Merayakan Hari Raya AidilFitri Mengikut Sunnah

Petikan dari buku Ahkam wa Fatwa al-Siyam susunan Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri. Moga sesiapa yang tidak dapat memiliki buku tersebut saya kongsikan apa yang terdapat di dalamnya. Insyaallah manfaat untuk semua dan diri ini..

Pengertian Hari Raya

Perkataan `Id (عيد) berasal daripada `aud (عَـودٌ) bererti ulangan. Ini kerana sama ada hari raya itu berulang pada setiap tahun, atau kegembiraannya berulang setiap kali menjelang hari raya atau banyak nikmat Allah SWT dikurniakan kepada hamba-hamba-Nya pada hari raya tersebut.

Pensyariatan Solat Hari Raya dan Dalilnya

Solat Aidil Fitri dan Aidil Adha telah disyariatkan pada tahun Hijrah yang kedua. Solat hari raya pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah solat Aidil Fitri pada tahun yang kedua Hijrah tersebut.

Sementara dalil pensyariatannya pula ialah firman Allah SWT yang ditujukan kepada Nabi SAW:

Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).

Ulama’ tafsir menyatakan maksud sembahyang dalam ayat tersebut ialah solat Aidil Adha. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Sa’id al-Khudri RA katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى الْمُصَلَّى، فَأَوَّلُ شَىْءٍ يَبْدَأُ بِهِ الصَّلاَةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ، فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ، وَالنَّاسُ جُلُوسٌ عَلَى صُفُوفِهِمْ، فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ وَيَأْمُرُهُمْ، فَإِنْ كَانَ يُرِيدُ أَنْ يَقْطَعَ بَعْثًا قَطَعَهُ، أَوْ يَأْمُرَ بِشَىْءٍ أَمَرَ بِهِ، ثُمَّ يَنْصَرِفُ

Maksudnya: Rasulullah SAW pergi ke musolla pada hari Aidil Fitri dan Aidil Adha. Perkara pertama yang Baginda lakukan ialah solat. Kemudian Baginda berpaling menghadap orang ramai yang masih duduk di dalam saf mereka, lalu Baginda memberikan nasihat dan menyampaikan apa-apa arahan kepada mereka. Jika hendak menghantar pasukan pejuang atau menyampaikan apa-apa arahan, Baginda membuat keputusan dan mengarahkannya pada masa itu. Selepas itu Baginda pun bersurai.” Riwayat al-Bukhari (913) dan Muslim (889)

Hukum Solat Hari Raya

Solat hari raya ialah sunat muakkad. Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu. Berdasarkan hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri yang terdahulu, solat hari raya disyariatkan secara berjemaah namun sah dilakukan secara bersendirian. Begitu juga ia disyariatkan berjemaah kepada semua mukallaf sama ada lelaki, perempuan, bermukim, musafir, orang bebas atau hamba kecuali perempuan yang berhias atau yang memungkinkan fitnah. Mereka hendaklah bersolat di rumah sahaja.

Solat hari raya tidak wajib berdasarkan hadith: Rasulullah SAW bersabda kepada seorang yang bertanya tentang solat yang difardhukan:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِى الْيَوْمِ وَاللَّيْلَةِ.فَقَالَ: هَلْ عَلَىَّ غَيْرُهُا؟ قَالَ: لاَ، إِلاَّ أَنْ تَطَّوَّعَ

Maksudnya: Lima solat sehari semalam. Baginda ditanya lagi: Adakah wajib atasku selain daripada itu? Baginda menjawab: Tidak, kecuali engkau ingin mengerjakan solat sunat.” Riwayat al-Bukhari (46) dan Muslim (11)

Begitu juga hadith:

خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ

Maksudnya: Allah SWT mewajibkan lima solat atas hamba-Nya. Sesiapa yang melakukannya tanpa meninggalkan sedikit pun kerana meringan-ringankannya, Allah SWT menjanjikannya masuk syurga, manakala sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa kepadanya. Allah akan mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga menurut kehendak-Nya.” Riwayat Abu Daud (1420)

Hadith seterusnya, daripada Ummu ‘Atiyyah al-Ansariyah R.Anha:

