Konflik dan Cabaran Dalam Rumah Tangga

Kebelakangan ini, masalah rumahtangga kian meruncing. Peningkatan kadar penceraian rumahtangga dilihat kian menjadi-jadi terutama dan membimbangkan semua manusia. Ini juga mengakibatkan ramai manusia menjadi resah dan tidak berupaya mengimbangi keperluan jiwa dan ketenangan hati. Apabila keadaan ini tidak dapat dibendung, maka penceraian tidak lagi dapat dielakkan.

Terlebih dahulu perlu diterangkan pengertian talaq menurut Islam. Dalam al-Qamus al-Fiqhi menyebut pengertian talaq:

  1. Meleraikan ikatan perkahwinan.
  2. Menghilangkan penguasaan terhadap isteri dengan lafaz yang jelas atau kinayah yang zahir atau dengan lafaz yang tertentu disertakan dengan niat.

Pensyariatan talaq seperti yang disebut dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 229 yang bermaksud: “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma’ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”

Terdapat juga dalam hadis Rasulullah SAW yang menyebut tentang talaq. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perkara halal yang amat dibenci oleh Allah ialah talaq.” (Riwayat Abu Daud (2178), Ibn Majah (2018), al-Hakim (2/197) dan beliau mensahihkannya)

Perkahwinan adalah untuk mengekalkan kehidupan berumahtangga pasangan suami isteri. Allah telah mensyariatkan pelbagai hukum dan adab perkahwinan untuk menjamin pengekalannya serta menyuburkan hubungan mereka. Walau bagaimanapun, kadangkala terdapat suami isteri atau seorang daripada mereka tidak mematuhinya. Contohnya, suami tidak mementingkan pemilihan pasangan yang baik. Atau kedua-dua suami isteri, atau seorang daripadanya tidak mematuhi adab pergaulan yang digariskan oleh Islam. Ekoran daripada itu, berlakulah kebencian dan semakin bertambah buruk sehingga tiada lagi ruang untuk berbaik-baik dan tiada lagi cara untuk persefahaman dan hidup bersama.

Dalam keadaan ini, adalah perlu diadakan peraturan sebagai langkah berhati-hati yang boleh dirujuk dalam situasi tersebut. Hal ini adalah membolehkan ikatan perkahwinan itu diungkai tanpa mensia-siakan hak kedua-dua suami isteri tersebut apabila tiada sebab bagi mereka untuk hidup bersama.  Terdapat pelbagai faktor yang menjadi sebab berlakunya penceraian. Antaranya:

1. Penghayatan Agama Islam Tidak Sempurna.

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyatakan dalam langkah-langkah mencapai matlamat perkahwinan[1] melalui penghayatan agama yang betul. Suami Isteri yang akan dipilih hendaklah mempunyai penghayatan agama dan akhlak yang baik. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang yang kamu redhai agama dan akhlaknya datang meminang, maka kahwinkanlah dia. Jika kamu tidak mengahwinkannya, nescaya akan berlaku fitnah dan berleluasanya kerosakan di muka bumi.” Hadis riwayat al-Tirmizi (1084)

Begitu juga hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Seseorang perempuan dikahwini kerana empat perkara, iaitu kerana harta, keturunan, kecantikan atau agamanya. Maka, pilihlah perempuan yang beragama kerana kamu memerlukannya.” Hadis riwayat al-Bukhari (4802), Muslim (1466), Abu Daud (2047), al-Nasaie (6/68), Ibn Majah (1858) dan Ahmad (2/428)

Dari awal lagi, Islam mengajar umatnya untuk hidup dalam beragama. Ini ditunjuk bahawa Islam is The Way of Life (Islam Adalah Cara Hidup). Agama islam amat menitik beratkan isu rumah tangga. Dimulakan dengan pemilihan pasangan hidup. Ini kerana pemilihan seorang bakal suami yang baik kepada seorang wanita yang ingin dikahwininya akan membuahkan hasilan yang baik sejajar dengan apa yang digariskan Islam menerusi al-Quran dan al-Hadith. Hikmah pemilihan wanita yang beragama dan berakhlak. Ini kerana agama akan terus kukuh bersama-sama peredaran zaman. Akhlak pula akan terus mantap bersama hari-hari yang berlalu, di samping pengalaman hidup. Apabila setiap pasangan menjadikan agama dan akhlak sebagai asas pemilihan, ia lebih menjamin kelangsungan cinta dan kasih sayang yang berkekalan. Hal ini tidak pula bermaksud bahawa manusia tidak perlu mengambil kira faktor keturunan dan kecantikan. Sebaliknya, ia bermaksud bahawa sekiranya ciri-ciri tertentu sahaja yang ada pada seseorang perempuan, maka pemilihan berdasarkan agama adalah yang paling baik. Jika kesemua ciri ini ada, maka itulah wanita yang paling baik untuk dijadikan pasangan.

