruh media massa : Media massa tidak dinafikan memainkan peranan penting dalam pembangunan kebendaan dan mental rakyat. Banyak pihak terlupa bahawa dengan adanya media massa yang serba canggih dan berteknologi sebenarnya merupakan salah satu faktor yang boleh mempengaruhi budaya, nilai, sikap dan kelakuan sesebuah masyarakat. Mereka semakin terdedah kepada dunia yang menjadi makin kecil, terpengaruh kepada media massa melalui paparan adegan vandelisme di dalam majalah, televisyen dan internet.

Kehidupan yang style : Setelah masyarakat negara ini banyak terdedah kepada media massa yang menayangkan program tidak sopan, generasi baru negara telah bersedia melalui kehidupan baru yang bergaya dan berteraskan hawa nafsu. Mereka telah bersedia untuk hidup di kelilingi muzik liar, konsert rock dan gaya hidup artis. Mereka telah bersedia meniru artis bersubang satu dalam Akademi Fantasia. Mereka bergelut menguji bakat dalam Malaysia Idol dan lain-lain.

PERANAN KERAJAAN DALAM MENGATASI PERMASALAHAN GEJALA SOSIAL

Pelbagai program dan kempen dijalankan di seluruh pelusuk negara Malaysia terutamanya kerajaan Malaysia dengan dibantu oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sama-sama membantu untuk membanteras gejala sosial dari merebak ke dalam masyarakat. Di antaran usaha berikut dijalankan ialah :

Anda Bijak Jauhi Zina – RaudhatusSakinah : Komitmen Raudhatus Sakinah untuk membendung gejala zina dalam kalangan generasi muda memang wajar dipuji. Melalui kempen “Anda Bijak Jauhi Zina” yang mereka lancarkan sejak tahun 2007, mereka terus-menerus berusaha memberikan kesedaran, khususnya kepada pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta warga belia akan keburukan jenayah zina ini agar tidak membarah dengan lebih dahsyat lagi dalam masyarakat. Dalam menyampaikan mesej murni tersebut, banyak “lubuk” orang muda telah mereka jejaki, manakala puluhan ribu remaja telah dapat mereka santuni bagi menyampaikan mesej ini. Malah, pada tahun 2010, selain kempen Anda Bijak Jauhi Zina yang terus giat dilaksanakan, komitmen ini terus mereka pertingkatkan dengan penganjuran beberapa program berimpak tinggi (high impact) bagi memastikan mesej ini lebih meluas dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat. Strategi mereka dengan mengundang penyanyi antarabangsa yang cukup popular dewasa ini iaitu Maher Zain untuk mengadakan persembahan khas di Malaysia sambil mempromosikan kesedaran mengenai isu gejala sosial kepada rakyat di negara ini sedikit sebanyak telah mencelikkan mata dan hati banyak pihak mengenai isu zina ini. Selain itu, “Himpunan 1000 Jiwa 1 Hati” juga telah diadakan pada 31 Disember 2010 yang lalu, yang mana seribu orang anak muda, termasuk mereka yang pernah bersama dalam program Anda Bijak Jauhi Zina telah dihimpunkan kembali untuk bersatu lantas memperbaharui azam bagi menjauhi perbuatan zina yang merosakkan.

Di samping usaha kesedaran dan pencegahan, Raudhatus Sakinah sebenarnya telah lama terlibat dalam memberikan perlindungan kepada remaja wanita yang terjebak dalam kemelut zina ini. Sejak 1998, Raudhatus Sakinah telah menabur bakti melindungi dan memberikan bimbingan kepada ratusan, jika tidak ribuan anak-anak muda yang telah tersasar. Tempoh setahun remaja-remaja ini di Raudhatus Sakinah menjadi detik terbaik bagi mereka untuk menginsafi keterlanjuran yang telah dilakukan, lantas memperbaiki diri menjadi insan yang lebih dekat dengan Tuhan

 

Rakan Muda – Kementerian belia dan sukan : Program Rakan Muda telah dilancarkan pada 29 Oktober 1994 di Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad. Idea penubuhan ini tercetus daripada Wawasan 2020 dengan pendekatan untuk memperkukuhkan dan memperkayakan sistem serta orientasi nilai dalam masyarakat. Misi teras utama program ini adalah bagi melahirkan potensi tertinggi generasi belia supaya mendokong matlamat pembangunan Negara. Ianya bagi membolehkan golongan muda untuk mencari identiti diri dan generasinya. Program ini dizahirkan melalui Sembilan Gaya Hidup dengan elemen – elemen :

  1. Pembangunan Minda.
  2.  Pembangunan Kemahiran
  3. Pembangunan Rohani
  4. Pembangunan Kemasyarakatan
  5. Kecergasan Fizikal

Dengan slogan Rakan Muda- Yakin Boleh!, Sembilan Gaya Hidup yang diperkenalkan kepada remaja adalah :

  1. Rakan Sukan.
  2. Rakan Waja Diri.
  3. Rakan Cinta Alam.
  4. Rakan Seni Budaya.
  5. Rakan Reka Cipta.
  6. Rakan Wirausaha dan Wiramahir.
  7. Rakan Kecergasan.
  8. Rakan Masyarakat.
  9. Rakan Rekreasi.