كُنَّا نُؤْمَرُ أَنْ نَخْرُجَ يَوْمَ الْعِيدِ، حَتَّى نُخْرِجَ الْبِكْرَ مِنْ خِدْرِهَا، حَتَّى نُخْرِجَ الْحُيَّضَ فَيَكُنَّ خَلْفَ النَّاسِ، فَيُكَبِّرْنَ بِتَكْبِيرِهِمْ، وَيَدْعُونَ بِدُعَائِهِمْ يَرْجُونَ بَرَكَةَ ذَلِكَ الْيَوْمِ وَطُهْرَتَهُ. وَفِي رِوَايَةٍ قَالَتْ امْرَأَةٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِحْدَانَا لَمْ يَكُنْ لَهَا جِلْبَابٌ؟ فَقَالَ: لِتُلْبِسْهَا صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا

Maksudnya: Kami disuruh keluar pada hari raya dan membawa gadis-gadis keluar dari bilik-bilik pingitan mereka bersama-sama yang haidh, kesemuanya berada di belakang jemaah lelaki. Mereka bertakbir dan berdoa bersama-sama memohon keberkatan dan kesucian hari tersebut.

Sementara dalam riwayat yang lain pula, seorang perempuan berkata: Wahai Rasulullah, seorang daripada kami tidak mempunyai baju labuh (jilbab). Baginda menjawab: Rakannya hendaklah meminjamkan kepadanya.” Riwayat al-Bukhari (928) dan Muslim (890)

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ibn Abbas RA:

أَنَّهُ أَرْسَلَ إِلَى ابْنِ الزُّبَيْرِ فِى أَوَّلِ مَا بُويِعَ لَهُ إِنَّهُ لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ بِالصَّلاَةِ يَوْمَ الْفِطْرِ، إِنَّمَا الْخُطْبَةُ بَعْدَ الصَّلاَةِ

Maksudnya: Dia diutus kepada Ibn Zubair pada awal pelantikannya untuk memberitahu bahawa tidak ada azan ketika solat Aidil Fitri, yang ada cuma khutbah selepas solat tersebut.” Riwayat al-Bukhari (916) dan Muslim (886)

Seterusnya hadith, daripada Ibn Abbas RA dan Jabir bin Abdullah RA, mereka berkata:

لَمْ يَكُنْ يُؤَذَّنُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَلاَ يَوْمَ الأَضْحَى

Maksudnya: Tidak ada azan ketika Aidil Fitri dan Aidil Adha.” Riwayat al-Bukhari (917) dan Muslim (886)

Waktu Solat Hari Raya

Waktu solat hari raya bermula dari matahari terbit hingga gelincir. Hal ini berdasarkan hadith, daripada al-Barra’ RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ فِى يَوْمِنَا هَذَا أَنْ نُصَلِّىَ

Maksudnya: Perkara yang pertama kita mulakan hari ini ialah bersolat.” Riwayat al-Bukhari (908)

Bermulanya hari adalah apabila fajar terbit. Pada waktu itu dilakukan solat Subuh sebelum matahari terbit, dan solat Zuhur selepas matahari gelincir. Namun waktu solat hari raya yang afdhal adalah ketika matahari naik tinggi segalah. Ini kerana Nabi SAW sentiasa melakukannya pada waktu tersebut.

Cara Solat Hari Raya

Solat hari raya dua rakaat dimulai dengan takbiratu al-Ihram diikuti dengan doa Iftitah. Kemudian bertakbir sebanyak tujuh kali sambil mengangkat tangan selari dengan bahu sebagaimana takbiratu al-Ihram. Hendaklah diselangi di antara dua takbir sekadar masa satu ayat sederhana dan sunat membaca tasbih.

Seterusnya membaca (أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَيْطَانِ الرَّجِيْمِ), Fatihah dan satu surah atau beberapa ayat daripada al-Quran. Selepas takbir ketika bangun pada rakaat yang kedua, hendaklah bertakbir sebanyak lima kali sebelum memulakan bacaan, dan setiap takbir diselangi dengan bacaan tasbih sebagiamana yang disebutkan tadi.