Orang yang engkar pada suruhan Allah SWT, biasanya juga akan membawa kepada engkar kepada suruhan, saranan dan pesanan pasangan mereka. Misalnya apabila suami menyuruh si isteri menutup aurat, si isteri enggan. Dia engkar arahan suami sekaligus engkar suruhan Allah SWT. Maka, perlu diingatkan bahawa rumahtangga yang bahagia dan harmoni akan terbentuk hanya apabila setiap pasangan saling mengingati dalam mentaati suruhan Allah SWT.

2. Faktor Pendidikan

Pendidikan adalah satu kewajipan dan amat penting dalam kehidupan tiap manusia. Sekiranya dianggap sebagai perkara yang remeh-temeh, nescaya pelbagai masalah besar akan timbul. Tugas menjalankan tarbiyah terletak pada semua manusia yang ditaklifkan Allah SWT. Namun jika berlaku syirik dan menyimpang dari ajaran-Nya sudah tentu kehidupan manusia hanya rugi semata-mata.

Ramai di antara ibu bapa khususnya menitikberatkan pelajaran kurikulum seperti matematik, sains, sejarah dan sebagainya untuk dipelajari anak-anak mereka. Ramai yang terlupa bahawa pembelajaran agama yang lebih penting dilupakan begitu sahaja. Ada yang sanggup membelanjakan ribuan ringgit untuk memberikan pendidikan dunia untuk anak-anak mereka tetapi ramai yang tidak sanggup untuk menggunakannya bagi memberikan pendidikan agama. Ibu bapa lebih rasa kecewa apabila anak mereka tidak skor “A” dalam matematik, sains, fizik, kimia, biologi dan sebagainya tetapi apabila pembelajaran al-Quran, pendidikan Islam hanya dipandang remeh sahaja. Sekadar melihat mereka lulus sahaja pun tidak mengapa.

Sistem pendidikan juga memainkan peranan penting dalam menangani isu kekeluargaan. Ini kerana apabila berlaku ketidakseimbangan dalam sistem pendidikan yang hanya berteraskan keduniaan semata-mata, maka agama akan ditinggalkan begitu sahaja. Pendidikan yang diseimbangkan antara duniawi dan ukhrawi akan membentuk individu dan masyarakat hidup dalam rahmat Allah SWT.

Memetik ucapan dari Perdana Menteri Malaysia ke-4 sewaktu merasmikan Program Rumahku Syurgaku bertarikh 1 Julai 1992 beliau berkata: “Faktor terpenting ke arah mewujudkan rumahtangga bahagia adalah faktor didikan dan asuhan. Bagi seseorang muslim, didikan Islamlah yang menjadi teras utamanya. Apabila setiap anggota dalam rumahtangga terutama anak-anak dan isteri diberi pemahaman yang secukupnya tentang peranan dan tanggungjawab mereka, Insya-Allah akan terbinalah sebuah rumah yang boleh diisytiharkan sebagai Rumahku Syurgaku. Faktor-faktor lain yang perlu dipupuk dalam menghayati keluarga bahagia ialah kejujuran, keikhlasan, tolong menolong dan bertolak ansur. Begitu juga mereka perlu ada sifat “bersyukur” dengan apa yang dikurniakan kepada mereka.Dengan sifat ini bukan sahaja hati manusia akan merasa tenang dan aman bahkan akan mendorong mereka bekerja bertungkus lumus memerah tenaga bagi mencapai kejayaan hidup yang lebih sejahtera dan cemerlang.”[2]

Tidak apa yang lebih penting daripada ilmu pengetahuan. Tuntutlah ilmu walau di mana berada. Jangan berputus asa dengan mempelajari ilmu. Ilmu juga menaik taraf tahap pendidikan seseorang. Oleh itu pendidikan kepada semua manusia wajib diterapkan. Peranan guru yang telah memainkan peranannya dalam mengajar murid-muridnya, juga ibu bapa harus mendidik anak mereka dengan ilmu pengetahuan yang seimbang antara ilmu dunia dan ilmu akhirat.

3. Kewangan dan Ekonomi[3]

Tidak dinafikan, kewangan sering menjadi punca utama konflik di dalam rumahtangga. Ada kajian menunjukkan apabila negara mengalami kegawatan ekonomi, masalah atau konflik di rumah meningkat pula sebanyak 70%.

Kehidupan semasa bujang amat berbeza sekali dengan kehidupan selepas berumahtangga. Misalnya, dari sudut kos kehidupan harian. Kalau semasa bujang, kita tidak menghadapi masalah berkenaan dengan makan minum kita sehari-harian dan apabila lapar, kita hanya pergi ke gerai-gerai atau mana-mana restoran untuk membeli makanan. Berbeza keadaannya selepas berumahtangga. Keluarga harus difikirkan kerana mereka adalah sebahagian dari tanggungan kita. Selain dari makan minum, kos-kos lain dalam kehidupan seharian, kita harus fikirkan, seperti bil-bil air, api, telefon, barang-barang dapur dan semua ini memerlukan kos atau sumber kewangan yang mencukupi.

