Solat Gerhana Bulan & Matahari

Pengertian dan Pensyariatan

 Gerhana matahari (الكُسُوفُ) dan gerhana bulan (الخُسُوفُ) dari segi bahasa adalah tertutup cahayanya sama ada sebahagian atau keseluruhannya.  Kedua-dua perkataan boleh digunakan untuk maksud dua jenis gerhana tersebut.

Solat gerhana matahari dan bulan tergolong dalam jenis solat yang disyariatkan kerana bersebab.  Dalam solat ini orang Islam memohon kepada Allah SWT agar menghindarkan segala bencana dan mengembalikan cahaya. Solat gerhana matahari disyariatkan pada tahun kedua hijrah. Manakala solat gerhana bulan pada tahun kelima hijrah.

 

Hukum Solat Gerhana

Solat gerhana adalah sunat muakkad. Hal ini berdasarkan hadith, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الشَّمْسُ وَالْقَمَرُ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ وَإِنَّهُمَا لاَ يَنْكَسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَصَلُّوا وَادْعُوْا حَتَّى يَنْكَشِفَ مَا بِكُم

Maksudnya: Matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila mengetahui gerhana berlaku kamu hendaklah bersolat dan berdoa sehingga cahaya kelihatan semula.” Riwayat Muslim (904)

Dalil seterusnya adalah berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang melakukan solat gerhana. Suruhan supaya bersolat dan berdoa dalam hadith tersebut tidak ditafsirkan sebagai suruhan wajib berdasarkan hadith:

Seorang Badwi bertanya kepada Nabi SAW tentang solatlimawaktu:

هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهَا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ

 Maksudnya: Adakah solat lain yang wajib atasku? Nabi SAW menjawab: Tidak, kecuali engkau melakukan solat sunat.” Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)

Kedua-dua solat gerhana ini sunat dilakukan secara berjemaah dan seruan untuk solat tersebut ialah (الصلاةَ جَامَعةً)

 

Cara Bersolat Gerhana

Solat gerhana matahari atau bulan ialah sebanyak dua rakaat yang dilakukan dengan niat solat gerhana berkenaan. Terdapat duacaramelakukannya, iaitucarayang ringkas dancarayang lebih sempurna.

 Pertama: Cara yang ringkas: Dilakukan adalah pada tiap-tiap rakaat dengan dua kali berdiri, dua kali bacaan dan dua kali ruku’ sebagaimana solat biasa tanpa memanjangkannya. Begitu juga sah dilakukan sebanyak dua rakaat dengan dua kali berdiri dan dua kali ruku’ sebagaimana solat fardhu Jumaat.Namuncara ini meninggalkan fadhilat kerana berlainan daripada perbuatan Nabi SAW.

 Kedua: Cara yang lebih sempurna: Dilakukan adalah pada tiap-tiap rakaat dengan dua kali berdiri serta memanjangkan bacaan dengan membaca surah al-Baqarah atau surah yang lain yang sama kadar panjangnya selepas membaca al-Fatihah ketika berdiri yang pertama bagi rakaat yang pertama, dan membaca sekadar yang menyamai 200 ayat ketika berdiri yang keduanya. Sementara ketika berdiri yang pertama bagi rakaat yang kedua pula ialah membaca sekadar 150 ayat, dan ketika berdiri yang keduanya ialah membaca sekadar yang menyamai 100 ayat daripada surah a-Baqarah.

Kemudian, hendaklah memanjangkan ruku’ selama bacaan yang menyamai kira-kira 100 ayat. Sementara pada ruku’ yang kedua pula membaca anggaran 80 ayat, ruku’ yang ketiga sekadar 70 ayat dan ruku’ yang keempat sekadar 50 ayat.