Semua takbir tambahan ini sunat sahaja. Jika terlupa melakukannya dan telah memulai bacaan fatihah, sunatnya terluput namun solatnya tetap sah.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Umar RA berkata:

صَلاَةُ الْفِطْرِ رَكْعَتَانِ وَصَلاَةُ الأَضْحَى رَكْعَتَانِ ثُمَّ قَالَ: عَلَى لِسَانِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Solat Aidil Fitri dua rakaat dan solat Aidil Adha dua rakaat. Seterusnya dia berkata: Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW.” Riwayat al-Nasaie (3/111) dan yang lainnya

Para ulama’ juga telah berijma’ tentang cara-cara solat hari raya berdasarkan hadith tersebut. Hadith seterusnya, Amru bin `Auf al-Muzani RA meriwayatkan:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ فِى الْعِيدَيْنِ فِى الأُولَى سَبْعًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ وَفِى الآخِرَةِ خَمْسًا قَبْلَ الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: Nabi SAW bertakbir ketika solat dua hari raya, pada rakaat yang pertama sebanyak 7 kali sebelum membaca fatihah dan pada rakaat yang akhir sebanyak 5 kali sebelum membaca fatihah.” Riwayat al-Tirmizi (536)

Seterusnya al-Tirmizi mengatakan bahawa inilah keterangan-keterangan yang terbaik daripada Nabi SAW tentang solat hari raya.

Khutbah Hari Raya

Selepas selesai solat hari raya, sunat melakukan dua khutbah. Khutbah tersebut  secara ringkas adalah seperti berikut:

Khutbah hendaklah dibacakan selepas solat hari raya. Ia berlainan daripada khutbah Jumaat. Cara ini adalah mengikut perbuatan Nabi SAW. Hal ini berdasarkan hadith, Ibn Umar RA berkata:

أَنَّ النَّبِىَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ كَانُوا يُصَلُّونَ الْعِيدَيْنِ قَبْلَ الْخُطْبَةِ

Maksudnya: Nabi SAW, Abu Bakar dan Umar melakukan solat hari raya sebelum berkhutbah.” Riwayat al-Bukhari (920) dan Muslim (888)

Hadith seterusnya, Ibn Abbas RA berkata:

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ فِطْرٍ َوأَضْحَى، فَصَلَّى ثُمَّ خَطَبَ

Maksudnya: Aku keluar bersama-sama Nabi SAW pada hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha lalu Baginda bersolat, kemudian Baginda berkhutbah.” Riwayat al-Bukhari (932)

Semua rukun dan sunat khutbah Jumaat yang disebutkan dahulu adalah sama digunakan pada khutbah hari raya. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ubaidillah bin Abdullah bin `Utbah bin Mas’ud RA berkata:

السُّنَةَ أَنْ يَخْطُبَ الإِمَامُ، فِي العَيْدَيْنِ خُطْبَتَيْنِ يُفْصِلُ بَيْنَهُمَا بِجُلُوْسٍ

Maksudnya:Menurut sunnah, imam berkhutbah pada kedua-dua hari raya tersebut sebanyak dua kali diselangi dengan duduk”. Riwayat Imam al-Syafie Rahimahullah

Khutbah yang pertama sunat dimulakan dengan takbir sebanyak sembilan kali dan khutbah yang kedua dengan takbir sebanyak tujuh kali. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ubaidillah bin Abdullah bin `Utbah bin Mas’ud RA berkata:

السُّنَّةُ أَنْ تُفْتَتَحَ الْخُطْبَةُ بِتِسْعِ تَكْبِيرَاتٍ تَتْرَى، وَالثَّانِيَةِ بِسَبْعِ تَكْبِيرَاتٍ تَتْرَى

Maksudnya: Menurut sunnah, khutbah dimulakan dengan takbir sebanyak sembilan kali berturut-turut dan khutbah yang kedua dimulakan dengan takbir sebanyak tujuh kali berturut-turut.” Riwayat al-Baihaqi

Tempat Solat Hari Raya

Solat hari raya boleh didirikan sama ada di masjid atau di kawasan lapang. Walau bagaimanapun, yang afdhal antara kedua-duanya ialah tempat yang dapat menampung lebih ramai jemaah. Jika kedua-dua tempat tersebut sama luasnya, maka bersolat di masjid afdhal daripada bersolat di kawasan lapang. Ini kerana masjid lebih mulia daripada tempat yang lain dan para jemaah yang bersolat di masjid akan mendapat pahala beribadat di samping pahala berada di dalamnya.

Namun peristiwa Nabi SAW telah bersolat hari raya di kawasan lapang semata-mata disebabkan keadaan masjidnya ketika itu sempit dan tidak dapat menampung para jemaah, sedangkan sebagaimana yang diketahui solat hari raya disyariatkan kepada semua mukallaf lelaki dan perempuan melakukannya secara berjemaah.

