Posted by: firdauskhalil | January 19, 2010

F1- Perlaksaanaan Ibadat di International Space Station (ISS)

Contoh cara jawapan yang saya akan berikan berdasarkan apa yang ditanya:

21-23 NOV 2006 (Muzakarah Kali ke-76)

Keputusan Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Jawatankusa Fatwa Kebangsaan:

  1. Penggunaan tisu yang telah disediakan di International Space Station (ISS) sebagai alat beristinja` adalah harus.
  2. Harus tayammum dengan apa sahaja yang berasal dari bumi (contohnya ISS) sebagai kaedah mengangkat hadas.
  3. Solat ditunaikan sebanyak lima kali untuk tempoh 24 jam (hari di bumi) dan boleh ditunaikan secara jamak dan qasar dan tidak perlu diqada.
  4. Waktu solat dan puasa di ISS adalah mengikut waktu tempat pelepasan.
  5. Penentuan arah qiblat hendaklah dengan cara menghadap kaabah dan sekiranya sukar, bolehlah menghadap ke mana-mana arah.

Alhamdulillah dengan izin Allah saya merasa terpanggil untuk membantu menjalankan usaha dakwah bagi menjawab sedikit persoalan dan  merungkai permasalahan berkenaan fatwa dan yang timbul khususnya di malaysia. Saya rasakan medium blog, web ini satu wadah penting dan cepat untuk menyebarkan sesuatu permasalahan hukum atau fatwa yang dikeluarkan. Saya menjalankan usaha ini agar tiap pahala yang ada saya sedekah buat datuk saya yang telah meninggal dunia 25 Nov 2009. Kebetulan tarikh yang sama saya kemalangan.Masih teringat lagi apa yang berlaku..

Saya ingin memasukkan permasalahan fatwa berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Mufti Negeri. Saya ada mengumpulkan sebilangan Fatwa negeri dan keputusannya. Jadi dengan sedikit usaha ini dapat saya membaca dan mengkaji kitab2 selain menjawab persoalan yang diajukan. Secara kebetulan sekarang saya berkerja sementara di JAKIM bahagian Pengurusan Fatwa dan Pembangunan Ijtihad jadi sedikit sebanyak dapat membantu usaha menyebarkan fatwa seluruh Malaysia..selain melaksanakan sebagai jalan memberi kefahaman kepada pendidikan fatwa.

Saya harapkan usaha ini sebagai membantu Institusi fatwa dan jabatan Mufti di samping terdapat banyak lagi laman web berkaitan fatwa yang ada. Laman blog yang serba daif ini akan saya menambahbaikkan bagi memudahkan semua..

Untuk Pertanyaan mengenai Fatwa boleh hubungi:
firdausmohdkhalil@gmail.com atau SMS 019-4609722

****UNTUK MAKLUMAN SAYA HANYA MEMASUKKAN JAWAPAN KEPADA PERSOALAN FATWA.. SAYA AKAN MEMETIK KEPUTUSAN BERKAITAN APA YANG DIAJUKAN SAHAJA.. TERIMA KASIH****

Posted by: firdauskhalil | January 19, 2010

Soalan 30. (Isu Haji)

S: Saya bersama ayah saya ke Mekah baru ni. Jadi masa mabit di Mina saya bermalam di Muassim. Apa hukumnya?

J: Pertama sekali saya ingin memohon maaf atas kelewatan memberi jawapan. Saya belum lagi ke sana. Jadi saya bertanya kepada Tuan Guru saya dan menjawab Muassim termasuk kawasan Mina..

Posted by: firdauskhalil | January 12, 2010

Gerhana Matahari 15 Januari 2010

1 Januari yang lalu telah berlaku gerhana bulan, kini pertengahan bulan Januari ada pula gerhana matahari pula.. Sungguh ajaib apabila berlaku 2 gerhana dalam 1 bulan.. Alangkah besarnya kuasa Allah menjadikan sesuatu peristiwa yang berlaku agar kita berfikir tentang kebesaran Allah SWT..