Apabila masalah kewangan berlaku di dalam sesebuah rumahtangga, konflik boleh tercetus hanya kerana masalah yang kecil. Oleh itu, berhati-hatilah. Terdapat beberapa cara dalam mengatasi masalah kewangan di dalam rumah tangga, antaranya:

I.        Mengawal perbelanjaan di dalam rumah tangga.

II.        Melakukan kerja-kerja sampingan sebagai sumber pendapatan tambahan untuk keluarga. Sebagai contoh, isteri suri rumah sepenuh masa boleh mencari peluang melalui rakan atau jiran tetangga membuat projek kecil-kecilan yang sesuai dengan kebolehannya. Si suami pula, hobi atau minatnya boleh diguna sebagai peluang menjana pendapatan tambahan.

4. Faktor Kesihatan

Islam memandang perkahwinan sebagai cara yang bermanfaat untuk menjaga kaum lelaki daripada keburukan dan bahaya yang dilakukan secara tersembunyi, penyelewengan dan segala yang dapat merosakkan kesihatan fizikal dan mental, jasmani dan rohani.

Rasulullah SAW memperingatkan orang yang ingin melakukan kejahatan dan perbuatan keji dengan sabdanya yang bermaksud: “Ada 7 golongan orang yang pada hari kiamat kelak Allah SWT tidak sudi untuk melihat mereka dan tidak akan membersihkan mereka daripada dosa, bahkan kepada mereka Allah berfirman: “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang lain yang dimasukkan ke dalamnya.” Tujuh golongan itu ialah:

1. Orang yang melakukan hubungan sejenis, (Homoseks)

2. Orang yang melakukan onani.

3. Orang yang memuaskan hawa nafsu dengan haiwan.

4. Mereka yang menyetubuhi Isteri melalui dubur.

5. Mereka yang mengahwini anak tirinya.

6. Mereka yang berzina dengan isteri jirannya.

7. Mereka yang menganggu jirannya sehingga dia dikutuk olehnya.

(Hadis riwayat Tabrani)

Permasalahan yang timbul dalam hadis ini adalah punca-punca yang mungkin berlaku dalam institusi kekeluargaan. Ia membawa kepada keruntuhan rumahtangga yang dibina runtuh begitu sahaja. Ini adalah penyakit yang melanda walaupun tidak nampak secara zahirnya. Hadis riwayat Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Jika umatku menghalalkan lima perkara ini, pasti ditimpa kehancuran: Bila mereka saling melaknat sesama sendiri, meminum arak, memakai sutera, menyimpan perempuan simpanan, dan memuaskan nafsu lelaki sesama lelaki (gay) dan perempuan sesama perempuan (lesbian). (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Penyakit-penyakit yang disebutkan dalam hadis di atas menjadi punca korban penyakit kelamin yang amat berbahaya iaitu merebaknya penyakit AIDS, HIV, dan sebagainya.  Sebagai mengambil 2 keterangan yang berbeza yang dinyatakan dalam hadis riwayat Tabrani: Mereka yang menyetubuhi Isteri melalui dubur dan Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi iaitu: menyimpan perempuan simpanan, adalah perkara yang boleh membawa kerosakan rumah tangga. Ini bersangkut paut dalam keluarga apabila agama diletak di bawah, kesihatan juga turut terabai. Ini akhirnya menimbulkan pelbagai masalah yang akan membawa kepada masalah yang lebih besar.

Sejak beberapa tahun lepas langkah kerajaan yang dilaksanakan di semua oleh Jabatan Agama Islam Negeri dengan mewajibkan ujian saringan HIV kepada bakal pengantin adalah langkah terbaik dalam menangani gejala tesebut menular di kalangan pasangan yang akan menjadi suami isteri. Ujian mestilah dilakukan di Hospital Kerajaan dan Klinik Kesihatan Kerajaan. Ini mewujudkan jalan terbaik dalam menyekat penyakit itu daripada menular dengan lebih teruk.

Ini menunjukkan Islam amat menitik beratkan soal kesihatan umatnya. Terdapat beberapa ujian lain yang dijalankan kepada pasangan yang akan berkahwin dengan ujian darah, pemeriksaan kesihatan yang lainnya bagi melangsungkan rumah tangga berjalan seperti yang diingini.


[1] Dr. Mustafa al-Khin, Dr Mustafa al-Bugha, Dr. Ali al-Syarbaji. 2009. Al-Fiqh al-Manhaji Mazhab al-Syafie (Terjemahan). Selangor: Darul Syakir. 3/46.

[3] Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Haji Muhammad Zakaria, Zarina Sarudin. 2005. Menempuh Gerbang Perkahwinan. Selangor. Telaga Biru. 86.

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s