Justeru, apabila ada masjid yang besar dan dapat menampung semua jemaah dengan selesa dan tenang, maka kelebihan bersolat di kawasan lapang tidak bererti lagi.

Takbir Pada Hari Raya

Sunat bertakbir bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadat haji apabila matahari terbenam pada malam Aidil Fitri dan Aidil Adha hinggalah imam mula bersolat hari raya. Ia dilafazkan dengan suara yang nyaring sama ada di rumah, di jalan, di masjid dan di tempat-tempat awam.Hal ini berdasarkan firman Alllah SWT:

Maksudnya: Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185)

Ulama’ tafsir mengatakan bahawa ayat ini adalah berkenaan dengan takbir Aidil Fitri, dan takbir Aidil Adha diqiaskan kepada takbir Aidil Fitri tersebut.

Semasa Aidil Adha, semua orang Islam sama ada yang mengerjakan haji ataupun tidak, sunat bertakbir selepas setiap solat fardhu atau solat sunat, bermula dari solat Subuh hari Arafah hinggalah selepas Asar hari Tasyriq yang akhir. Hari Tasyriq ialah tiga hari yang berikut selepas hari Aidil Adha. Adapun semasa hari raya Aidil Fitri tidak sunat bertakbir selepas bersolat, malah sunatnya terputus apabila imam memulakan solat sunat hari raya sebagaimana yang telah disebutkan.

Semua hal yang tersebut berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW dan amalan yang diteruskan oleh para sahabatnya sebagaimana hadith-hadith yang berikut:

Daripada Ali dan Ammar RA:

أَنَّ النَّبَيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ يَوْمَ عَرَفَةَ صَلاَةَ الغَدَاةِ، وَيَقْطَعُهَا صَلاَةَ العَصْرِ آخِرَ أَيَّاِم التَّشْرِيْقِ

Maksudnya: Nabi SAW bertakbir pada hari Arafah selepas solat Subuh dan memberhentikannya selepas solat Asar hari Tasyriq yang akhir.” Riwayat al-Hakim (1/299)

Al-Hakim mengatakan bahawa sanad hadith ini sahih dan dia tidak mendapati sebarang cacat cela yang dikaitkan dengan semua periwayatnya.

Hadith seterusnya:

كَانَ عُمَرُ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُكَبِّرُ فِى قُبَّتِهِ بِمِنًى فَيَسْمَعُهُ أَهْلُ الْمَسْجِدِ، فَيُكَبِّرُونَ وَيُكَبِّرُ أَهْلُ الأَسْوَاقِ، حَتَّى تَرْتَجَّ مِنًى تَكْبِيرًا. وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يُكَبِّرُ بِمِنًى تِلْكَ الأَيَّامَ وَخَلْفَ الصَّلَوَاتِ، وَعَلَى فِرَاشِهِ وَفِى فُسْطَاطِهِ، وَمَجْلِسِهِ وَمَمْشَاهُ تِلْكَ الأَيَّامَ جَمِيعًا

Maksudnya: Ibn Umar RA bertakbir di rumahnya di Mina lalu terdengar oleh jemaah di masjid. Mereka pun turut bertakbir dan diikuti pula oleh orang ramai yang berada di tempat awam hingga Mina gegak gempita dengan suara takbir. Ibn Umar telah bertakbir sepanjang masa dia berada di Mina, selepas solat, ketika berehat dirumahnya, ketika duduk dan ketika berjalan pada hari-hari tersebut.” Riwayat al-Bukhari (12)

Lafaz Takbir yang Afdhal

Lafaz takbir yang afdhal ialah:

اللهُ أَكبَر اللهُ أَكبَر اللهُ أَكبَر، لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، اللهُ أكبَر، اللهُ أكبَر وَلِلَّهِ الْحَمدُ

Adab-adab Berhari Raya

Antara adab hari raya ialah:

  1. Mandi, memakai bau-bauan dan memakai pakaian yang baru.
  2. Sunat bersegera ke masjid pada pagi hari raya.
  3. Sunat makan sedikit makanan sebelum pergi bersolat Aidil Fitri manakala Aidil Adha pula tidak sunat makan dan minum sehingga selesai bersolat.
  4. Sunat pergi ke masjid dengan berjalan kaki dan balik semula melalui jalan yang lain

Saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI & MAAF ZAHIR BATIN  kepada seluruh muslilim dan muslimat di Malaysia dan seluruh dunia…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s