 

KESIMPULAN

Dari penelitian yang dilakukan, kebanyakan gejala sosial dalam komuniti mula berlaku di peringkat usia remaja dan juga semasa anak-anak di bangku persekolahan. Masalah ini perlu dilihat dalam konteks mata rantai. Dimana ia tidak akan terjadi sekiranya golongan dewasa tidak memulakannya. Perlakuan orang dewasa atau ibubapa kepada anak-anak akan mudah dicontohi oleh anak-anak.

Pengawasan yang tidak berlaku di peringkat orang dewasa menjadikan anak-anak terjebak ke kancah maksiat. Pemantauan di peringkat pusat kuasa yang tidak berlaku secara serius telah menjadi pemangkin kepada permasalahan sosial tidak berpenghujung dengan noktah penurunan, bahkan graf terus meningkat naik setiap tahun.

BIBLIOGRAFI

  • Wan Azmi Ali, Selangkah ke Kubur,(1986), Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya
  • Nor Fatiah Binti Yunus, (2001/2002), Gejala Sosial Di Kalangan Masyarakat Islam Di Kawasan Penempatan Setinggan: Kajian Di Kampung Kerinchi Kuala Lumpur, Latihan Ilmiah Program Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
  • Sheikh Othman Sheikh Halim dll, (1991),  Kamus Dewan, cet 2, Edisi Baru, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka
  • Norazila Mohammad Nor, (2003/2004),  Peranan Jabatan Agama Islam Melaka Dalam Menangani Gejala Sosial di Kalangan Remaja, Latihan Ilmiah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,Universiti Malaya
  • Zool Hilmi Haji Suhaimi, (1997/1998), Gejala Sosial Remaja Dan Penyelesaiannya Berdasarkan Surah Luqman, Latihan Ilmiah Bahagian Pengajian Usuluddin, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
  • Mohd Reduan Aslie, , (1990),  Jenayah Di Malaysia: Aliran, Punca dan Penyelesaian, Kuala Lumpur, AMK Interaksi Sdn Bhd

[1] Perkataan dadah atau drug adalah berasal dari bahasa Jerman drog rate (hampas atau kulit kering). Ia ditakrifkan sebagai apa sahaja chemical substance yang apabila masuk ke dalam badan manusia akan dapat melakukan perbuatan samada untuk kebaikan atau keburukan. Wan Azmi Ali, (1986), Selangkah ke Kubur, Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd, Petaling Jaya, h. 26

[2] Agensi Dadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri, h. 13

[3] Ibid.

[4] Nor Fatiah Binti Yunus, (2001/2002), Gejala Sosial Di Kalangan Masyarakat Islam Di Kawasan Penempatan Setinggan: Kajian Di Kampung Kerinchi Kuala Lumpur, Latihan Ilmiah Program Pengajian Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, hlm 39

[5] Pada 9hb Ogos pihak mengesyaki kejadian ini ada kaitan dengan kes jenayah. Lihat Utusan Malaysia, 9 Ogos 2004, hlm 8.

[6] Sheikh Othman Sheikh Halim dll, (1991),  Kamus Dewan, cet 2, Edisi Baru, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 623

[7] Norazila Mohammad Nor, (2003/2004),  Peranan Jabatan Agama Islam Melaka Dalam Menangani Gejala Sosial di Kalangan Remaja, Latihan Ilmiah Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,Universiti Malaya, h. 42

[8] Kajian ini telah dilakukan oleh Lembaga Perancang Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN). Lihat Utusan Malaysia, 28 Februari 1997, hlm 4

[9] Zool Hilmi Haji Suhaimi, (1997/1998), Gejala Sosial Remaja Dan Penyelesaiannya Berdasarkan Surah Luqman, Latihan Ilmiah Bahagian Pengajian Usuluddin, Universiti Malaya, Kuala Lumpur,h. 52

[10] Mohd Reduan Aslie, , (1990),  Jenayah Di Malaysia: Aliran, Punca dan Penyelesaian, Kuala Lumpur, AMK Interaksi Sdn Bhd, h. 272