Apabila selesai bersolat, imam berkhutbah sebagaimana dua khutbah Jumaat dari segi hukum dan syarat-syaratnya. Dalam dua khutbah tersebut imam menggalakkan jemaah supaya bertaubat dan membuat kebajikan serta menyedarkan mereka daripada lalai dan tertipu.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Samurah bin Jundub RA, katanya:

صَلَّى بِنَا النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى كُسُوفٍ لاَ نَسْمَعُ لَهُ صَوْتًا 

Maksudnya: Nabi SAW bersolat Gerhana Matahari bersama-sama kami dan suaranya kami dan suaranya tidak kedengaran oleh kami.”Riwayat al-Tirmizi (562) dan katanya hadith ini adalah hasan sahih

Hadith seterusnya, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

جَهَرَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِى صَلاَةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ 

Maksudnya: Nabi SAW menyaringkan bacaan ketika bersolat Gerhana Bulan.”Riwayat al-Bukhari (1016) dan Muslim (901)

Justeru, maksud suaranya tidak kedengaran dalam hadith yang pertama ialah ketika bersolat Gerhana Matahari kerana ia solat pada waktu siang, manakala maksud menyaringkan bacaan dalam hadith yang kedua pula ialah ketika bersolat Gerhana Bulan kerana ia solat pada waktu malam. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah RA, katanya:

خَسَفَتِ الشَّمْسُ فِى حَيَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَقَامَ وَكَبَّرَ وَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَاقْتَرَأَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ كَبَّرَ فَرَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفَعَ رَأْسَهُ فَقَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ. ثُمَّ قَامَ فَاقْتَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً هِىَ أَدْنَى مِنَ الْقِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ كَبَّرَ فَرَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً هُوَ أَدْنَى مِنَ الرُّكُوعِ الأَوَّلِ ثُمَّ قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ. ثُمَّ سَجَدَ ثُمَّ فَعَلَ فِى الرَّكْعَةِ الأُخْرَى مِثْلَ ذَلِكَ حَتَّى اسْتَكْمَلَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ….. أَرْبَعَ رَكُوْعاً وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ وَانْجَلَتِ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَنْصَرِفَ ثُمَّ قَامَ فَخَطَبَ النَّاسَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ  ثُمَّ قَالَ « إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَافْزَعُوا لِلصَّلاَةِ. وفي رواية: فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَكَبِّرُوا وَادْعُوا اللَّهَ وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا

 Maksudnya: Gerhana matahari berlaku pada zaman Nabi SAW, lalu Baginda pergi ke masjid dan bersolat. Orang ramai pun berbaris mengikut Baginda di belakang. Baginda membaca surah yang panjang. Kemudian Baginda bertakbir sambil ruku’ yang panjang, kemudian Baginda bangun i’tidal sambil berkata: سَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَة رَبَّنَا لَكَ الحَمدُ . Baginda terus berdiri dan membaca bacaan yang panjang kurang sedikti daripada bacaan yang pertama. Kemudian Baginda ruku’ yang lama kurang sedikit daripada ruku’ yang pertama dan i’tidal sambil berkataسَمِعَ اللهُ لِمَن حَمِدَة رَبَّنَا لَكَ الحَمدُ. Seterusnya Baginda sujud. Dalam riwayat yang lain pula menyebut: Baginda sujud dengan lama. Begitu juga yang dilakukan Baginda pada rakaat yang kedua sehingga sempurna empat kali ruku’ dan empat kali sujud, dan matahari pun bersinar semula sebelum Baginda selesai bersolat. Sesudah itu Baginda berkhutbah kepada orang ramai serta memuji Allah dengan selayaknya dan bersabda: Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada tanda keagungan Allah. Gerhana berlaku bukanlah disebabkan mati atau hidup seseorang. Apabila kamu mengetahui gerhana, segeralah bersolat. Dalam riwayat yang lain pula menyebutkan bahawa, apabila kamu mengetahui gerhana berlaku berdoalah kepada Allah SWT, bersolat dan bersedekahlah.” Riwayat al-Bukhari (947) dan Muslim (901)

Rasulullah SAW melakukan solat gerhana matahari tanpa menyaringkan bacaannya dan Baginda mengingatkan orang ramai supaya jangan lalai dan tertipu.

Tiada Qadha’ Solat Gerhana

Apabila luput waktu solat gerhana, setelah matahari atau bulan bersinar semula sebelum melakukan solat, tidaklah disyariatkan mengqadha’kannya. Hal ini demikian kerana solat gerhana tergolong dalam jenis solat yang bersebab. Justeru, apabila hilang sebabnya maka hilanglah tuntutan bersolat tersebut.

 

Mandi Solat Gerhana

Seseorang yang hendak melakukan solat gerhana sunat mandi sebagaimana mandi untuk bersolat Jumaat. Ini kerana solat gerhana sama keadaannya dengan solat Jumaat dari segi perhimpunan ramai dan suruhan berjemaah.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s