Gerhana ini berlaku apabila Bulan berada di antara Bumi dan Matahari dalam satu garisan. Disebabkan saiz ketara Bulan kecil sedikit berbanding Matahari menyebabkan sebahagian kecil permukaan Matahari akan kelihatan di sekeliling cakera Bulan seperti satu gelang cahaya yang terang. Gerhana ini berlaku pada 15 Januari, laluan gerhana ini bermula dari Uganda menuju ke Nairobi kemudian memasukki lautan Hindi kemudian Maldives, selatan India, Sri Lanka dan berakhir di sempadan Mynmar-China. Gerhana ini turut dapat dilihat di Malaysia tetapi dengan fasa gerhana separa, sebahagian permukaan Matahari akan kelihatan gelap sehingga 38% kerana ditutupi Bulan. Di Kuala Lumpur gerhana ini bermula pada jam 3.01 petang apabila Bulan mula menyentuh cakera Matahari. Fasa maksimum pada jam 4.26 petang dengan 28.5% permukaan Matahari ditutupi Bulan. Gerhana berakhir apabila sentuhan terakhir Bulan pada 5.37 petang dan setelah itu Matahari kembali seperti biasa. Bagi mereka di Alor Setar dapat melihat bahagian Matahari yang ditutupi Bulan sehingga 38%. Amaran! melihat gerhana Matahari secara terus dengan mata kasar boleh menyebabkan kerosakan pada mata. Jangan melihat gerhana tersebut tanpa menggunakan penapis Matahari yang selamat (petikan dari laman Persatuan Falak Syari Malaysia)

Posted by: firdauskhalil | December 30, 2009

Gerhana Bulan Pembuka Tirai 1 Januari 2010

Alhamdulillah lagi beberapa hari lagi kita akan memsuki tahun baru  masihi 2010. Mungkin ada di antara kita tidak merasakan apabila masuk tahun baru. Ada juga di anatara kita yang sudah memasang niat untuk berubah, beazam dengan azam baru dan segalanya baru. Mungkin ada juga yang inginkan segalanya baru. Bagi lelaki mungkin ada yang ingin berkereta baru, smart dengan baju baru dan lain- lain lagi. Manakala bagi wanita ada khususnya untuk berazam menjadi kurus dan langsing, bagi ibu-ibu pula mungkin ada yang sibuk ingin menukar semua perkakasan rumah. Semua ini tidak ada salah nya jika pandai mengatur perbelanjaan dan tidak membazir.

Saya bukan ingin membebel bab di atas, saya cuma ingin fokuskan beberapa program serta aktiviti yang bakal bermula juga untuk semua dan saya sendiri. Insyaallah satu program anjuran Agensi Angkasa Negara, bertempat di Majid Negara akan berlangsung program Cerapan Gerhana Bulan Separa. Pelbagai aktiviti yang dianjurkan di sana. Jemput datang beramai-ramai menyaksiakan kebesaran Allah SWT. Dia menciptakan segalanya untuk kita lihat dan kaji bagi meningkatkan keimanan kita di dalam hati.

Sedikit informasi tentang gerhana bulan Separa:

Pada 1 Januari 2010, kita akan berpeluang untuk menyaksikan Gerhana Bulan Separa dari jam 1:17 pagi hingga 5:28pagi. Secara amnya gerhana bulan akan berlaku ketika fasa bulan penuh dan pada masa yang sama Bulan melintasi bayang Bumi.

Gerhana pada 1 Januari ini akan bermula dengan fasa penumbra ( P1 ) pada jam 01:17 pagi waktu Malaysia. Walaubagaimanapunsemasa fasa penumbra ini, kesan kenampakan gerhana masih tidak dapat diperhatikan memandangkan Bulan merentasi bayang penumbra Bumi yang kurang gelap.

Gerhana yang jelas dapat dilihat semasa Bulan memasuki bayang umbra Bumi ( U1 ) mulai jam 2:53 pagi sehingga gerhana maksimum pada 03:24 pagi. Bulan akan keluar dari bayang umbra Bumi (U4) padajam 04:53 pagi. Gerhana masih terus berlaku sehingga 05:28 pagi tetapi fenomenatersebut tidak dapat disaksikan pada waktu itu kerana Bulan berada di kawasanbayang Penumbra Bumi yang kurang gelap.

Persatuan Falak Syari Malaysia akan mengadakan pameran dan akan menyediakan teleskop di perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur pada 1hb Januari 2010 mulai jam 0100 hingga 0600. Sila datang beramai ramai untulk menyaksikan kebesaran Illahi. (petikan dari laman web Persatuan Falak Syari Malaysia)

Saya sediakan link ke laman yang berkaitan:

  1. Agensi Angkasa Negara:  http://www.angkasa.gov.my/attachment/BukuaturcaraGerhanaBulanSepara01012010.pdfhttp://www.angkasa.gov.my/attachment/info_gerhana_bulan_separa_1_1_2010_bm.pdf
  2. Astromas: http://astromas2020.blogspot.com/2009/12/jom-menyambut-tahun-baru-2010-dengan.html
  3. Persatuan Falak Syari Malaysia: http://www3.falaksyari.org/index.php?option=com_content&task=view&id=182&Itemid=1
  4. Kelab Kembara Angkasa: http://kembarangkasa.co.nr/
  5. Berita Astronomi: http://berita-astronomi18.blogspot.com/2009/12/pencerapan-gerhana-bulan-1-januari-2010_5248.html
  6. Utusan: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_02.htm
Posted by: firdauskhalil | December 19, 2009

Salam Maal Hijrah 1431/2009

Terasa sudah lama saya tidak menulis isi blog saya. Malam ni saya terasa ingin berkongsi sedikit apa yang ada dalam fikiran untuk tatapan semua.  Alhamdulillah kita sudah memasuki ke tahun baru hijrah pada 17 Disember 2009. Sememangnya bermula waktu hijrah apabila tenggelam matahari di ufuk barat. Ia menjadi tanda bermula hari baru. Bagi kebiasaan manusia tahun atau hari baru apabila tepat jam 12.00 malam. Itulah perbezaan antara bulan hijrah dan masihi.

Sememangnya hadir hari baru, minggu baru, bulan baru, dan tahun baru akan ada sahaja azam untuk melakukan yang terbaik pada kehidupan mendatang. Tapi setiapnya tidak akan terjadi kalau tidak istiqamah dalam melakukan sesuatu. Kadang-kadang azam hari ini boleh berubah sekejap sahaja. Maklumlah ada sifat hangat-hangat tahi ayam. Tahun ini saya berasa bangga apabila jatuh 1 muharam 1431 pada tarikh lahir saya.

Sepanjang tahun 2009 dari bulan Januari sampai disember banyak pengalaman pahit manis, suka duka, sedih dan gembira ditempuhi. Banyak aktiviti yang saya sertai. Banyak pengalaman yang dikutip. Peristiwa saya kemalangan di hari kematian datuk saya masih segar diingatan. Mungkin juga sesuatu yang tak dapat saya lupakan.

Saya akan berusaha untuk menyebarkan ilmu yang ada untuk dikongsi bersama. Di samping itu saya memohon keampunan dan kemaafan atas apa yang saya lakukan kepada sesiapa sahaja. Ada hutang boleh tuntut, ada salah silap harap dimaafkan.. Bermula tahun dengan sesuatu yang baru, biar hari ke hari lebih baik.

Posted by: firdauskhalil | November 30, 2009

Qurban..

Qurban ialah ibadat. Setiap qurban yang dilakukan kerana ibadat mempunyai hikmah dan faedah selain daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hal ini samalah dengan ibadat-ibadat yang lain.

Hikmah yang paling jelas dan tinggi nilainya tentang qurban adalah untuk menghayati samangat pengorbanan agung yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS, iaitu ketika Allah SWT menguji Baginda supaya menyembelih anaknya. Kemudian Allah SWT menebusnya dengan seekor kibasy yang diturunkan-Nya dan memerintahkan Baginda menyembelihnya. Peristiwa ini berlaku setelah Nabi Ibrahim AS dan anaknya berusaha bersama-sama melaksanakan perintah Allah SWT.

Di samping hikmah tersebut, ibadat qurban juga menolong orang fakir dan orang yang berhajat serta menggembirakan mereka, anak isteri dan keluarga pada hari raya. Seterusnya dapat mengeratkan hubungan persaudaraan antara anggota masyarakat Islam dan menanamkan semangat hidup berjemaah serta berkasih sayang.

Petikan dari kitab fiqh al-Manhaji terjemahan…

Posted by: firdauskhalil | October 31, 2009

Peperiksaan Akhir Di USIM

Saya bakal memduduki peperiksaan akhir semester  ke-7 di USIM. Semester 8 saya akan menjalan latihan industri di JAKIM (Bahagian fatwa insyaallah)

Sememangnya menjadi lumrah pelajar akan “struggle” di tahap akhir untuk mendapat keputusan yang baik. Saya pun sedang men’study’kan diri untuk berjaya cemerlang. Doakan saya…

peperiksaan yang saya akan duduki ialah:

  • AAA2012    PEMIKIRAN ISLAM SEMASA
  • LAA3053    SIYASAH SHAR`IYYAH
  • LCA4053    FIQH AL-DUSTURI WA AL-IDARI
  • LCA4043    UNDANG-UNDANG TORT ISLAM
  • UBE2053    BAHASA INGGERIS III
  • LCA4013    DIRASAT AL-FATAWA AL-MUASIRAH
  • LCA4073    PENGURUSAN FATWA.

