Ikutan Kita Adalah al-Haramain al-Syarifain (Masjidil Haram & Masjid al-Nabawi)

Kedua-dua masjid ini iaitu al-Masjid al-Haram di Mekah yang dijadikan Allah kiblat bagi seluruh masjid di dunia ini dan al-Masjid al-Nabawi di Madinah yang diasaskan  di atas ketaqwaan adalah menjadi ikutan dan pedoman kita. Berapa rakaatkah tarawih dikerjakan kedua-dua masjid ini semenjak dari zaman sahabat sehingga sekarang? Bukankah bilanganya 20 rakaat. Adakah boleh diterima oleh akal bahawa kebanyakan orang islam bersepakat melakukan sesuatu yang munkar yang bidaah di dalam agama? Jawapan yang tuntas mengatakan bahawa tiada siapapun yang mengingkarinya bahkan di dalam kalangan mereka terdapat para ulama terdapat  para ulama, fuqaha dan ahli hadith. Sejak zaman berzaman dan dari generasi ke generasi tiada siapa pun yang mengingkarinya.  Jika solat tarawih 20 rakaat sesuatu yang bidaah dan munkar menurut seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak termasuk hanya menjadi amalan Salaf al-Soleh, kenapa Ulama Saudi dengan sokongan pandangan ulama-ulama terkemuka seluruh dunia hanya mendiamkan diri dan tidak menentang bidaah ini?

Di Mekah al-Mukarramah kita dapati kaum Muslimin semuanya mengerjakan tarawih di belakang imam 20 rakaat dan kemudiannya diikuti dengan witir 3 rakaat. Di kalangan ulama-ulama daripada Najd dan Hijaz bahkan Ulama-Ulama seluruh dunia Islam tiada siapa pun yang mengingkari dan menghalangnya maka tidakkah ini sebagai perakuan mereka terhadap bilangan 20 puluh rakaat ini? Sesungguh adalah menjadi keutamaan untuk mengikut Sunnah Saidina Umar bin al-Khatab R.anhu.

Kita lihat masjid di seluruh dunia Islam khususnya di dalam bulan Ramadhan penuh sesak dengan orang ramai yang kebanyakkanya mengerjakan solat tarawih dengan 20 rakaat. Adakah mereka itu jahil atau sesat?, Bagaimana mungkin umat Muhammad berijmak serta bersetuju dengan perkara munkar sedang Rasulullah SAW ada bersabda

لاَ تَجْتَمِعُ أُمَّتِىْ عَلَى ضَلاَلَةِ

Maksudnya : Umatku tiada akan bersepakat terhadap perkara yang sesat

 Dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda :

مَا كَانَ اللهُ لِيَجْمَعَ أُمَّتِى عَلَى ضَلاَلَةِ

Maksudnya : Allah tiada sekali-kali menghimpunkan umatku di atas kesesatan.

Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lainya

Leave a comment