Saranan Berani Dato Mahmood Zuhdi Tangani Buang Anak…

Bersih masyarakat daripada faktor rosakkan nilai murni

2010/04/19

CADANGAN penubuhan pusat menerima bayi daripada perbuatan zina, menyediakan rumah perlindungan perempuan mengandung tanpa ikatan perkahwinan dan memberi pendidikan seks kepada pelajar sekolah adalah cadangan lahir daripada pemikiran dangkal.

Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (Istac), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid, berkata jalan penyelesaian serpihan itu akan menjurus kepada masalah baru kerana tidak merawat akar atau punca permasalahan.

Katanya, cadangan dikemukakan banyak pihak itu ibarat mengatasi keburukan dengan keburukan yang lain dan ini tidak akan menyelesaikan masalah pokok sebaliknya menambahkan lagi kekusutan yang ada.

“Kenapa saya kata begitu, apabila mengandung perempuan tidak akan risau kerana boleh serah bayi ke pusat disediakan. Barat terima anak zina dan dengan tindakan ini kita juga ke arah melakukan perkara sama,

” katanya. Beliau berkata, niat membimbing pelajar melalui sistem pendidikan dengan memperkenalkan pendidikan seks memang wajar, tetapi langkah itu tidak berkesan jika keburukan yang menghasut lebih banyak berbanding pendidikan diberi.

Katanya, bahan lucah boleh diakses dengan mudah sementara majalah pula banyak memaparkan gambar yang boleh merangsang remaja. Itu belum lagi program televisyen yang menghidangkan rancangan mendorong ke arah kegiatan tidak bermoral.

Lagipun, katanya, masyarakat negara ini tidak bersifat terbuka dalam membicarakan perkara berkaitan seks dan keadaan itu akan menggagalkan matlamat mendedahkan remaja kepada pendidikan seks sebagai kaedah menangani masalah zina serta pembuangan bayi. “Seks dalam masyarakat kita masih rahsia umum. Katalah mereka belajar di sekolah, tetapi perkara itu tidak boleh dibincangkan di rumah. Jadi untuk mengetahui lebih lanjut, terpaksa cari sendiri seterusnya mencuba dan ini lebih teruk,” katanya.

Dr Mahmood berkata, usaha diharap dapat menyelesaikan masalah zina dan pembuangan bayi hanya akan menimbulkan konflik kerana ubat diberi, tetapi pada masa sama pihak terbabit terus terdedah kepada punca penyakit.

Beliau berkata, semua melihat kes pembuangan bayi sebagai perkara merisaukan, tetapi pada masa sama, pelbagai bentuk hiburan dianjurkan yang menggalakkan pergaulan bebas lelaki dan perempuan hingga terjebak dalam kancah maksiat.

Katanya, jika semua pihak terutama kerajaan serius untuk menangani isu pembuangan bayi yang saban hari dilaporkan, tumpuan perlu diberi kepada usaha membersihkan masyarakat daripada sumber yang mendedahkan mereka kepada faktor yang merosakkan nilai murni.

“Jika keruh di hulu, maka keruhlah di hilir. Oleh itu, untuk menjernihkan hilir perlu bersihkan di hulu dulu. Apabila masyarakat tidak betul, inilah hasilnya,” katanya. Beliau berkata, usaha membetulkan masyarakat adalah tugas semua pihak termasuk kerajaan untuk mengambil tindakan menyeluruh termasuk mengkaji dasar negara supaya lebih tegas terutama dalam perkara berkaitan sosial.

Sementara itu, Pengarah Pusat Bimbingan Remaja Puteri Rhaudatus Sakinah, Rosmawati Zainal, berkata permasalahan sosial yang semakin meningkat terutama kes membuang bayi perlu dilihat pada akarnya sebelum tindakan menyeluruh ke arah penyelesaian dapat dilaksanakan secara bersepadu. Katanya, banyak yang perlu dinilai semua pihak jika mahu masalah sosial yang membelenggu golongan muda serta remaja di negara ini ditangani dengan berkesan bukan sekadar meninjau ketika isu hangat dan membiarkan apabila suasana kembali sejuk.

“Kenapa buang bayi, sebab sudah buat salah dan tidak tahu apa nak buat. Beritahu keluarga nanti kena marah, lelaki pula tidak mahu bertanggungjawab. Jadi nak tutup malu, sama ada gugurkan atau jika tidak berjaya, buang bayi selepas dilahirkan. “Ada cadangan banyakkan rumah perlindungan dan tubuhkan bank bayi, tetapi apakah ada jaminan tindakan itu akan menghentikan kes membuang bayi? Sudah tiba masanya pergi terus ke akar umbi, ke sekolah, institut pengajian tinggi, sektor awam dan swasta untuk bagi kesedaran,” katanya.

Rosmawati berkata, kaedah terbaik menghurai permasalahan buang bayi ialah melalui didikan dan bimbingan kepada remaja supaya menjauhi perkara yang boleh menjurus kepada perzinaan hingga melahirkan anak termasuk pendidikan kesihatan reproduktif remaja atau pendidikan seks.

Katanya, Jemaah Islam Malaysia (Jim) melalui Raudhatus Sakinah mengambil pendekatan keluar mendekati golongan berisiko tinggi terdedah kepada gejala tidak baik yang akhirnya mendorong mereka mengambil tindakan tidak sepatutnya. Kempen Anda Bijak Jauhi Zina yang dianjurkan sejak 2007 katanya, bertujuan membina kesedaran serta membimbing remaja, belia dan semua lapisan masyarakat mengenai kesan buruk perbuatan dilarang agama itu seterusnya berkata tidak kepada zina.

****Saya petik artikel ini dari laman FaceBook  Rohidzir Rais’s Notes http://www.facebook.com/note.php?note_id=113032128728439 . Saya melihat ianya penting apabila banyak perkara berlaku sekarang berdasarkan kejahilan manusia sendiri.. Berfikir dengan tidak rasional. Boleh juga untuk saya katakan menggunakan “kepala lutut” bukan kepala yang berotak …Akal fikiran yang tidak menterjemahkan sesuatu perkara itu dengan baik.. fikirkanlah wahai semua rakan, sahabatku…****

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s