Saya juga mendoakan kepada semua yang akan memduduki peperiksaan. Moga berja cemerlang…

Posted by: firdauskhalil | October 14, 2009

Persoalan Wahdah Al-Wujud

Sebenarnya ini kali pertama saya memasukkan persoalan tasawwuf dalam penulisan saya. Sebenarnya ada sahabat bertanyakan kepada saya berkenaan persoalan Wahdah Al-Wujud di dalam buku karya Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dikatakan tidak menepati maksud sebenar.

Memang saya tidak menjawab apa pu tentangnya kerana saya kurang arif dalam bab tasawwuf ini. Saya menjawab setelah meneliti buku tersebut dan sedikit perbincangan antara saya dan Dr. Zulkifli sendiri tentang masalah ini.

Di dalam buku Soal Jawab A-Z Tentang Tasawwuf Tetapi Anda Tiada Tempat Bertanya karangan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri mukasurat 145 apakah maksud Wahdah Al-Wujud?

Antara persoalan utama yang telah menimbulkan perselisihan yang ketara antara ulama sufi dan pengamalnya dengan ulama-ulama dan pengkaji lain ialah persoalan Wahdat al-Wujud. Menurut  Syeikh Mustafa Sabri, bekas Syeikh Islam Kerajaan Uthmaniyyah, bahawa persoalan ini merupakan persoalan yang paling sukar difahami dan telah menimbulkan berdebatan yang hangat dalam dunia akademik sehingga ke hari ini. Apakah sebenarnya hakikat wahdat al-Wujud? Menurut Syeikh Mustafa Sabri, fahaman ini bermaksud Allah SWT sahaja yang wujud dan setiap kewujudan  yang lain adalah wujud dengan sebab wujudnya Allah SWT kerana ia tidak mungkin wujud dengan sendirinya. Kewujudan yang sebenarnya hanya untuk Allah SWT sahaja. Menurut beliau bahawa makna kewujudan yang lain disini, ia merupakan tempat zahirnya (manifestasi) Allah SWT  oleh itu tauhid awam ialah dengan mengucap dua kalimah syahadah sementara tauhid Khawas tiada maujud selain daripada Allah SWT. Persoalan ini telah menyebabkan perselisihan besar di kalangan para pengkaji sehingga ada yang menolak secara total semua yang dikaitkan dengan sufi. Bagi pendokong sufi mereka mengangap bahawa keadaan fana’ merupakan kemuncak hakikat tasawwuf dan ia sama sekali tidak bercanggah dengan Islam sementara bagi  pihak lawan pula menggangap ia sebagai kemuncak kekufuran kerana telah menjadikan tuhan sebagai makhluk.

**Membicara dalam bab ini memerlukan kemahiran tinggi dan kefahaman dalam ilmu tasawwuf. Saya ingin berpesan kepada diri saya dan juga semua jangan membicarakan bab yang mungkin kita tidak menguasainya. Ini kerana dalam keadaan memahami tasawwuf memerlukan kita belajar dengan gurunya. Jangan mempelajari ilmu tasawwuf semata-mata. Perlu ada juga kefahaman dalam bidang Al-Quran, hadis, Fiqh dan pelbagai ilmu..

Telah berkata Syeikh Dahlan al-Kadiri di dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawwuf ialah wajib `aini pada setiap orang mukallaf. Hal ini adalah kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin. Imam Malik mengungkap:

مَنْ تَصَوَّفَ ولَمْ يَتَفَقَّهْ فقدْ تَزَنْدَقَا

ومَنْ تَفَقَّهَ ولَمْ يَتَصَوَّفْ فقدْ تَفَسَّقَ

ومَنْ جَمَعَ بينهما فقدْ تَحَقَّقَ.

Maksudnya:

Siapa bertasawwuf tanpa feqah, sesungguhnya dia kafir Zindiq,

Siapa mempunyai feqah tanpa bertasawwuf sesungguhnya dia fasiq,

Siapa menghimpunkan kedua-duanya nescaya dia tahqiq.

Posted by: firdauskhalil | October 9, 2009

Persoalan Zikir selepas solat..

Ada yang menafikan zikir secara kuat selepas solat dengan katanya yang saya petik dari sebuah laman web “Dalam kitab fiqh manhaji pengarangnya mengatakan zikir secara sirr dan bukan jama`i selepas selesai solat. Begitu juga tentang jamu makan dirumah orang kematian yang nampaknya menyalahi amalan orang melayu khususnya di N9 Darul Khusus. Mufti N.9 nak pakai ke kitab fiqh manhaji ini atau hanya setakat terjemahan shj”

Saya menjawab untuk merungkai kekusutan yang melanda terutama dalam masyarakat yang selalu membahaskan masalah ikhtilaf. Kadang-kadang ianya membawa kepada pertelingkahan walaupun perkara kecil.

Memetik sedikit isi di dalam kitab Al-Fiqh Al-Manhaji boleh rujuk versi arab muka surat 158 dan versi keluaran melayu yang diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri muka surat 184 dalam tajuk : Sunat Selepas Solat.

Selepas solat sunat melakukan perkara berikut:

Pertama : Memohon keampunan berzikir dan berdoa.

Hal ini berdasarkan hadith yang mafhumnya: “Apabila NAbi SAW selesai menunaikan solat, Baginda beristighfar kepada Allah SWT sebanyak 3 kali, dan membaca ayat yang bermaksudnya: Ya Allah! Engkaulah yan bersifat sejahtera dan daripada engkaulah kesejahteraan. Maha Suci Engkau wahai Tuhan yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan” (riwayat muslim 591)

Tiada halangan bagi imam beristighfar dan berzikir dengan nyaring untuk tujuan mengajar makmum dan perlahankanlah suara apabila mereka telah mengetahuinya.

Hal ini berdasarkan hadith daripada Ibnu Abbas RA : “Dia memberitahu bahawa zikir dengan nyaring ketika orang ramai selesai bersolat fardhu adalah amalan sejak zaman Rasulullah SAW” (Riwayat al-Bukhari (805) dan Muslim (583)

Ada lagi perbahasan seterusnya……boleh membaca kitab Al-Fiqh Al-Manhaji..

Seterusnya permasalahan menjamu makanan di rumah yang ada kematian : Kitab terjemahan Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Ketujuh: Keluarga si mati sibuk menyediakan makanan dan menjamu orang ramai sebagaimana kebiasaan masa kini. Hal ini adalah bid’ah yang sangat bertentangan dengan Sunnah yang menganjurkan sebaliknya, iaitu sebahagian mereka yang menziarahi jenazah, menyediakan makanan dan menghantarkannya kepada keluarga si mati atau seseorang mengundang dan menjamu mereka di rumahnya. Begitu juga sunat menyediakan makanan yang banyak yang mencukupi keperluan mereka sehari semalam.

Hal ini berdasarkan hadith, ketika Rasulullah  SAW menerima berita Ja’far bin Abu Talib RAterbunuh, Baginda bersabda:

اصْنَعُوا لأَهْلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَإِنَّهُ قَدْ جَاءَهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: Buatkanlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana mereka ditimpa peristiwa yang menyedihkan”.

***Sedikit daripada kefahaman saya agar kita tidak memperbesarkan masalah ikhtilaf yang tidak akan berkesudahan apabila asyik menganggap setiap apa yang diperkatakan betul pada diri seseorang.. Sebaiknya kita melihat adakah masalah ikhtilaf apabila diperbincangkan baik untuk masyarakat. Saya berfikir masyarakat yang tidak memperlajari agama sepenuhnya akan bertelingkah sesama sendiri yang mana betul atau tidak.. persoalan antara mazhab mungkin saya tidak dapat bincang menyeluruh. Saya menjawab tohmahan yang dilontarkan kepada Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji..(secara mudahnya juga tohmahan kepada pengarangnya)

Saya bersetuju dengan pendapat yang membida’ahkan memberi makanan kepada yang hadir di majlis kematian. Perkara tersebut membawa kepada susah kepada keluarga si mati. Saya menghormati pendapat ulama yang menyusun perkara yang telah diamalkan di alam melayu yang menjamu makanan. Tetapi saya melihat dari sudut untuk kebaikan yang lebih baik dengan menyediakan makanan untuk keluarga si mati.

Susah untuk memperbetulkan segala yang diamalkan sekian lama. Tetapi wajib bagi kita yang tahu memperbetulkan yang tidak tahu..

Saya berharapkan teguran apabila saya melakukan kesilapan dalam penulisan saya..Amanah ilmu yang ada pada diri menjadi kewajipan pada saya menyampaikannya..Saya masih belajar lagi..Yang baik itu dari Allah yang tidak baik itu daripada diri saya selaku hamba yang lemah…

Older Posts »

Categories